Skip to main content

Singapura

Khairy Jamaluddin kata PAP 'kurang dewasa' dalam reaksinya terhadap wawancara Pritam Singh dalam Keluar Sekejap

Mantan Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin, menyifatkan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah Singapura sebagai "tidak matang" dan "kurang dewasa" disebabkan responsnya terhadap kemunculan Ketua Pembangkang Singapura, Pritam Singh, dalam podcast kendalian beliau awal tahun ini, sambil berkata bahawa parti itu "perlu bersikap lebih dewasa".

Anggaran Waktu Membaca:
Khairy Jamaluddin kata PAP 'kurang dewasa' dalam reaksinya terhadap wawancara Pritam Singh dalam Keluar Sekejap

Encik Khairy Jamaluddin pernah berkhidmat sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, dan kemudiannya sebagai Menteri Kesihatan dalam kerajaan Perikatan Nasional. (Gambar: CNA)

SINGAPURA: Mantan Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin, menyifatkan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah Singapura sebagai "tidak matang" dan "kurang dewasa" disebabkan responsnya terhadap kemunculan Ketua Pembangkang Singapura, Pritam Singh, dalam podcast kendalian beliau awal tahun ini, sambil berkata bahawa parti itu "perlu bersikap lebih dewasa".

Dalam satu episod podcast politik Malaysia yang popular, Keluar Sekejap, yang dimuat naik ke YouTube pada 29 Julai, Encik Khairy berkata beliau dan rakan pengacaranya, Shahril Hamdan, mantan Ketua Penerangan UMNO, juga pernah ditemu bual oleh media Singapura berhubung politik dalaman Malaysia.

Ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam, sebelum ini muncul dalam satu episod podcast tersebut yang disiarkan pada 24 Jun. Ia merupakan temu bual paling mendalam beliau sejak Pilihan Raya Umum lalu (GE2025), yang menyaksikan PAP mengekalkan kuasa dengan 65.57 peratus undi.

Dalam temu bual selama lebih satu setengah jam itu, Encik Pritam membincangkan pelbagai topik, termasuk strategi pilihan raya WP serta persilangan antara kaum, agama dan politik.

Kemunculan beliau menarik perhatian PAP, yang mempersoalkan niat Encik Pritam hadir dalam podcast dari Malaysia itu, sambil menegaskan bahawa "politik harus berhenti di garis sempadan".

Dalam episod terbaharu podcast mereka, Encik Khairy dan Encik Shahril membincangkan kemungkinan untuk menjadikan Singapura sebagai salah satu lokasi bagi siri jelajah podcast secara langsung mereka ke luar negara. Walaupun Singapura merupakan pilihan popular berdasarkan data pendampingan mereka, "pengalaman tidak berapa cantik" berhubung kemunculan Encik Singh dalam podcast tersebut menyebabkan mereka tawar hati.

"Bila Pritam Singh tampil di KS (Keluar Sekejap), mula-mula tidak ada isu banyak sangatlah, tetapi saya rasa dalam seminggu selepas itu, ada satu artikel yang ditulis, kalau tidak silap saya di portal PAP sendiri. PAP ini pemerintah Singapura yang mengatakan bahawa, yang menuduh bahawa penampilan Pritam Singh itu seolah-olah campur tangan dalaman politik Singapura," kata Encik Khairy.

"Sasaran utama dia Pritam Singh, kenapa Pritam Singh pergi ke podcast Malaysia untuk cakap pasal Singapura dan selepas itu dia kata ini seolah-olah campur tangan dalam politik dalaman Singapura dan politik sepatutnya berhenti di sempadan, maksudnya jangan cakap pasal politik kita lah," kata beliau.

Encik Khairy menyifatkan reaksi itu sebagai "pandangan yang tidak matang".

KEMUNCULAN DALAM MEDIA SG

Encik Khairy turut menekankan bahawa beliau dan Encik Shahril pernah ditemu bual oleh media Singapura seperti CNA dan The Straits Times mengenai politik dalaman Malaysia, termasuk ketika beliau dijemput secara maya dua minggu lalu sebagai pengulas dalam kajian berkaitan UMNO oleh ISEAS-Institut Yusof Ishak, di mana beliau merupakan seorang zamil pelawat.

"Jadi, saya tak faham bila dia nak cakap ini politik orang lain, tidak apa... Tapi bila jadi kepada awak, bila Pritam datang sini nak cakap pasal pilihan raya Singapura, tiba-tiba kata, 'Oh, foreign interference' (campur tangan asing)," kata beliau.

"Saya ada ramai rakan di sana, tetapi PAP perlu bersikap lebih dewasa."

Rakan hos beliau, Encik Shahril, pula berkata beliau juga pernah bercakap mengenai politik Malaysia di Singapura melalui platform akademik, dan menyifatkan keupayaan untuk menganalisis negara jiran secara menyeluruh sebagai antara kekuatan Singapura.

“Mungkin dalam satu detik yang kurang kesedaran diri, sebahagian kecil daripada kelompok pemerintah merasakan mereka boleh menggunakan hujah itu untuk meluahkan rasa tidak senang kerana seorang pemimpin parti pembangkang boleh tampil dan menyerlah dengan begitu baik dalam podcast kami,” katanya merujuk kepada penampilan Encik Pritam.

“Saya harap itu hanya satu detik terpencil. Apabila saya tanya rakan-rakan di Singapura, termasuk penyokong kuat pemerintah, kebanyakannya tidak melihat isu ini seperti yang digambarkan oleh artikel itu. Secara adil, saya rasa itu bukan pandangan majoriti. Ia hanyalah pandangan segelintir pihak.”

Encik Khairy menambah bahawa "itulah pandangan parti pemerintah", dan selagi "PAP masih bersikap kurang dewasa dalam isu ini", mereka tidak akan menjadikan Singapura sebagai lokasi jelajah podcast mereka.

Encik Shahril menambah bahawa mereka biasanya bergurau dan berjenaka dalam podcast mereka ketika membincangkan isu berat, dan di Singapura, "jika ada sekatan atau tanggapan berkenaan mereka, ia tidak akan terasa semula jadi".

Mediacorp sudah menghubungi PAP untuk mendapatkan maklum balas.

POLITIK HARUS BERHENTI DI SEMPADAN

PAP dalam kenyataannya pada 3 Julai menyatakan bahawa keputusan Encik Pritam untuk bercakap mengenai politik Singapura dalam podcast Malaysia "menimbulkan persoalan serius" tentang mengapa beliau memilih untuk membincangkan isu tersebut "di luar negara kepada khalayak asing".

"Apa yang ketara, beliau tidak memilih media tempatan, tetapi sebaliknya podcast yang dihoskan oleh rakyat Malaysia dan dirakam di Malaysia untuk menyuarakan pandangannya mengenai landskap politik dalaman negara," menurut kenyataan itu.

PAP juga mencabar dakwaan Encik Pritam bahawa partinya tidak “mengaut keuntungan politik berdasarkan isu kaum atau agama”.

Parti itu menambah bahawa meskipun Malaysia dan Singapura mempunyai hubungan rapat, kedua-duanya sudah lama mengelak daripada mengulas mengenai politik masing-masing dan tidak menggunakan media negara jiran untuk mempengaruhi pandangan awam, terutama selepas rusuhan perkauman pada 1960-an.

"Sebagai sebuah negara berdaulat, kita mesti tegas: Politik harus berhenti di sempadan perairan," menurut kenyataan itu.

"Urusan Singapura adalah untuk ditentukan oleh rakyat Singapura, berdasarkan kepentingan terbaik negara.

Sebagai maklum balas, WP menyatakan kemunculan Encik Pritam dalam podcast tersebut "tidak memberi sebarang kesan buruk terhadap kepentingan negara Singapura", sambil menambah bahawa reaksi awam di Singapura terhadap temu bual itu adalah positif.

"Ia menunjukkan bahawa seorang ahli politik bukan pemerintah dari Singapura boleh bercakap secara adil dan terbuka mengenai Singapura dan pemerintah Singapura, tanpa mengecam mana-mana pihak. Perkara ini terus diterima baik oleh ramai rakyat Singapura," menurut parti itu.

WP turut menyatakan bahawa para pemimpin PAP juga sering ditemu bual dan berkongsi pandangan mereka berhubung isu dalam negara kepada media asing.

Sebagai maklum balas kepada kenyataan WP, PAP menyatakan walaupun para menteri ada berinteraksi dengan media asing, mereka biasanya membincangkan pelbagai isu “sama ada berkaitan hal antarabangsa dan serantau mahupun isu dalam negara”, berbeza dengan temu bual Encik Pritam yang "memberi tumpuan hampir sepenuhnya kepada politik dalaman Singapura".

PAP turut mendakwa bahawa Encik Pritam sebelum ini menolak jemputan daripada pencipta podcast Singapura.

PAP juga menyatakan bahawa WP masih mengetepikan kebimbangan serius mengenai kaitan parti itu dengan Noor Deros, seorang pendakwah bebas dari Malaysia yang dikenali menerusi "pandangan yang bercanggah dengan komitmen Singapura kepada kepelbagaian kaum dan keharmonian agama", serta sokongan terbuka oleh ahli politik Parti Islam Se-Malaysia (PAS) terhadap calon-calon WP.

"Masih banyak persoalan penting yang belum dijawab," menurut PAP.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita