Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Khabar angin lonjakan kes teruk COVID-19, kematian akibat varian XBB 'tidak benar', kata MOH

Anggaran Waktu Membaca:
Khabar angin lonjakan kes teruk COVID-19, kematian akibat varian XBB 'tidak benar', kata MOH

(Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 11 Oct 2022 11:05PM Dikemas Kini : 12 Oct 2022 12:08AM

SINGAPURA: Khabar angin bahawa Singapura sedang menyaksikan peningkatan besar  kes teruk COVID-19 dan kematian disebabkan varian XBB adalah tidak benar, tegas Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (11 Okt). 

"Terdapat desas-desus yang disebarkan di WhatsApp bahawa Singapura sedang mengalami kes penyakit teruk dan kematian yang naik dengan pesat dan banyak disebabkan varian XBB yang sedang merebak," menurut MOH dalam satu kenyataan. 

"Ini tidak benar. Kami akan mengambil tindakan POFMA terhadap kepalsuan tersebut," tambahnya, merujuk kepada Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA). 

Meskipun jumlah kes tempatan akibat XBB meningkat, termasuk lonjakan kes pada Selasa (11 Okt) selepas hujung minggu lalu, MOH menyatakan jumlah kes teruk kekal rendah. 

"Ini sebahagian besarnya disebabkan daya tahan yang tinggi menerusi vaksinasi dan gelombang jangkitan sebelum ini. Kami sedang memantau trajektori itu dengan teliti," tambah MOH.

"Yang penting, tidak ada bukti bahawa XBB menyebabkan penyakit yang lebih teruk. Setakat ini, sebilangan besar pesakit melaporkan gejala ringan, seperti sakit tekak atau demam, terutama sekali jika mereka sudah divaksin." 

Setakat Selasa (11 Okt), terdapat 11 pesakit di unit jagaan rapi (ICU) dan 50 pesakit yang memerlukan bantuan oksigen. Jumlah itu "tinggi sedikit berbanding jumlah pada beberapa bulan kebelakangan ini," menurut MOH. 

Ia juga lebih rendah berbanding 171 kes pesakit di ICU dan 308 pesakit yang memerlukan bantuan oksigen pada kemuncak gelombang Delta, serta 54 pesakit ICU dan 242 pesakit yang memerlukan bantuan oksigen pada kemuncak gelombang Omicron, tambah MOH. 

"Jumlah kes lebih tinggi yang perlu dimasukkan ke hospital sejajar dengan peningkatan kes keseluruhannya. Kini, terdapat 490  pesakit yang dirawat di hospital, berbanding 1,600 pada kemuncak gelombang Delta dan sekitar 800 pada kemuncak Omicron," menurut kementerian itu lagi.

"Namun, jabatan kecemasan (ED) hospital kami masih sibuk dan kami menasihatkan orang ramai supaya jangan langsung ke ED sekiranya mereka mengalami keadaan perubatan kecemasan." 

Pesakit yang datang ke ED tanpa sebarang keadaan perubatan kecemasan, termasuk kanak-kanak, akan dirujuk ke klinik jagaan kecemasan atau klinik jagaan utama lain untuk pemeriksaan seterusnya supaya dapat mengutamakan sumber bagi pesakit yang memerlukan bantuan perubatan, tambah MOH. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan