Skip to main content

Singapura

Khidmat hujung minggu Laluan Thomson-East Coast, Downtown tamat lebih awal, mula lewat bagi peluasan rel

Perkhidmatan MRT di Laluan Thomson-East Coast (TEL) dan Laluan Downtown (DTL) masing-masing akan diselaraskan pada hujung minggu, dari 22 Mei hingga 4 Julai dan 10 Julai hingga 5 September, menjelang pembukaan Fasa 5 TEL.

Anggaran Waktu Membaca:
Khidmat hujung minggu Laluan Thomson-East Coast, Downtown tamat lebih awal, mula lewat bagi peluasan rel

Platform B di stesen MRT Marine Parade pada 21 Jun 2024. (Gambar fail: CNA/Jeremy Long)

Diterbitkan : 28 Apr 2026 04:51PM Dikemas Kini : 28 Apr 2026 04:53PM
  • LTA, SMRT Trains dan SBS Transit mengumumkan pelarasan jadual MRT di Laluan TEL dan DTL pada hujung minggu antara Mei hingga September.
  • Pelarasan ini bertujuan memudahkan integrasi segmen baharu menjelang pembukaan Fasa 5 TEL.
  • Perkhidmatan MRT akan tamat lebih awal dan bermula lebih lewat, dengan bas ulang-alik disediakan untuk penumpang terjejas di laluan utama.
  • Penumpang dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal dan mendapatkan maklumat terkini melalui aplikasi serta kakitangan di stesen.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Perkhidmatan MRT di Laluan Thomson-East Coast (TEL) dan Laluan Downtown (DTL) masing-masing akan diselaraskan pada hujung minggu, dari 22 Mei hingga 4 Julai dan 10 Julai hingga 5 September, menjelang pembukaan Fasa 5 TEL.

Pelarasan perkhidmatan itu akan “memudahkan penyepaduan segmen laluan baharu ke dalam rangkaian sedia ada”, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), SMRT Trains dan SBS Transit dalam satu kenyataan media bersama pada Selasa (28 Apr).

“Bagi mengurangkan kesulitan terhadap para penumpang, pilihan perjalanan alternatif akan disediakan sepanjang tempoh pelarasan perkhidmatan tersebut,” menurut kenyataan media itu.

Dari 22 Mei hingga 4 Julai, perkhidmatan di TEL akan berakhir lebih awal pada pukul 11.30 malam setiap Jumaat dan bermula lebih lewat pada pukul 8.30 pagi setiap Sabtu.

Tiga perkhidmatan bas ulang-alik akan disediakan bagi penumpang yang terjejas akibat pembukaan lewat pada pagi Sabtu.

Perkhidmatan tersebut akan disambungkan ke pusat-pusat pertukaran utama MRT bagi membolehkan penumpang beralih ke laluan rel alternatif.
 
  • Perkhidmatan bas ulang-alik S51 akan beroperasi antara stesen Woodlands North dengan Caldecott dengan kekerapan sekitar lima hingga 10 minit.
  • Perkhidmatan bas ulang-alik S52 akan beroperasi antara stesen Caldecott dengan Marina Bay dengan kekerapan sekitar lima hingga 10 minit.
  • Perkhidmatan bas ulang-alik S53 akan beroperasi antara stesen Marina Bay dengan Bayshore dengan kekerapan sekitar 10 minit.

Perkhidmatan di DTL juga akan berakhir lebih awal pada pukul 11.30 malam setiap Jumaat dan bermula lebih lewat pada pukul 8.30 pagi setiap Sabtu dari 10 Julai hingga 5 September.

“Kami juga akan menyediakan tiga perkhidmatan bas ulang-alik bagi penumpang yang terjejas akibat pembukaan lewat pada pagi Sabtu, dengan sambungan di pusat-pusat pertukaran MRT Bugis dan MacPherson,” kata LTA, SMRT Trains dan SBS Transit.

  • Perkhidmatan bas ulang-alik S43 akan beroperasi antara stesen Bukit Panjang dengan Bugis dengan kekerapan sekitar lima hingga 10 minit.
  • Perkhidmatan bas ulang-alik S42 akan beroperasi antara stesen Bugis dengan MacPherson dengan kekerapan sekitar lima hingga 10 minit.
  • Perkhidmatan bas ulang-alik S41 akan beroperasi antara stesen MacPherson dengan Expo dengan kekerapan sekitar lima hingga 10 minit.

Penumpang dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal. Mereka juga disarankan untuk menyemak aplikasi mudah alih MyTransport.SG serta saluran media sosial LTA, SMRT dan SBS Transit untuk mendapatkan maklumat terkini.

“Kakitangan akan ditempatkan di stesen-stesen yang terjejas untuk membantu para penumpang sepanjang tempoh pelarasan perkhidmatan,” kata LTA, SMRT Trains dan SBS Transit.

“Penumpang juga boleh merujuk kepada poster-poster di stesen-stesen berkaitan.”

Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita