Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

KF Seetoh santuni saudara lelakinya maut dalam letupan vila di Itali

Lelaki warga Singapura yang maut dalam letupan di sebuah vila di Itali adalah saudara lelaki pengkritik makanan Singapura KF Seetoh, dedah pengasas Makansutra itu dalam penghormatannya kepada mendiang pada lewat Isnin malam (23 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
KF Seetoh santuni saudara lelakinya maut dalam letupan vila di Itali

(Gambar: Facebook/KF Seetoh)

Diterbitkan : 24 Dec 2024 12:04PM Dikemas Kini : 24 Dec 2024 12:38PM
SINGAPURA: Lelaki warga Singapura yang maut dalam letupan di sebuah vila di Itali adalah saudara lelaki pengkritik makanan Singapura KF Seetoh, dedah pengasas Makansutra itu dalam penghormatannya kepada mendiang pada lewat Isnin malam (23 Dis).

Letupan pada Sabtu malam (21 Dis) menyebabkan Encik Seetoh Kwok Meng maut dan pasangannya warga Taiwan, yang dikenali sebagai Cik Chang Kai En, hilang, lapor media tempatan.

Menurut saluran berita Corriere Fiorentino, letupan di vila di Molazzana, yang terletak kira-kira 115km dari barat laut Florence di kawasan Garfagnana di Tuscany, menyebabkan ia runtuh. Letupan itu berkemungkinan disebabkan oleh kebocoran gas di dalam rumah, tambah pihak berkuasa.

"Dia adalah yang paling riang dalam kalangan adik-beradik kami. Dia tidak suka detik-detik membosankan dan akan membuat jenaka yang melucukan, semata-mata untuk menceriakan keadaan," tulis Encik KF Seetoh dalam penghormatan kepada saudara lelakinya yang dimuat naik ke Facebook.

"Bersama isteri keduanya, Kai En, dia melihat rumah itu sebagai rumah persaraannya dan kehidupan yang lebih tenang dan aman di Tuscany.

"Dia (Kai En) sangat menyayangi tamannya dan mempunyai jiran yang akan membantu mereka setiap kali mereka mengembara terutamanya pulang ke Singapura di mana dia akan (sentiasa) mengggesa saya untuk membawanya (makanan)," tambahnya.

Encik KF Seetoh berkata saudara lelakinya telah membeli vila itu daripada pemandu pelancongnya semasa dia bercuti di Molazzana beberapa tahun lalu. Ia ibarat "cinta pandang pertama", katanya.

Tambahnya lagi, dia terkilan kerana tidak berpeluang untuk melawat vila itu.

"Rumah batu berusia berabad-abad itu runtuh akibat letupan tersebut," tulisnya.

Mengimbas kembali perbualannya dengan mendiang tentang makanan, termasuk yang mendiang berkata dia akan membuat bak chor mee yang lebih baik daripada versi hidangan yang dihidangkan oleh seorang penjaja terkenal, Encik KF Seetoh berkata bahawa mendiang gemar memasak.

"Saya berharap dia juga akan buat cha hae mee untuk Papa di sana," katanya merujuk kepada mi goreng udang Hokkien. "Sudah tentu saya akan merindui mereka semua. Semoga tenang Ah Meng dan Kai En."

"Kami bersyukur atas bantuan daripada pihak kedutaan di sana semasa saat-saat sukar ini," tambah Encik KF Seetoh.

Seluruh keluarganya masih terkejut dengan kematian saudara lelakinya, dan mendiang telah merancang untuk pulang ke Singapura bulan depan untuk sambutan Tahun Baharu Cina.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan