Skip to main content

Singapura

Khidmat feri SG-Batam kenakan caj tambahan S$6 susuli kenaikan harga bahan api

Beberapa pengendali feri yang menawarkan perkhidmatan antara Singapura dan Batam mengenakan caj tambahan di tengah-tengah kenaikan harga bahan api akibat konflik di Timur Tengah.
Anggaran Waktu Membaca:
Khidmat feri SG-Batam kenakan caj tambahan S$6 susuli kenaikan harga bahan api
Beberapa perkhidmatan feri yang beroperasi antara Singapura dan Batam mengenakan caj tambahan susuli kenaikan kos bahan api. (Gambar: Facebook/Majestic Fast Ferry)
New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 12 Mar 2026 02:58PM Dikemas Kini : 12 Mar 2026 03:05PM
SINGAPURA: Beberapa pengendali feri yang menawarkan perkhidmatan antara Singapura dan Batam mengenakan caj tambahan di tengah-tengah kenaikan harga bahan api akibat konflik di Timur Tengah.

Horizon Fast Ferry, Majestic Fast Ferry dan Batam Fast mengumumkan bahawa para penumpang yang berlepas dari Singapura ke Batam akan dikenakan caj tambahan bahan api sebanyak S$6 mulai Khamis (12 Mac).

“Langkah ini perlu untuk mengimbangi peningkatan kos operasi sambil memastikan perkhidmatan yang selamat, boleh dipercayai dan cekap dapat terus disediakan,” menurut Horizon Fast Ferry dalam notis di laman webnya.

Ia menambah bahawa pihaknya sedang memantau harga bahan api dan akan menyesuaikan caj tambahan tersebut jika perlu.

Caj tambahan itu akan dikenakan ke atas semua tiket, termasuk yang dibeli sebelum Khamis, dan akan dikenakan di kaunter tiket pengendali masing-masing.

Batam Fast memaklumkan ia juga akan mengenakan caj tambahan sebanyak S$12 bagi perjalanan feri ke Desaru Coast dan S$6 bagi Pengelih, Malaysia.

Kos tenaga meningkat sejak konflik Amerika Syarikat-Israel dengan Iran tercetus pada bulan lalu.

Perang tersebut telah menutup laluan perkapalan penting, Selat Hormuz, yang dilalui oleh kira-kira seperlima daripada penggunaan minyak harian dunia.

Pengawal Revolusi Iran telah menyerang kapal-kapal yang melalui selat tersebut dan berkata dunia harus bersedia menghadapi kenaikan harga minyak sehingga AS$200 (S$255.19) setong.

“Bersedialah untuk harga minyak mencecah AS$200 setong, kerana harga minyak bergantung kepada keselamatan serantau, yang telah anda gugat,” kata jurucakap markas tentera Iran Ebrahim Zolfaqari dalam kenyataan yang ditujukan kepada Washington.

Walaupun Agensi Tenaga Antarabangsa menyatakan pada Rabu (11 Mac) bahawa para anggotanya sudah bersetuju untuk melepaskan 400 juta tong minyak daripada rizab mereka, langkah itu tidak berjaya mengatasi kebimbangan berhubung gangguan terhadap bekalan tenaga dari Timur Tengah.

Minyak mentah Brent melonjak 9.3 peratus kepada AS$100.50 (S$128.23) pada Khamis (12 Mac), manakala West Texas Intermediate meningkat 8.8 peratus kepada AS$94.92 (S$121.11) sekitar pukul 3.05 pagi waktu tempatan (pukul 10.05 pagi waktu Singapura).

Di Asia, bekalan gas asli cecair (LNG) turut terjejas kerana hampir sepertiga import LNG daripada benua tersebut melalui Selat Hormuz.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita