Skip to main content

Singapura

Khidmat automasi T4 Lapangan Terbang Changi pertingkat kecekapan; namun kurang separuh syarikat penerbangan manfaatkannya

Seramai lapan juta penumpang melalui Terminal 4 Lapangan Terbang Changi sejak ia mula beroperasi setahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Khidmat automasi T4 Lapangan Terbang Changi pertingkat kecekapan; namun kurang separuh syarikat penerbangan manfaatkannya

Mesin automatik mendaftar diri di dewan pelepasan antarabangsa Lapangan Terbang Changi di Singapura. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 01 Nov 2018 09:05AM Dikemas Kini : 01 Nov 2018 09:11AM

SINGAPURA: Seramai lapan juta penumpang melalui Terminal 4 Lapangan Terbang Changi sejak ia mula beroperasi setahun lalu.

Bagi sebahagian besar penumpang itu, proses mendaftar masuk dan menaiki pesawat adalah lebih mudah dan lancar, terutamanya jika syarikat penerbangan pilihan mereka sudah memanfaatkan khidmat automasi yang ditawarkan oleh lapangan terbang itu.

Terminal 4 dibangunkan sebagai terminal pertama di Lapangan Terbang Changi yang menawarkan proses pelepasan automatik - dari proses mendaftar masuk dan meninggalkan bagasi di dewan keberangkatan sehingga ke proses pelepasan imigresen dan menaiki pesawat.

Matlamatnya adalah untuk mewujudkan perjalanan yang mudah dan lancar bagi para penumpang dan ia sudahpun membuahkan hasil.

Changi Airport Group (CAG) memberitahu Mediacorp bahawa syarikat-syarikat penerbangan, yang memanfaatkan proses mendaftar masuk dan mesin bagasi, menguruskan tambahan 20 hingga 30 peratus penumpang setiap jam.

Bagi syarikat penerbangan Cathay Pacific, proses menaiki pesawat secara automatik membantu mengurangkan tempoh proses tersebut dari 30 minit kepada 15 minit.

Cathay Pacific menyatakan bahawa dengan membolehkan para penumpang untuk mendaftar diri secara sendirian, para kakitangan kini boleh memberi tumpuan kepada menyediakan pengalaman penumpang yang lebih baik.

Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia pula memberitahu Mediacorp bahawa proses automasi itu membantu meningkatkan kecekapan operasi, sekaligus menjimatkan kos operasi.

TIDAK SEMUA SYARIKAT PENERBANGAN MANFAATKAN KHIDMAT AUTOMASI

Bagaimanapun, kurang separuh daripada syarikat penerbangan yang beroperasi di Terminal 4 memanfaatkan khidmat-khidmat automatik.

Daripada sembilan syarikat penerbangan itu, hanya AirAsia, Cathay Pacifc dan Cebu Pacific Air yang menawarkan khidmat mendaftar masuk dan mesin bagasi automatik. Menurut CAG, Korean Air juga akan menggunakan khidmat tersebut menjelang pertengahan 2019.

Seorang pakar penerbangan memberitah Mediacorp bahawa meskipun khidmat sedemikian dihasilkan bagi meningkatkan keberkesanan operasi dan kos, ia memanfaatkan kebanyakan syarikat penerbangan yang mengendalikan jumlah besar penerbangan di terminal itu.

KEUPAYAAN DAN PENYELARASAN DENGAN PELBAGAI PIHAK DIPERLUKAN

Menurut Cathay Pacific, melaksanakan khidmat mendaftar masuk dan mesin bagasi yang automatik memerlukan syarikat penerbangan itu untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak. Ini termasuk pasukan khidmat lapangan terbang tempatan, ejen pengurusan serta pengendali dan pihak berkuasa lapangan terbang.

AirAsia misalnya menawarkan khidmat mendaftar masuk automatik di lapangan terbang di enam negara. Ia juga memperkenalkan teknologi mengecam wajah swbelum penumpang menaiki pesawat di Lapangan Terbang Senai di Johor yang membolehkan para penumpang untuk menaiki pesawat tanpa menunjukkan sebarang dokumen perjalanan.

LEBIH PENINGKATAN DI LAPANGAN TERBANG CHANGI MENJELANG AKHIR 2018

Naib Presiden Kanan Pengalaman Penumpang CAG, Albert Lim, berkata lapangan terbang itu sudah meningkatkan proses mendaftar masuk automatiknya sejak setahun lalu.

Dengan itu, para penumpang boleh menjangkakan lebih banyak peningkatan menjelang hujung tahun 2018 - kali ini, bagi proses pelepasan imigresen.

"Kami sedang melakukan satu lagi peningkatan untuk menawarkan lebih banyak bahasa dipaparkan di pintu-pintu imigrasi automatik," kata Encik Lim.

"Apabila pasport penumpang diimbas, sistem itu akan dapat mengesan kerakyatan penumpang dan memaparkan mesej-mesej dalam bahasa negara itu. Ini akan membolehkan para penumpang asing untuk rasa lebih selesa apabila menjalani proses pelepasan imigresen secara automatik serta mempercepatkan proses tersebut."

Bahasa Mandarin, Indonesia dan Thailand adalah kumpulan bahasa pertama yang akan diperkenalkan. Lebih banyak bahasa mungkin diperkenalkan berdasarkan maklum balas para penumpang, tambah Encik Lim.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita