Khairiah Hairoman antara 7 guru pemenang Anugerah Presiden bagi Guru 2021
Daripada lebih 5,000 pencalonan tahun ini, tujuh orang guru akhirnya dinobatkan dengan Anugerah Presiden bagi Guru 2021. Anugerah disampaikan sendiri oleh Presiden Halimah Yaacob di Istana petang tadi (2 Sep).
SINGAPURA: Daripada lebih 5,000 pencalonan tahun ini, tujuh orang guru akhirnya dinobatkan dengan Anugerah Presiden bagi Guru 2021. Anugerah disampaikan sendiri oleh Presiden Halimah Yaacob di Istana petang tadi (2 Sep).
Salah seorang pemenang kali ini ialah Cik Khairiah Hairoman, Ketua Jabatan Ilmu Kemanusiaan di Sekolah Menengah Peirce.
Sebagai seorang guru subjek sejarah dan pengajian sosial, Cik Khairiah Hairoman, yang punya 18 tahun pengalaman sebagai guru, berpegang kepada falsafah bahawa segala-galanya boleh dibincangkan dalam kelasnya.
KHAIRIAH HAIROMAN 'HIDUPKAN' SEJARAH
Sebagai guru juga, Cik Khairiah sentiasa cuba 'menghidupkan' pelajarannya demi memastikan ia tidak membosankan.
Misalnya, beliau dipuji Presiden Halimah kerana pernah mengundang wakil dari pusat pekerja hijrahan pada tahun 2018 dan 2019 ke sekolahnya untuk memberi ceramah agar para pelajarnya memahami isu-isu yang dialami pekerja hijrahan.
Beliau kemudian menayangkan video kepada pelajarnya di mana pekerja asing menangis dan berasa terguris apabila orang Singapura menutup hidung ketika lalu sebelah mereka. Dalam video itu juga, para pekerja hijrahan menceritakan betapa mereka perlu menghantar pulang setiap dolar wang mereka untuk keluarga mereka di negara masing-masing.
Pendedahan ini membuka mata para pelajar, kata Cik Khairiah, kerana buat pertama kalinya mereka melihat pekerja hijrahan sebagai manusia biasa yang menghadapi isu kemanusiaan.
Menurut Cik Khairiah, para pelajarnya begitu terkesan dengan paparan tersebut sehingga mereka bertanya jika mereka boleh membantu para pekerja asing itu. Mereka kemudian menganjurkan gerakan mengumpul dana untuk pekerja hijrahan.
Ketokohan, gaya mendidik yang inovatif, penyayang dan komited membina potensi penuh para pelajarnya seperti itulah yang membuatkan Cik Khairiah dipilih sebagai antara tujuh pemenang Anugerah Presiden bagi Guru tahun ini.
"Saya berharap pengiktirafan ini akan mendorong saya untuk terus memberikan yang terbaik kepada setiap pelajar. Saya percaya semua pelajar ingin dan mahu belajar. Tiada satu cara untuk semua. Membentuk karakter para pelajar serta mendidik mereka untuk menjadi anggota masyarakat yang bukan sahaja baik budi pekerti tetapi juga beretika," ujar Cik Khairiah kepada BERITAmediacorp.
KAEDAH MENGAJAR SEJARAH GUNA KAPAL TERBANG KERTAS
Satu lagi kaedah pembelajaran subjek sejarah unik yang pernah diterapkannya ialah membawa hampir 40 pelajar menengah empat sekolahnya ke padang sekolah. Semua daripada pelajar itu kemudian diminta meluncurkan kapalterbang kertas masing-masing.
Orang luar yang melihatnya pasti menyangka bahawa ini suatu sesi permainan. Sebenarnya tidak.
Para pelajar kemudian diminta mengambil salah satu kapalterbang kertas yang bukan mereka buat sendiri, membukanya dan kemudian membaca apa yang tertulis di kertas tersebut.
Sebenarnya setiap pelajar sudahpun diminta menulis pandangan mereka kepada soalan: "Adakah anda percaya Amerika melakukan perkara yang betul dengan menggugurkan bom atom ke Jepun pada 1945? Mengapa betul atau tidak?"
Menurut Cik Khairiah, pendekatan itu diambil untuk membolehkan para pelajar mengetahui pandangan pelajar lain serta mendapatkan perspektif berbeza daripada diri sendiri. Itulah matlamatnya!
"Pendidikan kemanusiaan membolehkan anda mendapatkankan pelbagai perspektif dan membina empati dengan melihat kepada sejarah serta membincangkan isu-isu kontemporari dalam masyarakat," menurut guru berusia 41 tahun itu.
Menurut Presiden Halimah lagi dalam ucapannya semasa menyampaikan anugerah itu, pendidik seperti Cik Khairiah inilah yang mewujudkan impak positif dalam kehidupan pelajar dan memupuk masa depan negara.
"Sumbangan-sumbangan anda kepada kerjaya guru adalah terpuji dan layak disanjung," kata Presiden Halimah lagi.
17 GURU FINALIS ANUGERAH PRESIDEN BAGI GURU 2021
Kesemuanya 17 orang guru terpilih selaku finalis tahun ini.
Antara mereka termasuklah Ketua Jabatan Estetik dan Projek Khas Sekolah Rendah Evergreen, Cik Radin Rafeah Ali, yang menggunakan seni untuk memupuk nilai tanggungjawab, hormat, integriti dan empati kepada murud-muridnya.
"Misalnya jika topik yang kita ceburi pada hari itu adalah tentang persekitaran dan pencemaran, saya akan menyuruh murid-murid untuk meneliti statistiks pencemaran di spura. Dan dengan itu saya ingin mereka berinovasi dengan menggunakan barang-barang yang boleh dikitar semula dan membuat sesuatu yang lain," kongsi Cik Radin Rafeah kepada BERITAmediacorp.
Bagi menarik minat dan memberi inspirasi kepada para pelajarnya, beliau mempelbagaikan cara pengajarannya dan turut memanfaatkan teknologi.
Walaupun tidak terpilih sebagai pemenang, guru seni itu tetap bersyukur diangkat sebagai finalis - suatu pengiktirafan yang dianggapnya sebagai tidak disangka-sangka.
Para penerima Anugerah Presiden Guru akan diberi peluang menjalani kursus-kursus, bengkel, seminar atau satu sidang yang juga merupakan lawatan sambil belajar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.