Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Khidmat baru online beri akses kepada rekod keselamatan syarikat binaan: MOM

Tindakan penguatkuasaan itu dilakukan setelah lima kematian dicatatkan dalam tempoh 10 hari - antara 23 November hingga 2 Disember tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sejak 10 Disember tahun lalu, 450 pelanggaran piawai keselamatan di tempat kerja dikesan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dengan empat syarikat dikenakan arahan berhenti kerja.

Tindakan penguatkuasaan itu dilakukan setelah lima kematian dicatatkan dalam tempoh 10 hari - antara 23 November hingga 2 Disember tahun lalu.

Demi mendesak pihak syarikat supaya lebih berhati-hati, MOM hari ini (21 Jan) melancarkan portal CheckSafe yang membutirkan rekod keselamatan sesebuah syarikat.

400 PEMERIKSAAN PENGUATKUASAAN DI BAWAH OPERASI ROBIN

Tapak binaan kondominium di bawah syarikat binaan L.S. Construction yang terletak di Serangoon North, dikenakan arahan berhenti kerja dengan serta merta pada Khamis (21 Jan).

Ini setelah ia gagal memasang tiang-tiang sokongan sebelum membuat penggalian, selain langkah-langkah menggunakan tali keselamatan dari tingkat tinggi yang tidak mencukupi.

Menteri Negara Kanan MOM, Zaqy Mohamed menyertai para pegawai MOM melakukan operasi penguatkuasaan pada Khamis (21 Jan). Beliau melahirkan rasa bimbangnya terhadap keselamatan para pekerja.

Encik Zaqy berkata: "Kami khuatir di mana kita tidak mahu situasi di mana sesebuah syarikat itu sedang cuba, mengejar jadual binaan oleh kerana pandemik COVID-19, banyak yang mungkin melihat ketinggalan pada jadual mereka. Jadi kita tidak mahu, keselamatan terjejas."

Encik Zaqy menambah lantaran itu jugalah MOM mengambil keputusan menjalankan Operasi Robin, bermula 10 Disember hingga 15 Februari ini.

Ia menyaksikan 400 pemeriksaan penguatkuasaan dibuat ke atas keselamatan di sektor-sektor berisiko tinggi seperti binaan, pengilangan dan marin.

"MOM meningkatkan lagi usaha ataupun aktiviti kami untuk membuat pemeriksaan penguatkuasaan untuk menjaga kesihatan dan keselamatan pekerja di tempat-tempat kerja," jelas Encik Zaqy.

REKOD KESELAMATAN FIRMA BINAAN BOLEH DIAKSES

Demi memastikan syarikat lebih prihatin tentang keselamatan pekerja, MOM turut melancarkan khidmat online CheckSafe.

Menerusinya, orang ramai dan syarikat boleh memeriksa rekod keselamatan firma binaan termasuk jumlah kecederaan, kematian, mata denda dan hukuman yang dikenakan ke atas sesebuah syarikat.

Data yang terkandung juga akan dikemas kini setiap dua minggu sekali.

Encik Zaqy berkata: "Kita mahu syarikat-syarikat mengamalkan tahap keselamatan yang baik dan kita membawa perangkaan ini kepada pihak awam dan juga pembeli perkhidmatan. Saya berharap dengan ketelusan ini, kami membawa juga syarikat-syarikat yang membeli, iaitu sektor binaan daripada pemerintah juga, apabila mereka menilai kontrak-kontrak mereka, mereka menggunakan syarikat-syarikat yang lebih selamat."

Khidmat CheckSafe ditawarkan bagi sektor binaan buat sekarang ini dan akan diluaskan lagi kepada semua industri berdasarkan maklum balas pengguna.  

Sumber : BERITA Mediacorp/HK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan