Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

KFC mohon maaf setelah skru ditemui dalam bubur, kakitangan terbabit dikenakan tindakan disiplin

KFC membuat permohonan maaf hari ini (2 Nov) atas insiden di mana seorang pelanggan menemui skru dalam bubur yang dibeli.

Anggaran Waktu Membaca:
KFC mohon maaf setelah skru ditemui dalam bubur, kakitangan terbabit dikenakan tindakan disiplin

Pelanggan KFC menemui skru dalam bubur yang dibeli. (Gambar: Lili Ahmad/Facebook)

Diterbitkan : 02 Nov 2020 06:00PM Dikemas Kini : 02 Nov 2020 06:02PM

SINGAPURA: KFC membuat permohonan maaf hari ini (2 Nov) atas insiden di mana seorang pelanggan menemui skru dalam bubur yang dibeli.

Rangkaian restoran ayam goreng itu menyatakan, insiden tersebut berlaku disebabkan tutup periuk yang rosak dan kecuaian penolong pengurus untuk tidak melaporkan perkara tersebut.

Menerusi satu catatan Facebook pada Sabtu (31 Nov), seorang pelanggan bernama Lili Ahmad berkata beliau menemui skru dalam bubur yang dibeli daripada KFC menerusi khidmat penghantaran makanan Foodpanda.

Lili melahirkan rasa sangat kecewa dan berkata KFC seharusnya bertanggungjawab ke atas insiden ini.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, KFC pada Isnin (2 Nov) menyatakan pihaknya meminta maaf atas "kejadian malang" itu. Ia turut memberi jaminan kepada orang ramai bahawa keselamatan dan kebersihan makanan diutamakan syarikat.

Siasatan menyeluruh juga sudah dijalankan, dengan KFC bekerja rapat dengan Agensi Makanan Singapura (SFA) sejak insiden tersebut dilaporkan kepada mereka pada 31 Okt.

"Sebaik sahaja menerima maklum balas pada lewat pagi hari itu, sebuah pasukan KFC segera mengambil tindakan dan mengunjungi restoran terbabit untuk memeriksa semua perkakas di dapur," menurut KFC.

Menurutnya lagi, siasatan awal yang dijalankan tidak menunjukkan sebarang perkara luar biasa. Namun, ia selanjutnya memeriksa rakaman CCTV dan menyoal siasat kakitangan cawangan berkenaan.

"Kami kemudian mendapati penolong pengurus cuai dalam tindakannya kerana gagal melaporkan bahawa tutup periuk nasi mereka rosak, sehingga insiden dikesali itu terjadi," menurut KFC.

Rangkaian restoran ayam goreng itu menyatakan, ia tidak bertolak ansur jika ada kelemahan dalam mutu dan kebersihan makanan mahupun terhadap kakitangan yang bersikap tidak jujur. Tindakan disiplin sudah diambil terhadap dua kakitangan dapur dan penolong pengurus cawangan tersebut, yang sekarang ini nasibnya sedang dipertimbangkan.

KFC turut menyatakan, ia sudahpun memperbaiki garis panduan bagi pemeriksaan perkakas-perkakas dapur. Ia juga menitikberatkan kewibawaan pekerja agar insiden seperti ini tidak berulang.

"Kami benar-benar meminta maaf atas apa yang dilalui Cik Lili Ahmad sekeluarga, dan sudah menghubungi mereka untuk memohon maaf, selain sering bertanya khabar," menurutnya lagi.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan