Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Khidmat 'Befriender' MUIS dampingi warga emas, jumlah relawan meningkat

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dalam masa 15 tahun sejak dirintis, jumlah relawan bagi khidmat pendampingan MUIS iaitu 'Befriender' naik lebih lima kali ganda.

Daripada hanya kurang 100 relawan sewaktu dirintis pada 2008, 'Befriender' kini sudah mempunyai 127 relawan Senior Befriender (SBF) dan hampir 400 Befriender (BF) yang aktif.

Dengan itu, mereka dapat melakukan sekitar 1,500 lawatan rumah-ke-rumah dan 860 panggilan telefon untuk mendampingi para penerima bantuan pada tahun lalu.

Kunjungan sebegini juga diharap dapat mengelakkan 'keasingan sosial' dan bantu mengenal pasti tanda awal kemurungan atau dementia di kalangan warga emas

Melalui lawatan rumah-ke-rumah dan panggilan telefon yang kerap, keluarga Melayu/Islam didampingi dan disokong dari segi emosi.

Selain itu, para relawan juga memberi maklumat tentang bantuan yang menyeluruh dan program-program sokongan lain termasuk pendidikan Islam. Usaha ini juga memastikan klien terus terhubung dengan masjid. Masjid juga berperanan sebagai rangkaian sosial menghubungkan klien-klien dengan sokongan nasional yang sedia ada.

DAPAT RAMAI KENALAN, MINDA TERBUKA KETIKA JADI RELAWAN 'BEFRIENDER'

Antara yang terpanggil untuk menabur bakti ialah suri rumah berumur 59 tahun, Noraisah Yacob.

Beliau sudah menjadi relawan 'Befriender' selama 12 tahun.

Sebelum menjadi seorang 'Befriender', beliau sering melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti relawan di dalam masyarakat serta estet-estet perumahan.

Beliau terdorong untuk berbakti kepada masyarakat dengan kudrat yang ada.

(Gambar: Nurfazirah Azman) Senior Befriender, Cik Noraisah Yacob.

"Membantu dalam segi kewangan, kita tidak mampu. Apatah lagi saya seorang suri rumah. Jadi masa dan tenaga yang Allah berikan, kita gunakan dengan cara terbaik. Jadi inilah cara kami memberi kepada masyarakat," kongsi Cik Noraisah kepada wartawan Nurfazirah Azman.

Kebanyakan daripada mereka yang dibantu adalah warga emas yang tinggal bersendirian dan kesunyian.

Menurutnya lagi, kerja-kerja relawan memberinya satu kepuasan yang tidak ternilai serta rasa syukur dengan apa yang ada.

"Kita dapat banyak kenalan dan apabila kita di luar, minda kita terbuka. Kita banyak berfikir, kita dapat lihat masalah-masalah masyarakat dan kita belajar bersyukur dengan apa yang kita dapat bila kita tengok orang lain susah.

"Jadi jangan selalu mengeluh bila kita rasa kekurangan tapi kita ingat di luar sana ada yang lebih susah daripada kita," ujar Cik Noraisah.

Selepas lebih lima tahun berkhidmat sebagai 'Befriender', beliau diberi pengiktirafan dan dilantik sebagai SBF.

Berbeza daripada peranan Befriender, SBF harus menggalas tugasan baharu yang lebih mencabar.

"Menjadi seorang Senior Befriender bukan sesuatu untuk dimegahkan. Ia satu cabaran baharu untuk kami bukan sahaja untuk membantu klien-klien tapi kami sebagai senior juga harus menjaga Befriender kami yang lain," kata Cik Norasiah.

SBF menjadi peran contoh buat para relawan yang lain. Mereka ditugaskan untuk membimbing para BF yang baharu dan memberi tunjuk-ajar yang bersesuaian. 

SBF juga bekerja rapat dengan Pegawai Pembangunan Sosial (SDO) dan akan bantu memadankan BF dengan para klien.

Di samping itu, Cik Norasiah juga giat melaksanakan aktiviti relawan sebagai ahli Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) di Keat Hong.

BERJAYA TARIK RELAWAN MUDA JUGA

Selain golongan lebih berusia, program 'Befriender' juga berjaya menarik relawan muda dan menjadi jambatan antara dua generasi.

Salah seorang daripada mereka ialah Muhammad Farhan Zulkifli, 34 tahun.

Melihat datuk dan ibunya menjadi relawan di masjid, ia membuat dirinya nya tergerak hati untuk mengikut jejak mereka.

"Sebelum adanya gelaran 'Befriender' secara rasmi, arwah Atuk adalah seorang Befriender dengan cara tersendiri. Dia adalah relawan veteran daripada Masjid Salim Mattar sejak zaman kampung lagi. Mak pun seorang 'pioneer Befriender', salah seorang 'Befriender' yang mendapat gelaran 'Senior Befriender' yang pertama," kata Encik Farhan.

Beliau mula menyertai 'Befriender' pada usia 19 tahun dan menjadi relawan termuda khidmat tersebut pada ketika itu.

(Gambar: Muhammad Farhan Zulkifli)

"Sentiasa sabar dan sentiasa mengingat kembali mengapa kita menjadi seorang 'Befriender'. Jadi seorang 'Befriender' memberi kita peluang untuk muhasabah diri dan dari itu teruskan khidmat masing-masing atas niat masing-masing," kata Encik Farhan.

"Masa yang diberikan untuk relawan tidak banyak, tidak lama. Dalam masa yang singkat itu ia memberi saya makna, erti, pengajaran dan kisah untuk diteladani. Untuk sesiapa yang ingin menjadi seorang 'Befriender', usah fikir panjang. Ini adalah sesuatu wadah yang baik untuk kita bermuhasabah diri," tambahnya.

Beliau berharap lebih ramai golongan muda dapat membahagikan masa untuk membuat kerja-kerja relawan.

Ini kerana menurut Encik Farhan, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada si penerima bantuan tetapi para relawan itu sendiri.

Selain sokongan emosi, keluarga penerima bantuan zakat juga boleh menyertai program LEAP untuk melengkapkan keluarga-keluarga Melayu/Islam dengan bantuan dan sumber untuk berkembang maju dalam masyarakat.

Bagi tahun 2024, beberapa pendekatan baru akan diusahakan oleh MUIS termasuk ‘Team Befriending’ di mana sekumpulan relawan menjaga klien-klien di sesebuah kawasan agar mereka dapat mengenal-pasti keperluan tertentu DAN mampu bertindak dengan lebih berkesan. Befrienders juga tidak tertakluk kepada kawasan masjid tetapi akan disalurkan kepada daerah yang memerlukan lebih ramai relawan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan