Khidmat cemerlang 3 kakitangan jagaan kesihatan ini diiktiraf dalam Anugerah Perkhidmatan Kesihatan Bermutu 2025
SINGAPURA: Dedikasi lebih 4,700 kakitangan sektor penjagaan kesihatan awam, swasta dan penjagaan masyarakat dari 45 institusi diiktiraf dalam Anugerah Perkhidmatan Kesihatan Bermutu Singapura (SHQSA) pada Khamis (13 Feb).
Ia memberi penghargaan kepada sumbangan, khidmat cemerlang serta rawatan bermutu tinggi yang mereka hulurkan kepada pesakit.
Tetamu terhormat, Presiden Tharman Shanmugaratnam menyampaikan beberapa kategori anugerah dalam edisi ke-16 majlis tersebut.
Ini termasuk Anugerah 'Superstar' yang memberi penghargaan menerusi kategori 'Clinician', Kejururawatan, Kesihatan Bersekutu dan Farmasi, Pentadbiran dan pasukan 'Ancillary'.
UBAH TEKSTUR MAKANAN UNTUK BANTU PESAKIT LANJUT USIA MENELANNYA
Antara 14 penerima anugerah 'Superstar' dalam kategori 'Exemplar Professional Nursing' bagi SHQSA tahun ini ialah jururawat masyarakat di NTUC Health Co-operative Limited, Nur Irma Natasha Az’man.
"Saya amat bersyukur dan berbesar hati untuk menerima anugerah ini. Ini adalah penghormatan yang amat besar bagi diri saya sepanjang saya di NTUC Health Co-operative Limited dan saya amat hargainya. Saya dengan rendah hati menerima pengiktirafan ini," kata Cik Irma.
Sebagai pejuang yang memperkenalkan International Dysphagia Diet Standardisation Initiative (IDDSI) kepada masyarakat dan di pusat jagaan, beliau memastikan para pesakit yang ada masalah untuk menelan makanan, menerima makanan yang sesuai.
Ini untuk membantu mereka elak daripada komplikasi seperti kekurangan makanan atau dehidrasi.
Beliau akur bekerja dengan para pesakit yang sudah lanjut usia bukanlah mudah namun masih tekad untuk memberikan khidmat yang terbaik buat mereka.
"Salah satu cabaran terbesar saya ialah apabila saya menyaksikan warga emas di bawah jagaan saya bergelut dengan pelbagai penyakit seperti demensia, isu psikologi, isu sosial dan ia sebenarnya memberi kesan kesihatan kepada mereka dan ia juga turut menjejas emosi saya.
"Oleh itu, saya sedia upaya untuk bertindak cepat untuk bekerjasama dengan penyedia penjagaan kesihatan luar lain untuk mencari penjagaan yang terbaik dan paling sesuai untuk warga emas itu secara holistik," kata Cik Irma.
Di samping itu, beliau juga melatih kakitangan untuk mengubah tekstur makanan, menjalankan audit dan menerbitkan panduan yang boleh diakses untuk membimbing kakitangan dan keluarga pesakit.
Beliau merasakan kepuasannya apabila melihat ada pesakit yang meraih manfaat daripada usaha tersebut.
Cik Irma juga menjalankan ceramah-ceramah kesihatan dan bekerja rapat dengan pesakit untuk menangani penyakit kronik dan meningkatkan kualiti hidup mereka melalui penjagaan kesihatan dan sokongan peribadi.
"Matlamat saya ialah untuk terus memberi inspirasi kepada yang lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam kerjaya ini dan di dalam masyarakat pula, saya ingin terus memberikan kesan positif kepada semua warga emas supaya mereka kekal aktif dan terus menyumbang kepada masyarakat," ujar Cik Irma.
TAMBAH ILMU UNTUK TINGKATKAN MUTU JAGAAN BUAT PESAKIT
Lagi seorang yang menerima penghargaan tahun ini ialah Nur Sabrina Izzati Samsuri.
Beliau diiktiraf atas usahanya untuk memastikan para pesakit menerima khidmat yang bersesuaian dan cemerlang.
Beliau menerima anugerah 'Superstar' dalam kategori 'Exemplar Professional Allied Health & Pharmacy'.
Cik Sabrina merupakan seorang ahli terapi Kesihatan Gigi dan Mulut yang sudah membantu para pesakit mengatasi kebimbangan ketika ke klinik gigi dengan menyesuaikan khidmat penjagaan mereka.
Dedikasinya terhadap kesejahteraan pesakit juga diiktiraf.
Cik Sabrina juga berkongsi bahawa pengesanan awal simptom sakit jantung pada pesakit lanjut usia menerusi kesihatan oral mereka, boleh menyelamatkan nyawa mereka dengan campur tangan perubatan awal.
"Saya sangat percaya bahawa penjagaan kesihatan oral adalah aspek yang penting dalam kehidupan seseorang dan saya ingin memastikan setiap pesakit saya mendapat perawatan terbaik dan terkini.
"Saya ingin berkongsi ilmu dan juga memupuk minat masyarakat dengan adanya projek (Penambahbaikan Kualiti) yang sedang saya jalankan," kongsi Cik Sabrina.
Cik Sabrina juga aktif menyumbang kepada jabatannya dengan membimbing kakitangan junior serta meningkatkan pengalaman pesakit melalui projek-projek Penambahbaikan Kualiti.
"Salah satu projek yang sedang saya jalankan bertujuan untuk meningkatkan kualiti penjagaan bagi pesakit saya dari segi kemudahan mendapatkan alat-alat pergigian yang telah disarankan secara khusus oleh kami sendiri.
"Ia melibatkan temu bual dengan pesakit untuk mengetahui tentang cabaran yang mereka hadapi. Dengan intervensi ini, ia bukan sahaja memudahkan pesakit untuk membeli tetapi juga meningkatkan motivasi mereka untuk memperbaiki penjagaan kesihatan oral di rumah juga," kongsi Cik Sabrina.
Beliau berharap dapat terus memberi impak positif kepada masyarakat.
"Saya juga harap dapat terus berkembang dalam bidang ini dengan mempelajari kemahiran dan pengetahuan baru untuk membantu pesakit dengan cara yang lebih berkesan. Saya juga ingin berperanan dan mendidik generasi akan datang agar lebih menghargai kesihatan mulut mereka," kata Cik Sabrina.
Seorang lagi individu yang menerima anugerah 'Superstar' dalam kategori 'Exemplar Professional Ancillary' ialah Muhamad Nasrin Jafar.
Beliau berkhidmat sebagai Pegawai Kanan Khidmat Pesakit di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (KKH) di mana beliau akan membimbing pesakit dan keluarga tentang proses pentadbiran seperti kaunseling kewangan dan kemasukan ke hospital.
Meskipun pernah ditimpa kemalangan yang menjejas pergerakannya, Encik Nasrin tidak menjadikan cabaran itu sebagai halangan untuk beliau cemerlang dalam tugasnya.
"Antara cabaran yang saya selalu hadapi apabila saya diserang sakit sendi dan apabila sudah makan ubat, saya akan rasa mengantuk dan penat. Dari situ saya akan minta bantuan daripada kawan sekerja saya. Saya juga akan tumpukan fokus sepenuh pada tugasan saya supaya tidak terasa rasa sakit," kongsi Encik Nasrin.
Sikapnya yang tenang ketika berdepan dengan para pesakit dan kemahirannya dalam bidang teknologi juga membantu dalam tugasan hariannya.
"Satu pengalaman manis ialah apabila saya mengenalkan aplikasi baru untuk melancarkan proses kemasukan ke hospital buat ibu bapa para pesakit. Mereka amat berterima kasih atas bantuan saya. Oleh itu, saya rasa bangga dan ia mendorong saya untuk buat yang lebih baik untuk para pesakit yang lain," kata Encik Nasrin.
Selain mereka bertiga, lebih 4,000 kakitangan perubatan lain turut menerima Anugerah Perak, Emas dan 'Star' manakala empat Anugerah Pasukan Terbaik disampaikan atas bagi mengiktiraf inisiatif inovatif, mampan dan memberi kesan positif kepada para pesakit, kakitangan dan masyarakat umum.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.