Kewangan hijau tawarkan pelbagai peluang besar untuk syarikat Melayu
படம்: Latar langit kawasan CBD Singapura (Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)
SINGAPURA: Kewangan hijau menawarkan peluang besar bagi syarikat Melayu di Singapura mencapai kemajuan mampan dan meningkatkan daya saing mereka dalam pembangunan hijau.
Antara bidang utama yang berpotensi besar adalah pembiayaan untuk projek hijau patuh Syariah dan
pelaburan dalam projek infrastruktur hijau tempatan seperti penyelesaian tenaga boleh diperbaharui atau sistem pengurusan sisa.
Demikian pandangan rakan kongsi syarikat HMS Assurance Cik Sharifa Nafisa kepada wartawan Nur Arina Ahmad Anis.
POTENSI DALAM INDUSTRI HIJAU
Membina Singapura yang lebih hijau merupakan keutamaan pemerintah.
Usaha memajukan agenda nasional itu melibatkan penyediaan infrastruktur penting serta penetapan peraturan dan dasar untuk membina negara yang lebih mampan dan berdaya tahan iklim.
Ini termasuk gerakan seluruh negara Pelan Hijau 2030, membangunkan Singapura sebagai sebuah pusat kewangan hijau dan memudahkan syarikat dan entiti lain untuk bekerjasama dengan sektor kewangan untuk memacu inisiatif kemampanan.
Memiliki kemahiran dalam kewangan hijau membolehkan perniagaan mengenal pasti dan memanfaatkan pelbagai peluang baharu dalam ekonomi hijau yang semakin berkembang, kata Cik Sharifa Nafisa yang juga anggota Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA).
Menurutnya, kewangan hijau boleh menawarkan faedah yang besar untuk syarikat Melayu di Singapura, yang berpotensi mendorong mereka ke hadapan dengan cara yang mampan dan berdaya saing.
"Beberapa bidang utama yang berpotensi termasuk pembiayaan untuk projek hijau patuh Syariah (Sharia-compliant green projects). Prinsip kewangan Islam boleh diselaraskan dengan objektif kewangan hijau, mewujudkan peluang bagi perniagaan Melayu/Islam untuk membangun dan membiayai inisiatif yang mampan dalam rangka kerja keagamaan mereka," kata beliau.
Selain itu, syarikat-syarikat itu boleh juga melabur dalam infrastruktur hijau tempatan.
"Syarikat Melayu/Islam boleh memanfaatkan kewangan hijau untuk melabur dalam projek infrastruktur hijau tempatan seperti penyelesaian tenaga boleh diperbaharui atau sistem pengurusan sisa, menyumbang kepada pembangunan komuniti dan pembaikan alam sekitar. Kewangan hijau (juga) boleh menyediakan sumber untuk perniagaan Melayu untuk mengamalkan amalan mampan dalam industri makanan halal, mempromosikan kedua-dua tanggungjawab alam sekitar dan nilai budaya," tambah Cik Sharifa.
Salah satu syarikat yang peka dengan potensi yang besar dalam sektor tenaga bersih ialah pengasas 10 Degree Solar, Encik Muhd Furqan Shamsudin.
Syarikat yang ditubuhkan empat tahun lalu itu kini tidak sekadar menawarkan pemasangan panel-panel suria sahaja.
Khidmatnya kini merangkumi khidmat pemasangan sistem pengecas bagi kenderaan elektrik.
"Saya rasa ada peluang untuk membuat perniagaan dalam industri ini kerana saya lihat ada peralihan daripada tenaga konvensional kepada tenaga yang boleh diperbaharui. Contohnya, banyak syarikat-syarikat-syarikat minyak dan gas yang beralih ke tenaga hijau. Ini menunjukkan terdapat peluang dalam tenaga yang boleh diperbaharui.
"Apabila saya memulakan syarikat 10 Degree Solar, masa tu belum ada inisiatif yang kuat untuk tenaga hijau. Tetapi mungkin dalam dua tahun lepas, Pelan Hijau Singapura 2023, ada banyak objektif, bukan hanya dalam tenaga suria tetapi dalam isu berkaitan perubahan iklim," kata Encik Furqan.
Walau bagaimanapun pada masa ini terdapat jurang kemahiran yang ketara dalam sektor tenaga hijau.
"Walaupun permintaan untuk kemahiran kewangan hijau semakin meningkat, pada masa ini terdapat jurang kemahiran yang ketara dalam pasaran. Perniagaan yang melabur dalam melengkapkan pekerja mereka dengan kemahiran ini akan mendapat kelebihan untuk menarik dan mengekalkan bakat serta mengemudi landskap ekonomi yang berkembang," kata Cik Sharifa.
STRATEGI KEKAL BERDAYA SAING
Encik Furqan berkata beliau berani untuk melabur dalam sektor penjanaan tenaga hijau kerana yakin ia akan terus berkembang.
Bagi memastikan syarikatnya dapat kekal berdaya saing, beliau meluaskan lagi perkhidmatan yang ditawarkan syarikatnya.
Antaranya termasuk perkhidmatan pemasangan pengecas (charger) untuk kenderaan elektrik.
Beliau memastikan para pekerjanya dilengkapi dengan kemahiran-kemahiran terkini.
"Mungkin dalam empat tahun ini cabarannya dalam segi permodalan, kakitangan, kepakaran. Dari segi kepakaran tenaga suria, untuk mendapatkan pekerja yang mahir memasang panel suria pun agak susah dan kami harus melatih lebih ramai pekerja baharu untuk melancarkan projek-projek system Solar PV," kata beliau.
Cik Sharifa berkata ada cabaran dari jurang kemahiran dalam industri hijau.
"Walaupun permintaan untuk kemahiran kewangan hijau semakin meningkat, pada masa ini terdapat jurang kemahiran yang ketara dalam pasaran. Perniagaan yang melabur dalam melengkapkan pekerja mereka dengan kemahiran ini akan mendapat kelebihan dalam menarik dan mengekalkan bakat serta mengemudi landskap ekonomi yang berkembang," jelas Cik Sharifa.
Tambahnya, kemahiran kewangan hijau adalah aset penting bagi perniagaan di Singapura yang ingin kekal berdaya saing dan berkembang maju dalam peralihan ke arah ekonomi yang lebih hijau.
Sokongan pemerintah dan permintaan pasaran yang semakin meningkat, tambahnya, menunjukkan bahawa pelaburan dalam kemahiran merupakan keputusan strategik untuk perniagaan dari semua saiz dan merentasi semua sektor.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.