Skip to main content

Singapura

Khidmat jagaan kesihatan awam SG pulih sepenuhnya selepas gangguan sistem lebih 9 jam; tiada petunjuk serangan siber

Semua khidmat di institusi jagaan kesihatan awam Singapura yang terjejas akibat gangguan sistem selama lebih sembilan jam pada Selasa (13 Okt) sudah pulih sepenuhnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Khidmat jagaan kesihatan awam SG pulih sepenuhnya selepas gangguan sistem lebih 9 jam; tiada petunjuk serangan siber

Beberapa institusi jagaan kesihatan awam di Singapura mengalami gangguan sistem pada 13 Oktober 2026. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 13 Oct 2026 06:37PM Dikemas Kini : 13 Oct 2026 06:41PM
Public healthcare services fully restored after system disruption lasting over 9 hours; no indication of cyberattack
  • All services at Singapore's public healthcare institutions were fully restored after a system disruption lasting more than nine hours on Tuesday (Oct 13).
  • Synapxe said the disruption was caused by a technical issue involving network connectivity, with investigations still under way and no indication of a cyber incident so far.
  • NHG Health, NUHS and SingHealth experienced disruptions to call centres, appointment bookings, visitor registration, billing enquiries, payments and medication collection.
  • Patients and visitors faced longer waiting times, while Synapxe worked with the healthcare clusters to restore services and apologised for the inconvenience.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Semua khidmat di institusi jagaan kesihatan awam Singapura yang terjejas akibat gangguan sistem selama lebih sembilan jam pada Selasa (13 Okt) sudah pulih sepenuhnya.

Agensi teknologi kesihatan nasional Synapxe menyatakan tiada petunjuk setakat ini bahawa gangguan tersebut berpunca daripada insiden siber.

Gangguan itu bermula sekitar 7.10 pagi apabila masalah teknikal yang menjejas sambungan rangkaian menyebabkan beberapa khidmat tergendala di ketiga-tiga kelompok jagaan kesihatan awam.

Khidmat yang terjejas mula dipulihkan secara berperingkat sekitar 3.00 petang, sebelum semuanya kembali beroperasi pada 4.37 petang.

Siasatan Synapxe bagi mengenal pasti punca masalah teknikal itu masih dijalankan.

Ketiga-tiga kelompok jagaan kesihatan awam yang terjejas ialah NHG Health, Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) dan SingHealth.

Antara khidmat yang terjejas termasuk tempahan janji temu menerusi pusat panggilan, pendaftaran pelawat dan pertanyaan berkaitan bil.

Pesakit dan pelawat di beberapa institusi juga mengalami masa menunggu yang lebih lama bagi khidmat tertentu.

Pasukan Synapxe bekerjasama rapat dengan ketiga-tiga kelompok jagaan kesihatan awam bagi memulihkan khidmat secepat mungkin.

Agensi itu turut memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan berterima kasih kepada pesakit, pelawat serta kakitangan jagaan kesihatan atas kesabaran dan pemahaman mereka.

PUSAT PANGGILAN, KHIDMAT PEMBAYARAN TERJEJAS

NHG Health memaklumkan sekitar 9.00 pagi bahawa talian pusat panggilan di institusi-institusinya tidak dapat dihubungi buat sementara waktu.

NHG Health menyelia empat hospital, iaitu Hospital Tan Tock Seng, Hospital Khoo Teck Puat, Hospital Woodlands dan Hospital Masyarakat Yishun.

Ia turut mengendalikan 10 poliklinik serta beberapa institusi, termasuk Institut Kesihatan Mental (IMH), Pusat Kulit Nasional (NSC) dan Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID).

Related article image
Mesin pendaftaran layan diri di Hospital Universiti Nasional (NUH) antara kemudahan yang terjejas akibat gangguan sistem pada 13 Oktober 2026. (Gambar: CNA)
Hospital Tan Tock Seng, Hospital Khoo Teck Puat dan Hospital Masyarakat Yishun memberi amaran bahawa pesakit mungkin mengalami masa menunggu yang lebih lama.

Hospital Woodlands pula memaklumkan bahawa talian pusat panggilannya sudah dipulihkan pada 1.30 petang.

Di NSC, sistem pembayaran turut mengalami gangguan sekitar 11.00 pagi.

Pesakit yang tidak dapat membuat pembayaran bagi rundingan perubatan atau ubat-ubatan dinasihatkan supaya menggunakan aplikasi NHG Health.

GANGGUAN TURUT JEJAS NUHS, SINGHEALTH

Di Hospital Universiti Nasional (NUH), para pesakit dimaklumkan bahawa gangguan khidmat mungkin menyebabkan masa menunggu yang lebih lama untuk mengambil ubat.
Related article image
Hospital Universiti Nasional (NUH) antara institusi jagaan kesihatan awam yang mengalami gangguan sistem pada 13 Oktober 2026. (Gambar: CNA)
Seorang pelawat yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Zol berkata beliau menunggu sekitar 30 minit untuk mendapatkan ubatnya.

Di farmasi Sayap Kent Ridge NUH, notis memaklumkan bahawa pesakit mungkin perlu menunggu sekitar 60 minit untuk mengambil ubat.

Dua mesin layan diri di luar farmasi itu turut ditutup dengan notis penyenggaraan.
Related article image
Gangguan sistem di Hospital Universiti Nasional (NUH) menyebabkan masa menunggu lebih lama bagi sesetengah pesakit pada 13 Oktober 2026. (Gambar: CNA/Nikki Yeo)
Seorang wanita hamil, Iffah Kamilia Mohammed Zaiful, 27 tahun, berkata janji temu beliau di Klinik Wanita NUH pada 2.00 petang tidak banyak terjejas.

Bagaimanapun, status janji temu dalam aplikasi NUHS masih menunjukkan beliau sedang menunggu giliran walaupun sesi rawatannya sudah selesai.

Menurut beliau, skrin yang biasanya memaparkan nombor giliran di klinik itu juga tidak berfungsi.

Hospital Alexandra turut memaklumkan bahawa gangguan teknikal yang menjejas beberapa sistem mungkin menyebabkan masa menunggu lebih lama.

Institusi di bawah SingHealth turut mengalami gangguan.

Hospital Besar Singapura (SGH) dan Pusat Jantung Nasional Singapura menyatakan beberapa perkhidmatan terjejas, termasuk tempahan dan perubahan janji temu pesakit luar, pendaftaran pelawat serta pertanyaan bil.

Pusat panggilan SGH masih beroperasi, namun tidak dapat memproses tempahan atau perubahan janji temu buat sementara waktu.

Sementara itu, khidmat online bantuan kesihatan mental nasional mindline.sg yang beroperasi 24 jam juga mengalami masalah teknikal pada Selasa (13 Okt).

Khidmat tersebut kembali beroperasi sepenuhnya menjelang tengah hari.

Siasatan Synapxe terhadap punca gangguan sistem itu masih diteruskan.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita