Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Khidmat baru feri ke Kepulauan Selatan antara rancangan kemampanan Sentosa

Tidak lama lagi, perjalanan ke Kepulauan Selatan dari Sentosa tidak akan mengambil masa yang lama. Ini apabila sebuah pelabuhan baru feri di Sentosa Cove Village dijangka memulakan khidmat menjelang Disember.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 17 Sep 2021 01:28PM Dikemas Kini : 17 Sep 2021 09:22PM

SINGAPURA: Tidak lama lagi, perjalanan ke Kepulauan Selatan dari Sentosa tidak akan mengambil masa yang lama. Ini apabila sebuah pelabuhan baru feri di Sentosa Cove Village dijangka memulakan khidmat menjelang Disember.

Para pelawat ke Kepulauan Selatan, termasuk Pulau Sekijang Bendera dan Pulau Sekijang Pelepah boleh menjangkakan "pengalaman bersantai yang tidak menghasilkan banyak pengeluaran karbon", termasuk lawatan sambil mengayuh basikal dan penginapan 'glamping', serta tempahan makanan yang dihantar menggunakan dron.

Satu siri lawatan bertemakan kemampanan yang akan membawa para pelawat menyusuri warisan biodiversiti dan sekitaran alam unik di Sentosa serta pulau-pulau berhampiran akan dilancarkan secara berperingkat mulai Disember, menurut Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) dalam satu kenyataan media hari ini (17 Sep).

Ia adalah sebahagian daripada usaha pulau itu untuk menjadi satu destinasi neutral karbon menjelang 2030, dan mengubah Singapura menjadi sebuah destinasi pelancongan mampan.

Hari ini (17 Sep), SDC melancarkan hala tuju yang melakarkan sasaran kemampanan, yang termasuk pengangkutan dan infrastruktur mesra alam sekitar serta memanfaatkan tenaga yang boleh diperbaharui.

Menjelang 2025, para pelawat ke Sentosa boleh mengelilingi pulau itu dengan menaiki kenderaan-kenderaan elektrik, dengan bas-bas elektrik dikerahkan secara bertahap-tahap di Sentosa mulai tahun depan.

Satu uji cuba bas elektrik bersama ComfortDelGro Bus akan bermula pada bulan depan, menurut SDC. Ia menambah bahawa menjelang 2030, semua tempat letak kereta kendalian SDC akan disediakan tempat pengecas kenderaan elektrk. Kesemua bangunan baru milik SDC juga akan dibina untuk mendapatkan pensijilan Tanda Hijau Platinum Tenaga Amat Rendah (SLE).

Bercakap di majlis pelancaran hala tuju kemampanan Sentosa, Menteri Negara bagi Perdagangan dan Perusahaan Alvin Tan berkata hala tuju itu adalah langkah "bercita-cita tinggi" yang diambil oleh Singapura ke arah sektor pelancongan yang lebih mesra alam sekitar, sambil menambah bahawa model itu berpotensi ditiru bagi sektor-sektor lain.

"Sedang kita meneruskan dengan rancangan untuk mengubah Singapura sejajar dengan Pelan Hijau Singapura, kerjasama sedemikian bermanfaat dan penting," katanya.

LEBIH BANYAK KERJASAMA UNTUK CAPAI KARBON NEUTRAL

Demi mencapai sasaran mengurangkan pengeluaran karbon menjelang 2030, satu perikatan baru meliputi 17 perniagaan termasuk SDC dan perniagaan utama di Sentosa seperti hotel dan kelab pantai dilancarkan hari ini.

Menurut SDC, para anggota menyumbang kepada lebih 90 peratus daripada anggaran profil karbon Sentosa sebanyak 162,000 tC02e (berat setara 162,000 tan karbon dioksida).

Perikatan itu yang diberi nama Rangkaian Karbon Neutral Sentosa, akan menghasilkan huraian kemampanan bagi seluruh Sentosa melalui perkongsian sumber dan kemahiran di samping memanfaatkan ekonomi skala dan satu rangkaian sama untuk memperkenalkan huraian berskala besar, menurut SDC.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan