Khaw Boon Wan dilantik pengerusi syarikat CLG milik SPH
Mantan menteri Kabinet Khaw Boon Wan akan dilantik sebagai pengerusi syarikat awam terhad dengan jaminan (CLG) yang akan memiliki wadah-wadah berita Singapore Press Holding (SPH). Demikian diumumkan Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran pada Isnin (10 Mei).
SINGAPURA: Mantan menteri Kabinet Khaw Boon Wan akan dilantik sebagai pengerusi syarikat awam terhad dengan jaminan (CLG) yang akan memiliki wadah-wadah berita Singapore Press Holding (SPH). Demikian diumumkan Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran pada Isnin (10 Mei).
Wakil-wakil pemegang saham pengurusan SPH - OCBC, Great Eastern, UOB, DBS, Singtel, NTUC Income, Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), serta Fullerton - anak syarikat Temasek Holdings - akan menjadi anggota pengasas CLG.
Pelantikan Encik Khaw dipersetujui oleh para pemegang saham pengurusan SPH.
"Tujuannya adalah agar saham pengurusan ini dipegang oleh institusi ternama dan mapan supaya kepemimpinan suratkabar itu dipertanggungjawabkan kepada entiti yang mempunyai minat dalam dan komitmen terhadap kestabilan serta kejayaan Singapura," kata Encik Iswaran di Parlimen semasa memberikan kenyataan menterinya.
Beliau menambah langkah itu akan memastikan media berita tempatan kekal berada di dalam tangan institusi yang boleh dipercayai dengan kepentingan jangka panjang di Singapura.
Keanggotaan CLG akan diperluaskan untuk meliputi institusi-institusi lebih baru dan lebih rencam, kata beliau.
"Dengan kedudukannya yang tinggi dan pengalaman lebih daripada 25 tahun dalam perkhidmatan awam meliputi pelbagai pelantikan senior, Encik Khaw akan dapat memberikan kepimpinan strategik yang kukuh kepada CLG," kata Encik Iswaran mengenai Encik Khaw, yang bersara daripada politik pada 2020 sebagai Menteri Penyelaras bagi Prasarana merangkap Menteri Pengangkutan.
Beliau menambah Encik Khaw akan memberikan pandangannya tentang hala tuju CLG apabila tiba masanya kelak.
CLG adalah entiti yang tidak mempunyai modal saham atau pemegang saham tetapi mempunyai anggota yang bertindak sebagai penjamin dan bersetuju untuk membayar jumlah kecil sekiranya syarikat itu dibubarkan. Pertubuhan yang dikendalikan di bawah model seumpama itu termasuk pusat-pusat seni Esplanade dan The Arts House.
Di bawah penyusunan semula yang dicadangkan SPH, CLG akan memiliki dan mengendalikan akhbar atau wadah media SPH seperti The Straits Times and Lianhe Zaobao sebagai satu perniagaan bukan meraih keuntungan. Ia juga akan dibenarkan untuk menerima dana daripada sumber-sumber swasta serta awam.
Akta Surat Khabar dan Cetakan Media (NPPA), yang menyekat pemilikan dan kawalan surat khabar Singapura, akan dikenakan ke atas perniagaan berita di bawah tanggungjawab CLG, walaupun bukan CLG itu sendiri, kata Encik Iswaran.
"Perlindungan yang sewajarnya akan termaktub di dalam penubuhan CLG untuk memastikan bahawa struktur CLG mencapai tujuannya dan memupuk objektif rangka kerja NPPA serta bahawa para anggota dan pengarahnya akan kekal komited terhadap kestabilan dan kejayaan Singapura," katanya.
PENDANAAN AWAM TIDAK UBAH HUBUNGAN PEMERINTAH-BILIK BERITA
Pemerintah juga akan sedia menghulurkan bantuan dana bagi CLG yang diusulkan itu dalam bidang-bidang seperti inovasi digital dan pembangunan keupayaan sebagai sebahagian daripada "rancangan perniagaan mampan jangka panjang" sementara memastikan disiplin fiskal dan kebertanggungjawaban, kata Encik Iswaran.
Beliau menegaskan bahawa cadangan SPH itu bukanlah satu ubat mujarab untuk cabaran yang dihadapi oleh perniagaan media berita miliknya. Tetapi ia merupakan "langkah pertama yang penting" jika perniagaan media ingin menyesuaikan diri dengan realiti digital serta komersil dalam industri tersebut.
Beliau mengatakan model pembiayaan seperti itu sudah wujud menerusi penyiar nasional Mediacorp dan bahawa penyiar nasional, penerbit surat khabar dan wadah berita online adalah barang awam (public good) yang menguntungkan seluruh masyarakat.
Langkah untuk membolehkan CLG menerima pendanaan awam, bagaimanapun, bukan bertujuan untuk menjejaskan hubungan antara kementeriannya dengan bilik berita SPH, tekan Encik Iswaran.
“Pertubuhan berita tempatan mesti kekal sebagai institusi yang boleh dipercayai oleh rakyat Singapura. Ia kekal menjadi tanggungjawab para editor dan wartawan di SPH Media untuk melaporkan berita dan kerencaman pendapat secara objektif dan dari sudut pandangan Singapura," kata menteri itu.
Ini bermakna bahawa wartawan melaporkan dan menganalisis berita secara menyeluruh dan objektif, tidak menahan berita buruk, mahupun memajukan satu pandangan atau agenda ideologi tunggal tetapi menumpukan kepada kepentingan Singapura.
"Pemerintah dan media tidak akan seia sekata dalam setiap isu serta kejadian - tetapi itulah yang diharapkan. Begitulah cara SPH, dan Mediacorp, beroperasi sehingga kini. Begitulah cara Pemerintah mengharapkan CLG terus beroperasi setelah penstrukturan semula yang dicadangkan.
"CLG harus menjaga reputasi dan kepercayaan tinggi yang sudahpun dibangunkan oleh SPH dengan generasi pembaca, baik dalam dan luar negara," kata Encik Iswaran.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.