Khidmat gentian jalur lebar StarHub 'pulih sepenuhnya' susuli gangguan besar
Para pelanggan StarHub di merata Singapura mengalami gangguan pada khidmat Internet mereka pada Rabu (15 Apr), dengan sebilangan pelanggan meluahkan kekecewaan mereka di media sosial tentang gangguan tersebut.
Seorang lelaki berjalan di depan logo Starhub. (Gambar: AFP)
SINGAPURA: Para pelanggan StarHub di merata Singapura mengalami gangguan pada khidmat Internet mereka pada Rabu (15 Apr), dengan sebilangan pelanggan meluahkan kekecewaan mereka di media sosial tentang gangguan tersebut.
Gangguan itu bermula kira-kira pukul 11.00 ​​pagi, menurut catatan Twitter dan di laman Facebook StarHub.
Dalam kemas kini pada 5.30 petang, syarikat telko itu mengumumkan bahawa khidmat gentian jalur lebar yang terjejas sedang "dipulihkan secara bertahap-tahap", sambil menambah bahawa tiada bukti yang menunjukkan berlaku serangan siber.
"Kami sudah membaiki isu rangkaian pada salah satu Server Nama Domain kami yang menguruskan trafik Internet. Pemulihan khidmat sedang dipantau dengan teliti," menurut StarHub dalam catatan Facebooknya.
"Kami akan memberi anda kemas kini lebih lanjut apabila khidmat sudah dipulihkan sepenuhnya."
Khidmat yang terjejas akhirnya "dipulihkan sepenuhnya" pada 8.20 malam, menurut StarHub dalam kenyataannya pada Rabu malam.
Pada pagi tadi, StarHub menyatakan bahawa khidmat gentian bagi sesetengah pelanggan di daerah Utara dan Timur Laut terjejas buat sementara selama kira-kira 20 minit kerana berlaku kerosakan pada peralatan rangkaian.
Pihaknya menambah bahawa khidmat disambung semula secara progresif setelah kelengkapan sokongan dengan segera mengambil alih, dan menasihati para pelanggan supaya mematikan dan menghidupkan semula modem dan router mereka untuk menyegarkan sambungan data mereka.
Para pengguna bagaimanapun masih melaporkan gangguan pada sebelah petang, dengan ramai yang mengeluh kerana tidak dapat bekerja dari rumah di tengah-tengah langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19.
Gangguan itu juga dipercayai menjejas lebih ramai orang di merata Singapura, menurut laman Down Detector.
Ketua Pegawai Teknologi StarHub Chong Siew Loong memohon maaf kepada para pelanggan melalui kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu malam, yang mengesahkan bahawa gangguan itu berlaku disebabkan oleh masalah rangkaian pada salah satu Server Nama Domain syarikat telko itu.
Masalah tersebut menjejas khidmat jalur lebar di rumah, dengan khidmat jalur lebar kepada pelanggan perusahaan tidak terjejas, tambahnya lagi.
"Kami memandang serius terhadap kejadian ini dan akan menjalankan analisis terperinci agar kami dapat mencegah kejadian tersebut daripada berulang."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.