Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Khidmat bersepadu; prasarana inklusif antara rancangan pelan induk perpustakaan

Tidak lama lagi, orang ramai boleh menjangkakan lebih banyak bahan bacaan dalam bentuk digital, khidmat perpustakaan yang lebih bersepadu serta prasarana yang lebih inklusif untuk semua golongan masyarakat di kutubkhanah-kutubkhanah awam di sini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tidak lama lagi, orang ramai boleh menjangkakan lebih banyak bahan bacaan dalam bentuk digital, khidmat perpustakaan yang lebih bersepadu serta prasarana yang lebih inklusif untuk semua golongan masyarakat di kutubkhanah-kutubkhanah awam di sini.

Demikian antara inisiatif utama dalam Pelan Induk Perpustakaan dan Arkib 2025 (LAB25) yang diumumkan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) pada Rabu (20 Okt).

Sejak Januari 2020, NLB giat mengadakan sesi-sesi konsultasi secara online dan fizikal bersama masyarakat untuk mendapatkan maklum balas mereka.

Mereka terdiri daripada belia, warga emas, sukarelawan, golongan kurang upaya dan para peniaga.

Lebih 3,300 respons diterima daripada 440 responden secara keseluruhannya.

'PASAR PEMBELAJARAN' BERI PELUANG ORANG RAMAI TIMBA PENGETAHUAN DI TEMPAT AWAM

Antara inisiatif LAB25 adalah untuk membangunkan sebuah 'Pasar Pembelajaran' yang membolehkan para pengguna meraih ilmu di mana sahaja, menjangkaui ruang fizikal sebuah perpustakaan.

Misalnya menerusi mural interaktif yang akan dipasang di 12 pusat beli-belah merata negara seperti Bedok Mall, Jem dan Plaza Singapura.

(Gambar: NLB)

Setiap mural yang bertemakan genre seram dan fantasi disertakan dengan kod QR yang akan menghubungkan para pengguna dengan senarai bahan bacaan yang disarankan.

Pelan lima tahun di bawah LAB25 itu bertujuan merubah perpustakaan awam sejajar dengan corak dan tuntutan pengguna yang kian berubah.

Selain itu, platform-platform digital baru juga akan dilancarkan untuk menyediakan bahan bacaan serta pautan bahan pembelajaran buat para pengguna.

Dengan jumlah akses ke portal digitalnya sebanyak 80 juta setiap tahun, usaha itu diharap dapat mengembangkannya lagi kepada lebih ramai pengguna.

"Ia (Pasar Pembelajaran) membuka peluang untuk masyarakat kita berkongsi dan menemukan lagi informasi yang mereka perlukan. Saya rasa salah satu perkara penting ialah ia membuat semua lapisan masyarakat akan dapat menggunakannya," kata Ketua (Bahasa Melayu), NLB, Cik Zubaidah Mohsen.

Cik Zubaidah dan pasukannya giat melakarkan program untuk memenuhi semua bidang yang digariskan NLB terutama usaha untuk menggalak minat membaca.

Menurutnya, wadah-wadah seperti YouTube merupakan antara faktor yang menyumbang kepada trend kurang membaca dalam kalangan anak-anak di Singapura. Justeru, program-program yang dilaksanakan itu diharapkan dapat mengembalikan minat membaca di samping merapatkan hubungan kekeluargaan.

"Ini adalah satu masalah bukan sahaja dalam golongan masyarakat Melayu kita, ini adalah masalah yang dihadapi mungkin dalam semua masyarakat Singapura sebab anak-anak lebih didedahkan kepada YouTube dan sebagainya. Jadi dalam kita menganjurkan program dan kandungan yang kita sediakan untuk para ibu bapa, tujuan kami itu untuk memudahkan mereka untuk bersama-sama anak-anak itu, mereka ada 'bonding' di antara hubungan yang rapat antara ibu bapa dalam menyelesaikan masalah atau mencari informasi," tambah Cik Zubaidah.

RAMAI ORANG MELAYU MINAT BACA NOVEL ADAPTASI

Di bawah bidang tumpuan itu juga, sebuah kelab membaca bagi bahan-bahan bacaan bahasa Melayu juga akan dimulakan di Perpustakaan Chua Chu Kang pada hujung bulan ini.

Ia dipanggil 'Kelab Pencinta Novel'.

"Mula-mula nak kena baca buku-buku begini, lepas itu mungkin apabila mereka sudah terbiasa baca buku Bahasa Melayu, mereka akan naik ke tahap yang seterusnya, membaca bahan bacaan yang lebih kritikal atau lebih serius," tambah Cik Fitri.

Sebenarnya kata Cik Fitri sudah terdapat sebuah lagi kelab membaca yang ditubuhkan pada 2017 iaitu 'Kelab Membaca Ilham Pustaka'.

Dalam kelab tersebut, sekitar 50 pencinta karya sastera Melayu berkumpul sebulan sekali secara maya untuk membincangkan kandungan sesebuah buku.

Dengan usaha-usaha yang dijalankan ini, Cik Fitri turut berharap ini akan menimbulkan lagi minat membaca bahan-bahan bacaan dalam Bahasa Melayu yang dihasilkan karyawan tempatan.

"Kalau kita tak didedahkan kepada bahan-bahan atau bahan bacaan Melayu, atau penulis-penulis Melayu kita, kita tak akan tahu dan tak tahu sebenarnya karya-karya mereka sangat bermutu sekali.

"Apabila orang ramai masyarakat Melayu Singapura membaca karya-karya Singapura, mereka mungkin terjentik rasa minat itu untuk membaca lebih banyak bahan bacaan Melayu sama ada novel ke ataupun esei-esei dalam Bahasa Melayu ke, atau menghadiri program-program yang mereka boleh bertemu dengan penulis-penulis kita dan berbincang tentang topik-topik yang hangat di Singapura pada masa ini," ujar Cik Fitri.

PERPUSTAKAAN INKLUSIF PERTAMA DI S'PURA

Satu lagi bidang tumpuan utama di bawah LAB25 ialah untuk menjadikan perpustakaan lebih inklusif dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat termasuk, golongan warga senja dan kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah.

(Gambar: NLB)

Perpustakaan Daerah Punggol misalnya yang akan dibuka pada 2022 akan menjadi perpustakaan inklusif yang pertama di Singapura yang dilengkapi dengan kemudahan dan program yang mesra bagi pengguna kurang upaya.

Kemudahan-kemudahan itu kemudiannya akan disediakan di lebih banyak perpustakaan.

Lagi dua bidang tumpuan LAB25 termasuk memupuk masyarakat yang berpengetahuan dan memaparkan karya-karya tempatan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sy

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa