Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Khidmat feri baru S'pura-Desaru akan diluluskan selepas MPA dapat jaminan boleh 'beroperasi dengan selamat'

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) akan meluluskan khidmat feri yang disarankan antara Desaru dengan Singapura hanya selepas ia berpuas hati khidmat tersebut boleh beroperasi dengan selamat, menurut penguasa itu pada Ahad (3 April).

"Laluan feri yang disarankan itu akan melalui kawasan yang berhampiran dengan beting dan terumbu karang. Maka itu, ia terdedah kepada laut terbuka dan juga beroperasi berhampiran dengan laluan-laluan laut utama yang digunakan oleh banyak kapal besar," menurut MPA.

"Terdapat risiko-risiko tambahan semasa musim tengkujuh," tambah MPA.

MPA sudah meminta pengendali feri Batam Fast Ferry untuk menyerahkan penilaian keselamatan pelayaran untuk laluan yang disarankan itu dan juga pelan respons kecemasan, menurut penguasa tersebut dalam kenyataannya.

Ia juga meminta pengesahan daripada persatuan pentauliahan bahawa feri-feri yang akan digunakan adalah sesuai untuk pelayaran yang diusulkan.

Ini bagi memastikan hanya kapal-kapal yang sesuai digunakan dan rancangan dan penilaian yang diperlukan telah disediakan untuk menjaga keselamatan penumpang dan anak kapal, menurut MPA seterusnya.

MPA menerima saranan tersebut pada 23 Mac dari Batam Fast untuk mengendalikan khidmat feri yang baru antara terminal feri Desaru Coast di Johor dengan terminal feri Tanah Merah di Singapura.

Laluan itu akan dikendalikan oleh anak syarikatnya Desaru Link Ferry Services dan perjalanannya dijangka akan mengambil masa kira-kira dua jam.

"Kami akan memberikan kelulusan yang diperlukan untuk khidmat feri yang disarankan setelah kami diberi jaminan bahawa khidmat feri yang diusulkan itu dapat beroperasi dengan selamat," menurut MPA.

Ia juga menyatakan bahawa ia sudah memaklumkan Jabatan Laut Malaysia dan Batam Fast mengenai aspek-aspek keselamatan tersebut.

Terminal feri Desaru Coast dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan imigresen, termasuk gerbang elektronik automatik bagi pemeriksaan imigresen yang cekap semasa waktu sibuk. Ia juga mampu memproses 300 penumpang pada bila-bila masa.

Sebagai permulaan, terminal itu berharap ia dapat menyediakan dua perjalanan ulang-alik dari Singapura setiap hari, dari Khamis hingga Ahad.

Terdapat juga perjalanan ulang-alik setiap hari dari Isnin hingga Rabu, mengikut permintaan pasaran.

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan