Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Khidmat chatbot baru mudahkan penduduk lapor isu perbandaran guna WhatsApp & Telegram

Para penduduk kini boleh membuat aduan tentang isu-isu perbandaran seperti kebersihan, kes meletak kereta sembarangan atau melaporkan isu berhubung haiwan di kawasan kejiranan mereka menerusi khidmat chatbot di WhatsApp dan Telegram.

Anggaran Waktu Membaca:
Khidmat chatbot baru mudahkan penduduk lapor isu perbandaran guna WhatsApp & Telegram

Antara muka chatbot OneService. (Gambar: MSO dan SNGC)

Diterbitkan : 15 Jul 2021 03:13PM Dikemas Kini : 15 Jul 2021 03:17PM

SINGAPURA: Para penduduk kini boleh membuat aduan tentang isu-isu perbandaran seperti kebersihan, kes meletak kereta sembarangan atau melaporkan isu berhubung haiwan di kawasan kejiranan mereka menerusi khidmat chatbot di WhatsApp dan Telegram.

Sebagai sebahagian daripada strategi Kecerdasan Buatan (AI) Singapura, Pejabat Perkhidmatan Perbandaran (MSO) dan Kumpulan Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGG) melancarkan chatbot OneService yang disokong oleh AI, menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis (15 Jul).

Ia akan membolehkan para penduduk untuk "membuat aduan tentang isu-isu perbandaran dengan lebih mudah lagi" menerusi WhatsApp dan Telegram.

"Chatbot OneService adalah sebuah projek di bawah Strategi AI Negara yang menyokong peningkatan berterusan terhadap daya respons khidmat perbandaran yang sedang dijalankan," tambah kenyataan itu lagi.

Ia dikendalikan melalui "platform kiriman mesej sosial yang lazim digunakan" agar lebih sesuai dan lebih mudah diakses para penduduk yang mahu memberikan maklum balas tentang isu-isu perbandaran.

Buat masa ini, orang ramai boleh menyalurkan respons mereka tentang isu-isu sedemikian dengan mengimbas kod QR di ruang-ruang yang dikongsi bersama seperti kawasan lif HDB.

Mereka juga boleh berbuat demikian dengan menggunakan aplikasi OneService yang memerlukan para pengguna membuat aduan dengan memilih senarai isu yang disediakan dan mengisi maklumat seperti tarikh, masa serta lokasi dengan "cara yang lebih berstruktur".

Namun, dengan chatbot, para pengguna tidak lagi perlu mengklasifikasikan maklum balas mereka dengan memilih "kategori-kategori yang sudah ditentukan", menurut pihak berkuasa. Sebaliknya, chatbot yang dibangunkan itu menggunakan platform Pembantu Chat Kecerdasan Maya (VICA) GovTech, memanfaatkan AI untuk menjangkakan bentuk maklum berdasarkan maklumat awal pengguna.

Bagi memastikan maklum balas dapat disampaikan dengan "menyeluruh", chatbot itu akan mengarahkan pengguna untuk memberikan maklumat yang relevan dengan cara perbualan masa nyata.

Maklum balas itu akan secara automatik disalurkan kepada agensi yang bertanggungjawab ke atas isu tersebut berdasarkan teks, lokasi dan gambar-gambar yang dikirimkan oleh pengguna.

Para penduduk boleh memulakan perbualan bersama chatbot dengan mengirimkan "Hi" kepada +65 9821 9004 melalui WhatsApp atau ke @OneServiceSG Bot di Telegram. Mereka juga boleh memanfaatkan lelaman go.gov.sg/oneservice-whatsapp (WhatsApp) atau go.gov.sg/oneservice-telegram (Telegram).

PERADUAN REKA PERSONALITI CHATBOT

Sebagai sebahagian daripada pelancaran "beta", MSO juga akan menganjurkan peraduan untuk menentukan "perwatakan dan personaliti" chatbot OneService.

Peraduan itu akan diadakan dari 15 Julai sehingga 14 September. Pemenang akan menerima baucar beli-belah bernilai S$600 dan saranan mereka akan diadaptasikan sebagai "personaliti" chatbot itu.

Para peserta dikehendaki menghantar karya seni mereka dalam bentuk 'avatar' atau watak dengan penerangan sebanyak 500 abjad tentang karya seni mereka.

Peraduan dibuka kepada semua penduduk Singapura.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan