Khidmat bas ulang-alik tanpa pemandu pertama di Punggol dibuka kepada orang ramai jelang Q2 2026
Laluan pertama daripada tiga laluan baharu bagi perkhidmatan ulang-alik tanpa pemandu di Punggol akan dibuka kepada orang ramai menjelang suku kedua 2026, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Sabtu (20 Sep).
Grab akan mengendalikan dua laluan menggunakan kenderaan tanpa pemandu (AV) yang dibangunkan oleh syarikat AV WeRide, manakala ComfortDelGro akan mengendalikan satu laluan menggunakan kenderaan keluaran syarikat AV Pony.ai.
Perkhidmatan ulang-alik itu akan bermula dengan gabungan kenderaan dengan lima hingga lapan tempat duduk. Kenderaan berwarna ungu yang akan digunakan itu akan dilabel “autonomous shuttle” (khidmat ulang-alik tanpa pemandu) bagi memudahkan pengguna jalan raya untuk mengenalinya.
Bercakap semasa pelancaran Pameran Bergerak Khidmat Ulang-Alik Tanpa Pemandu di Daerah Digital Punggol pada Sabtu (20 Sep), Menteri Negara Kanan bagi Pembangunan Negara merangkap Pengangkutan, Sun Xueling, berkata Punggol dipilih kerana terdapat kumpulan penduduk yang pelbagai dengan “pola perjalanan yang jelas yang boleh dilayani dengan lebih baik”.
“Perkhidmatan ulang-alik ini juga akan membantu meningkatkan ketersambungan dalam kawasan kejiranan, termasuk sambungan peringkat awal dan akhir ke rangkaian pengangkutan utama,” kata Cik Sun, yang juga Anggota Parlimen bagi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC)Punggol.
Beliau menambah bahawa pihak berkuasa akan melancarkan ketiga-tiga laluan itu secara berperingkat.
Laluan pertama akan dikendalikan oleh Grab dan dijangka dibuka kepada orang ramai menjelang suku kedua tahun depan. Laluan berkenaan akan menghubungkan penduduk Matilda Court dan Punggol Clover ke poliklinik di Oasis Terraces melalui Punggol Plaza.
Perkhidmatan itu akan beroperasi dari pukul 9.30 pagi hingga pukul 5.00 petang, Isnin hingga Jumaat, dan tidak memerlukan tempahan awal.
ComfortDelGro akan mengendalikan laluan kedua, yang akan menghubungkan penduduk di Punggol Northshore ke Oasis Terraces dan Punggol Plaza. Penduduk di Waterway Sunrise juga akan dapat ke One Punggol dan Punggol Coast Mall.
Grab akan mengendalikan laluan terakhir, yang akan menghubungkan penduduk Matilda Court, Punggol Clover dan Punggol Northshore ke One Punggol dan Punggol Coast Mall.
Menurut LTA, perkhidmatan ulang-alik tanpa pemandu itu akan memendekkan masa perjalanan menggunakan pengangkutan awam sehingga 15 minit.
“KEMAJUAN TEKNOLOGI” SETERUSNYA
Menteri Pemangku Pengangkutan Jeffrey Siow, yang mengumumkan perkhidmatan baharu itu semasa pameran bergerak tersebut, berkata kenderaan tanpa pemandu merupakan “kemajuan teknologi seterusnya”.
Pihak berkuasa memulakan rancangan untuk kenderaan tanpa pemandu sejak 2013, tetapi teknologi ketika itu “belum benar-benar bersedia”, katanya.
“Sekarang dengan sensor yang lebih murah, dengan data besar, dengan AI (kecerdasan buatan), AV kini akhirnya menjadi realiti,” kata beliau.
Encik Siow, yang juga Menteri Negara Kanan bagi Kewangan, berkata pihak berkuasa menyasarkan untuk membawa masuk 10 kenderaan tanpa pemandu menjelang akhir tahun ini, dan sekitar 100 hingga 150 kenderaan menjelang akhir 2026.
Baik Cik Sun mahupun Encik Siow menekankan bahawa keselamatan adalah kepentingan utama.
Secara teori, AV seharusnya lebih selamat kerana ia secara umumnya “lebih boleh dijangkakan daripada pemandu manusia”, kata Encik Siow.
Bagaimanapun, statistik semasa mengenai kemalangan AV adalah dari luar negara. Justeru itu, pihak berkuasa akan menguji AV di Singapura dengan cara yang “selamat dan terkawal”. Mereka juga akan menggunakan AI untuk memahami bagaimana ia berfungsi dalam persekitaran Singapura, katanya.
Cik Sun berkata kenderaan tersebut terlebih dahulu akan menjalani “ujian ketat dan proses pembiasaan” sebelum mengambil penumpang.
Proses pembiasaan itu akan bermula minggu depan dan akan mengambil masa satu hingga dua bulan. Ia akan dijalankan menggunakan rangkaian sensor dan kamera yang dipasang pada setiap kenderaan untuk memberikan pandangan 360 darjah.
Sebaik sahaja proses tersebut selesai, anggota masyarakat akan dijemput secara berperingkat untuk menaiki perkhidmatan ulang-alik itu secara percuma untuk meneliti bagaimana ia berfungsi.
“Kemudian apabila kita lebih yakin, apabila Punggol memberi keyakinan itu, saya akan membawanya ke Tengah juga,” kata Encik Siow, sambil menambah bahawa pihak berkuasa berharap untuk mendapatkan maklum balas daripada orang ramai.
Pihak berkuasa sebelum ini mempercepatkan rancangannya untuk melancarkan kenderaan tanpa pemandu di Singapura.
Kementerian Pengangkutan (MOT) mengumumkan pada akhir Julai bahawa sebuah jawatankuasa 17 anggota sudah ditubuhkan untuk memimpin pengenalan progresif kenderaan tanpa pemandu di Singapura.
MOT menyatakan jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Encik Siow itu akan “mengambil pendekatan seluruh masyarakat” untuk memastikan AV disepadukan dengan selamat dalam sistem pengangkutan darat Singapura, mewujudkan pekerjaan baharu dan meningkatkan ketersambungan harian penduduk.
PELUANG PEKERJAAN
Semua kenderaan ulang-alik tanpa pemandu akan membawa seorang operator keselamatan.
Encik Siow berkata Grab dan ComfortDelGro sudah menubuhkan akademi untuk melatih rakan pemandu yang berminat untuk beralih ke pekerjaan baharu, termasuk operator keselamatan, pengendali jarak jauh dan pengurus armada.
“Jangan bimbang, kita masih memerlukan pemandu manusia untuk jangka yang panjang. Tetapi jika anda, sebagai rakan pemandu, rasa anda mahu mencuba sesuatu yang baharu, mencuba pekerjaan baharu dalam persekitaran baharu, pengendali dan NTUC (Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan) akan bekerjasama dengan anda,” tambahnya.
Menurut Grab, latihan untuk operator keselamatan bagi kenderaan tanpa pemandu mereka sudah dimulakan sejak Ogos.
Lebih 10 rakan pemandunya kini menjalani latihan, dan para peserta diajar cara sistem pemanduan berfungsi, protokol kecemasan serta penghuraian bagi masalah asas.
Grab sebelum ini melancarkan perkhidmatan bas ulang-alik tanpa pemandu untuk kakitangannya di one-north pada Julai, yang dikendalikan bersama pengeluar AV dari Korea, Autonomous A2Z.
Kali ini, AV di Punggol dikendalikan dengan kerjasama WeRide, yang beribu pejabat di Guangzhou. WeRide sudah pun melancarkan perkhidmatan bas ulang-alik tanpa pemandu di Resorts World Sentosa sejak tahun lalu.
Perkhidmatan kenderaan tanpa pemandu Grab di Punggol akan dikenali sebagai Ai.R, atau Autonomously Intelligent Ride.
Sementara itu, perkhidmatan ulang-alik tanpa pemandu ComfortDelGro, Zig Driverless, akan dikendalikan dengan kerjasama Pony.ai.
Ini menandakan peluasan pertama Pony.ai ke Singapura. Syarikat itu mengendalikan perkhidmatan robotaxi komersial tanpa pemandu sepenuhnya di empat bandar di China.
ComfortDelGro dan Pony.ai menjalankan program perintis AV di Guangzhou pada Mac lalu.
Pengarah urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ComfortDelGro, Encik Cheng Siak Kian, berkata perkhidmatan ulang-alik baharu itu menawarkan “peluang kerjaya yang menarik” yang akan membantu menarik bakat muda ke industri pengangkutan.
Para penumpang boleh menempah perjalanan tanpa pemandu ini melalui aplikasi ComfortDelGro Zig apabila perkhidmatan itu bermula pada awal 2026.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.