Khidmat cemerlang pegawai Home Team Mohamed Azlan Mohamed, Nur Azhar Mahmud Hussin, diiktiraf dalam Anugerah Hari Kebangsaan MHA 2025
SINGAPURA: Meskipun terpaksa berjauhan dengan isteri dan tiga orang anaknya semasa Hari Raya lalu, namun Pegawai Waran Pertama (WO1) Mohamed Azlan Mohamed komited untuk melakukan misi operasi mencari dan menyelamat di Myanmar dengan baik.
Pegawai berusia 38 tahun itu menyertai Kontinjen Operasi Lionheart Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) yang dihantar ke Myanmar pada Mac 2025.
"Pastinya berasa bimbang kerana saya terpaksa berjauhan dan isteri saya di rumah perlu menjaga tiga orang anak lelaki kami. Saya sangat bersyukur kerana dia adalah seorang isteri dan ibu yang menjaga anak-anak ketika saya tiada. Kami semua mempunyai sokongan keluarga yang kuat dan ini membolehkan kami melakukan apa yang perlu kami melakukan," kongsi beliau kepada BERITA Mediacorp.
"Anak saya berasa sedih kerana saya tidak bersama mereka selama beberapa hari semasa Hari Raya tetapi saya mengingatkan mereka mengapa saya harus pergi dan saya harap apabila mereka sudah dewasa, mereka akan memahami," tambahnya.
WO1 AZLAN CERITA PENGALAMAN BANTU DI MYANMAR
Sebagai Komander Seksyen, WO1 Azlan memainkan peranan untuk memberi respons kepada pelbagai keadaan kecemasan terutama yang melibatkan bencana serta operasi menyelamat yang kompleks.
Tugas ini menurutnya adalah sesuatu yang "mulia" dan memberikan kepuasan dalam dirinya dapat membantu dan menyelamatkan nyawa, termasuk misinya di Myanmar.
"Saya berasa sedih melihat kesan daripada sebarang bencana dan melihat ramai orang terlantar serta nyawa yang terkorban. Walau bagaimanapun, di sebalik penderitaan mereka, negara tuan rumah sangat menyokong dan melayan kami dengan baik, memberikan segala keperluan untuk membantu kami mencapai misi kami untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat bersama pasukan penyelamat antarabangsa yang lain," ujar WO1 Azlan.
Selain itu, WO1 Azlan yang mempunyai lebih 10 tahun pengalaman dalam Pasukan Menyelamat dan Bantuan Bencana (DART), sudah pun menyumbang kepakaran kepada pelbagai operasi menyelamat di peringkat serantau dan antarabangsa.
Ini termasuk di Turki, Laos dan Nepal.
SETIAP PELUANG UNTUK SELAMATKAN NYAWA MENENANGKAN DAN MENYENTUH HATI WO1 AZLAN
Atas dedikasi dan semangatnya dalam memberikan khidmat cemerlang itu, WO1 Azlan antara 88 pegawai yang diiktiraf dengan Pingat Perkhidmatan Luar Negara SCDF dalam Anugerah Hari Kebangsaan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Isnin (17 Nov).
"Saya berasa amat berbesar hati dan bangga kerana menerima pingat ini. Walaupun ini bukan kali pertama saya ditempatkan di luar negara, setiap peluang yang saya dapat untuk menyelamatkan nyawa adalah satu pengalaman yang menenangkan diri dan menyentuh hati bagi diri saya," menurut WO1 Azlan.
"Saya berharap lebih ramai orang terutamanya generasi muda akan turut serta dalam usaha menyelamatkan nyawa dan terus melakukan perubahan dalam masyarakat yang dapat menyelamatkan nyawa," tambahnya.
LEBIH 1,000 PEGAWAI HOME TEAM DIIKTIRAF DALAM ANUGERAH HARI KEBANGSAAN MHA
WO1 Azlan merupakan antara 1,052 pegawai Home Team yang diiktiraf atas sumbangan mereka dalam Anugerah Hari Kebangsaan MHA.
Turut menerima anugerah dalam kategori Pingat Berkebolehan ialah Inspektor Pertama (INSP1) Nur Azhar Mahmud Hussin.
Anugerah itu diberikan kepada individu yang menampilkan kecekapan atau dedikasi cemerlang dalam tugas mereka, atau bagi kerja berkepentingan khas.
"Alhamdulillah, saya berbesar hati menerima anugerah ini dan saya berharap dapat memberikan yang terbaik pada masa hadapan," kongsi INSP1 Azhar kepada BERITA Mediacorp.
INSP1 AZHAR TAMPIL KEPIMPINAN KUKUH DALAM TUGAS
Sebagai Pegawai Bertugas di West Coast Pier, INSP1 Azhar menampilkan kepimpinan kukuh dalam mengendalikan tugas di lapangan.
Ini termasuk mengenalpasti suspek yang terlibat dalam kes kecurian telefon bimbit milik seorang kru warga Indonesia di West Coast Pier.
"Peristiwa itu melibatkan seorang warga asing yang bekerja tetap di sini di mana beliau telah mengadukan kepada rakan saya bahawa beliau kehilangan telefon bimbit beliau. Jadi dengan maklumat yang ada, kami telah meneliti CCTV dan mendapati bahawa ada seorang petugas pembersih yang telah mengambil telefon bimbitnya," menurutnya.
Melangkah ke hadapan, INSP1 Azhar berharap dapat terus membimbing pegawai-pegawai baharu dan muda, sekaligus memperkukuh kecekapan mereka dalam tugasan.
"Pegawai muda adalah aset masa hadapan untuk ICA. Dengan berkongsikan pengalaman dan ilmu yang saya ada, saya harap mereka dapat memberikan prestasi yang lebih baik pada masa hadapan," ujar beliau.
PEGAWAI HOME TEAM TAMPILKAN KETULUSAN, PROFESIONALISME TERTINGGI DALAM TUGAS
Ini sedang para pegawai beroperasi dalam persekitaran yang sentiasa berubah di mana Kecerdasan Buatan (AI) membolehkan menjalankan penipuan dan keganasan.
Beliau berucap: "Sama ada dalam merangka dasar dan undang-undang, memberi maklum balas terhadap kecemasan, berdepan dengan penjenayah, mempertahankan negara daripada ancaman keselamatan, menyokong mangsa, atau membimbing mereka yang layak dan sedang mencari peluang kedua, para pegawai kita menegakkan tahap profesionalisme dan integriti yang sangat tinggi."
"Setiap kali mereka menjalankan tugas, kita dapat menyaksikan ketulusan dan profesionalisme yang tertinggi ini. Dengan melakukannya secara konsisten selama beberapa dekad, mereka telah memperoleh kepercayaan, keyakinan dan sememangnya, penghormatan daripada rakyat Singapura.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.