Skip to main content

Singapura

Khidmat kaunseling keluarga akan diperluas untuk sokong sehingga 12,000 kes jelang 2030

Khidmat kaunseling di bawah Program Pengukuhan Keluarga (FAM) akan diperluas untuk menyokong sehingga 12,000 kes menjelang 2030, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli di parlimen pada Khamis (5 Mac).
Anggaran Waktu Membaca:
Khidmat kaunseling keluarga akan diperluas untuk sokong sehingga 12,000 kes jelang 2030

Jumlah kes kaunseling keluarga meningkat sepanjang beberapa tahun lalu. (Gambar fail: iStock)

Diterbitkan : 05 Mar 2026 08:08PM Dikemas Kini : 05 Mar 2026 08:09PM
  • Masagos Zulkifli mengumumkan perluasan khidmat kaunseling keluarga di bawah Program Pengukuhan Keluarga (FAM) untuk menyokong sehingga 12,000 kes menjelang 2030.
  • Jumlah kes kaunseling meningkat dari 3,100 pada 2022 kepada 5,700 pada 2023, dengan MSF menjangkakan pertumbuhan berterusan.
  • Sejak Julai 2024, pasangan dengan anak bawah umur mesti mengikuti program keibubapaan bersama sebelum memfailkan perceraian di pusat FAM.
  • Pusat FAM menyediakan kaunseling bersemuka dan online, serta sokongan psiko-emosi dan kemahiran untuk membantu keluarga menangani tekanan dan konflik.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Khidmat kaunseling di bawah Program Pengukuhan Keluarga (FAM) akan diperluas untuk menyokong sehingga 12,000 kes menjelang 2030, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli di parlimen pada Khamis (5 Mac).

Jumlah kes kaunseling keluarga sudah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini - daripada 3,100 pada tahun 2022 kepada 5,700 pada tahun lalu.

“Kami menjangkakan pertumbuhan ini akan berterusan dan akan memastikan perkhidmatan tetap mudah diakses oleh mereka yang memerlukannya,” menurut Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Program pengukuhan keluarga ditubuhkan pada tahun 2021 untuk menyokong keluarga yang mungkin berdepan cabaran lebih besar dalam menguruskan perkahwinan, keibubapaan, dan hubungan keluarga yang lain.

Sebelas pusat FAM di seluruh Singapura menyediakan kaunseling keluarga untuk menyokong keluarga sedemikian. Ini termasuk menyediakan sokongan psiko-emosi dan melengkapi keluarga dengan kemahiran serta daya tahan untuk menangani tekanan dan menyelesaikan konflik.

Keluarga boleh menempah sesi kaunseling secara bersemuka atau online dengan pusat-pusat tersebut.

“Dapatan awal menunjukkan bahawa kaunseling keluarga sudah meningkatkan kesejahteraan mental, penyesuaian perkahwinan, dan fungsi psikososial kanak-kanak bagi klien (program tersebut),” menurut MSF.

Sejak Julai 2024, semua pasangan dengan anak bawah umur mesti melalui program keibubapaan bersama yang dikendalikan oleh pusat FAM sebelum mereka memfailkan perceraian, kata Encik Masagos, sambil menambah bahawa ini diharapkan dapat mencegah perselisihan faham di kemudian hari mengenai akses kepada anak.

Berucap semasa perbahasan mengenai perancangan perbelanjaan kementeriannya bagi tahun hadapan, Encik Masagos berkata sedang MSF berusaha untuk meningkatkan kapasiti, ia akan terus menjadikan kaunseling keluarga lebih mudah diakses dan menyediakan sumber bantuan diri online untuk menyokong keluarga dengan lebih baik.
Sumber : CNA/NK/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita