Khairul Anwar Salleh adakan pameran seni solo 'Gerak Intuisi' di SG
Sepanjang lebih tiga dekad, anak kelahiran Singapura, Khairul Anwar Salleh sudahpun melayari pelbagai aspek dunia seni dan kreatif daripada pementasan hingga ke penyiaran.
SINGAPURA: Sepanjang lebih tiga dekad, anak kelahiran Singapura, Khairul Anwar Salleh sudahpun melayari pelbagai aspek dunia seni dan kreatif daripada pementasan hingga ke penyiaran.
Kini, beliau kembali ke tanahair untuk menghimpunkan semula karya seni visual yang mencetuskan perjalanannya dalam industri kreatif.
Menerusi pameran solonya dipanggil 'Gerak Intuisi', orang ramai berpeluang mengenalinya dengan lebih dekat.
"‘Gerak Intuisi’ adalah pameran solo saya yang pertama sejak 33 tahun yang lalu. Ertinya kali terakhir saya mengadakan pameran solo ini pada tahun 1990 di Substation. Dan ini kemunculan saya semula dalam arena ini setelah 'sembunyi dalam gua' selama 33 tahun," seloroh Encik Khairul Anwar.
Berbakat dalam pelbagai disiplin artistik, beliau juga sudah bekerjasama dengan ramai penggiat seni di rantau ini termasuk Singapura, Malaysia, Indonesia dan Australia.
"Saya mengembara dari satu platform seni ke satu platform seni yang lain. Bermula dari teater, saya masuk ke televisyen. Dan kemudian saya berkecimpung dalam seni penyiaran. Dan lukisan di antaranya. ‘Gerak intuisi’ adalah sesuatu yang konsisten dalam semua kerja-kerja saya.
"Intuisi itu diperlukan untuk kita faham apa yang kita dah tahu dari sudut pembacaan dan pemerhatian kita. Tapi kita perlukan gerak yang berdasarkan intuisi untuk menerbitkan atau mencetuskan satu-satu idea yang baru," jelasnya.
LUKISAN DARI ZAMAN PENGAJIAN HINGGA HARI INI
Sebanyak 22 lukisan daripada awal penglibatannya dalam dunia seni hingga ke hari ini akan dipamerkan.
Antaranya adalah lukisan yang pernah dipamerkan di Itali pada 1990.
Ia kini menjadi lukisannya yang paling mahal dalam koleksinya.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Selain itu, orang ramai juga berpeluang melihat lukisan yang diadaptasikan daripada sebuah pementasan 'Forest for Rest' yang merupakan respons Encik Khairul Anwar kepada kesedaran alam sekitar pada waktu itu.
"Saya ingin mereka (orang ramai) melihat saya dalam satu perspektif yang lain. Ertinya saya akan ketengahkan hasil karya saya semasa saya bersekolah di La Salle dulu," kata bapa berusia 57 tahun itu.
Beliau menambah: "Kebanyakannya berdasarkan kepada aktiviti teater saya, banyak pengaruh yang sebegitu. Pengaruh dari tarian, gerak akhirnya dia bertukar kepada suatu bentuk yang lebih abstrak. Dan pada masa yang sama, ada juga unsur-unsur persekitaran, sama ada unsur sosial, politik, dikaitkan ataupun diselitkan dalam hasil karya saya."
(Gambar: Syawal Yusoff)
GANDING SEMULA DENGAN PENGGIAT SENI TEMPATAN
Encik Khairul Anwar menyifatkan tokoh-tokoh seperti Wilem De Kooning, Pollock, Ibrahim Husin dan Latiff Mohidin sebagai pengaruhnya.
Pada 2019, karyanya berjudul 'A Study of 3 Thermos Flasks' juga dibeli Galeri Nasional Singapura untuk dipamerkan.
Pameran kali ini juga adalah gandingan semula beliau bersama pengurus pameran pertamanya di Substation pada 1990, Encik Idrus Khan Surattee.
Di samping itu, Encik Khairul Anwar turut bergabung dengan para penggiat seni tempatan, Adi Yadoni dan Rafaat Hamzah.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Meskipun kini lebih sibuk mengemudi rangkaian televisyen Media Prima di Malaysia sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, beliau berharap pameran ini dapat membangkitkan semula minatnya pada seni itu di samping menjalin semula hubungan dengan teman-teman seangkatannya di kota Singa.
"Saya tinggalkan dunia lukisan ini dan untuk kembali saya rasa perlu untuk saya kembali ke Singapura. Dan saya cantum balik apa yang saya tinggalkan dulu 33 tahun. Dan pameran ini pada masa yang sama mencari semangat baru, semangat untuk saya kembali," ujarnya.
"Harapan saya adalah untuk berjumpa balik rakan-rakan yang sudah lama saya tinggalkan. Ini adalah satu cara yang boleh menemukan kami dengan cerita-cerita lama," kata Encik Khairul Anwar.
Encik Khairul Anwar merancang untuk membawa pameran ini ke Malaysia, selepas Hari Raya Puasa nanti.
Pameran ini dibuka kepada orang ramai dari 9 hingga 18 Mac di galeri Suite 88 di Desker Road.
Waktu operasi:
Isnin hingga Jumaat: 12tgh hingga 6ptg
Sabtu & Ahad: 1ptg hingga 5ptg
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.