Skip to main content

Singapura

Khidmat bas baharu, lebih banyak laluan berbumbung bagi penduduk Ang Mo Kio

Para penduduk Ang Mo Kio akan mendapat beberapa peningkatan dan naik taraf di estet perumahan mereka, termasuk lebih banyak laluan berbumbung dan perkhidmatan bas baharu selepas ia diumumkan pada Sabtu (15 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 15 Mar 2025 01:30PM Dikemas Kini : 15 Mar 2025 10:22PM
SINGAPURA: Para penduduk Ang Mo Kio akan mendapat beberapa peningkatan dan naik taraf di estet perumahan mereka, termasuk lebih banyak laluan berbumbung dan perkhidmatan bas baharu selepas ia diumumkan pada Sabtu (15 Mac).

Berucap semasa merasmikan pameran Pelan Induk Majlis Bandaran Ang Mo Kio, Menteri Kanan Lee Hsien Loong membentangkan rancangan masa lalu dan masa hadapan untuk menambah baik Ang Mo Kio.

Pelan baharu itu termasuk perkhidmatan bas baharu, 138M. Khidmat baharu itu dilancarkan pada pagi Sabtu (15 Mac) dan bertujuan untuk memudahkan penduduk terutama warga emas dan mereka yang terlalu uzur dan tidak berdaya untuk berulang-alik ke Poliklinik Ang Mo Kio dari pusat pertukaran bas, kata Encik Lee.

Khidmat bas baharu itu juga akan melalui perhentian bas yang paling dekat dengan poliklinik, tanpa penumpang perlu menyeberang jalan, menurut poster SBS Transit. Ia akan beroperasi pada kekerapan setiap 30 minit dari Pusat Pertukaran Bas Ang Mo Kio.

"Penduduk kami sudah lama menunggu khidmat ini, kami telah berusaha keras untuk mendapatkannya, akhirnya kami berhasil mendapatnya dan saya gembira ia akan disediakan," kata Encik Lee.

"Ang Mo Kio sepatutnya menjadi tempat yang baik, tempat yang sihat untuk didiami."

Penambahbaikan lain termasuk lebih banyak laluan berbumbung untuk menjadikan perjalanan harian penduduk lebih selesa, serta kemudahan dan inisiatif yang lebih mesra warga emas seperti Program Peningkatan Warga Emas, bermula tidak lama lagi di empat daerah di Chong Boon.

Hadir di majlis itu bersama Encik Lee ialah rakan-rakan Anggota Parlimen bagi GRC Ang Mo Kio Darryl David, Gan Thiam Poh dan Nadia Samdin. Turut hadir ialah Anggota Parlimen SMC Kebun Baru Henry Kwek dan Anggota Parlimen SMC Yio Chu Kang Yip Hon Weng.

“Sejak lima tahun lalu, AMKTC (Majlis Bandaran Ang Mo Kio) telah bekerjasama dengan agensi-agensi pemerintah dan rakan-rakan kongsi masyarakat untuk melaksanakan peningkatan dan kerja naik taraf yang ketara di kesemua tujuh divisyen bandar itu,” menurut majlis bandaran itu dalam satu kenyataan media.

“AMKTC akan terus memberikan tumpuannya kepada bidang-bidang utama ini: Menjaga golongan muda dan warga emas, menggalakkan inklusiviti dan meningkatkan kemampanan.”

Encik Lee turut menarik perhatian kepada pelbagai perubahan sepanjang tempoh lima tahun yang lalu. Para penduduk menikmati kemudahan yang lebih baik, seperti pasar dan pusat penjaja yang dinaik taraf, rumah yang dipertingkatkan, serta lebih banyak ruang masyarakat untuk keluarga.
(Gambar: CNA/Raydza Rahman)
Para Anggota Parlimen di pelancaran Pelan Induk Majlis Bandaran Ang Mo Kio pada 15 Mac 2025. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)
“Anggota Parlimen anda, pasukan saya dan saya, kami komited untuk menjadikan Ang Mo Kio kediaman yang lebih bertenaga, inklusif dan terhubung untuk kita semua,” tambah Encik Lee.

Encik Lee pertama kali dipilih sebagai Anggota Parlimen SMC Teck Ghee pada 1984. Sejak pembubarannya pada 1991, beliau telah mewakili Teck Ghee sebagai sebahagian daripada GRC Ang Mo Kio.

"Apabila saya mula-mula menjadi Anggota Parlimen di Teck Ghee 40 tahun lalu, Ang Mo Kio masih merupakan bandar baharu yang agak muda," katanya.

“Banyak keluarga baharu sahaja berpindah ke flat HDB yang baru dibina, pasangan muda (dengan) anak kecil. Tidak begitu banyak kemudahan.

"Tetapi tahun demi tahun, kami membina Ang Mo Kio menjadi bandar yang bertenaga seperti hari ini."
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita