Skip to main content

Singapura

Khidmat baharu BlueSG, Flexar dilancar 15 Apr dengan gabungan kereta EV dan ICE

BlueSG akan melancarkan khidmat sewa kereta baharu, Flexar, pada Rabu (15 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Khidmat baharu BlueSG, Flexar dilancar 15 Apr dengan gabungan kereta EV dan ICE

Kereta-kereta yang ditawarkan di bawah jenama baharu Flexar. (Gambar: Flexar)

Diterbitkan : 14 Apr 2026 02:58PM
  • BlueSG akan melancarkan perkhidmatan sewa kereta baharu, Flexar, pada 15 April di beberapa kawasan utama Singapura.
  • Flexar menawarkan gabungan kenderaan elektrik dan enjin pembakaran dalaman, berbeza dengan armada elektrik sepenuhnya sebelum ini.
  • Perkhidmatan ini bermula dalam fasa beta, dengan maklum balas pengguna digunakan untuk penambahbaikan sebelum pelaksanaan lebih meluas pada 2026.
  • Struktur harga baharu diperkenalkan dan Flexar akan mengurus pengisian bahan api serta penyelenggaraan, menyokong matlamat mobiliti bersama Singapura.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: BlueSG akan melancarkan khidmat sewa kereta baharu, Flexar, pada Rabu (15 Apr). Armada yang ditawarkan tidak lagi dibentuk sepenuhnya oleh kereta elektrik.

Dilancarkan pada 2017, BlueSG merupakan khidmat perkongsian kenderaan elektrik (EV) berskala besar pertama di Singapura. Ia menggantung operasinya pada Ogos 2025, menyifatkan langkah tersebut sebagai “jeda strategik” sebelum pelancaran perkhidmatan baharu pada 2026.

Mediacorp melaporkan pada Mac bahawa BlueSG akan melancarkan semula perkhidmatan perkongsian keretanya di bawah jenama Flexar.

Memulakan perkhidmatan di bawah “fasa beta”, Flexar dalam satu kenyataan pada Isnin menyatakan ia akan dilancarkan dengan kedua-dua kenderaan EV dan enjin pembakaran dalaman (ICE) mulai Rabu di kawasan tengah, utara, timur laut dan timur Singapura, termasuk Punggol, Sengkang, Hougang, Tampines, Ang Mo Kio dan Toa Payoh.

Menurut laman Flexar, sewa kenderaan adalah percuma bagi lima minit pertama dan dikenakan bayaran S$0.52 seminit bagi 15 minit berikutnya, S$0.49 seminit bagi 20 minit seterusnya, dan S$0.46 seminit bagi 20 minit selepas itu. Sewa akan dikenakan bayaran S$0.44 seminit selepas melepasi satu jam.

Ini bermakna pemanduan bagi sejam pertama berharga S$26.80, dengan setiap jam berikutnya pada S$26.40.

“Maklum balas daripada fasa beta ini akan menjadi penting dalam memperkukuhkan tawaran Flexar untuk menyediakan pilihan mobiliti yang fleksibel dan berpatutan bagi para penumpang di Singapura,” menurut Flexar.

Maklumat mengenai faktor-faktor seperti penempatan stesen dan permintaan kenderaan akan menyokong “penambahbaikan berterusan” pada platform perkongsian kenderaan tersebut.

Menurut Flexar, sepanjang “jeda strategik” BlueSG, perkhidmatan baharu itu direka “dari awal”, dengan ciri-ciri baharu seperti pengoptimuman meletak kereta yang akan diuji apabila perkhidmatan dilancarkan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Flexar, Fon Supannakul, berkata maklum balas daripada fasa beta akan membolehkannya memperhalusi perkhidmatan tersebut sebagai persediaan untuk pelaksanaan yang lebih meluas.

“Misi Flexar adalah untuk menyediakan penyelesaian mobiliti inovatif yang melengkapi visi lebih luas Singapura ke arah masa depan kurang kereta dan mobiliti bersama,” kata beliau.

Rakyat Singapura berusia 18 tahun ke atas dengan lesen memandu yang sah boleh mendaftar untuk perkhidmatan tersebut apabila ia dilancarkan pada Rabu.

Flexar menyatakan ia akan “menguruskan” pengisian bahan api dan penyelenggaraan kenderaan-kenderaannya.

Mediacorp sudah meminta Flexar untuk menjelaskan bagaimana ia akan mengendalikan pengisian bahan api dan pengecasan kenderaan, serta sama ada para pelanggan perlu untuk mengisi bahan api atau mengecas kenderaan sendiri.

Mediacorp juga bertanya mengapa Flexar beralih daripada armada elektrik sepenuhnya BlueSG kepada gabungan kenderaan EV dan ICE, serta jumlah armada semasa dan nisbah EV-ICE.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita