Skip to main content

Singapura

Ketua WP Pritam Singh tidak setuju tingkah lakunya tidak terhormat, tidak wajar sebagai AP

Ketua Parti Pekerja (WP) Pritam Singh pada Rabu (14 Jan) menolak usul yang menyatakan beliau tidak sesuai sebagai Ketua Pembangkang (LO), sambil berkata beliau tidak bersetuju tingkah lakunya tidak terhormat dan tidak wajar sebagai Anggota Parlimen (AP).
Anggaran Waktu Membaca:
Ketua WP Pritam Singh tidak setuju tingkah lakunya tidak terhormat, tidak wajar sebagai AP

Ketua Parti Pekerja Pritam Singh berucap di Parlimen pada 14 Jan 2026.

Diterbitkan : 14 Jan 2026 07:08PM Dikemas Kini : 14 Jan 2026 07:09PM
SINGAPURA: Ketua Parti Pekerja (WP) Pritam Singh pada Rabu (14 Jan) menolak usul yang menyatakan beliau tidak sesuai sebagai Ketua Pembangkang (LO), sambil berkata beliau tidak bersetuju tingkah lakunya tidak terhormat dan tidak wajar sebagai Anggota Parlimen (AP).

Usul yang dibentangkan oleh Ketua Dewan Indranee Rajah - setelah Encik Pritam sabit kesalahan kerana berbohong kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP) - juga meminta AP supaya menyatakan kekesalan terhadap tingkah laku Encik Pritam.

Encik Pritam berkata pada Rabu bahawa mantan AP Raeesah Khan tidak diberitahu pada 2021 supaya "teruskan pembohongan hingga bawa ke kubur".

"Mahkamah memutuskan bahawa mesej SMS beliau pada 8 Ogos 2021, yang diberitahu untuk teruskan pembohongan hingga bawa ke kubur adalah bukti dokumentari utama, dan bersama dengan bukti keadaan lain, membawa kepada kesimpulan hakim perbicaraan bahawa kenyataan sedemikian dibuat oleh saya sendiri," kata Encik Pritam.

"Hati nurani saya tetap bersih, dan akan selamanya begitu, bahawa ini tidak pernah dikatakan oleh saya kepada Cik Raeesah pada bila-bila masa pun."

Encik Pritam juga tidak bersetuju dengan bahagian usul yang menyatakan beliau berbohong kepada COP dan juga membimbing Cik Raeesah untuk meneruskan dengan pembohongannya kepada Parlimen.

Beliau berkata penemuan COP "jauh melampaui tuduhan yang dikenakan terhadap saya".

Beliau menambah bahawa perkara itu dirujuk kepada polis dan pendakwa raya awam untuk "menyemak semula semua bukti".

"Oleh itu, pendakwa raya tidak akan menghadapi masalah untuk membuat tuduhan sedemikian jika memang terdapat bukti yang mencukupi bahawa saya membimbing Cik Raeesah untuk berbohong," kata Encik Pritam.

"Pendirian saya adalah Cik Raeesah tidak diberitahu untuk berbohong, apatah lagi dibimbing untuk berbohong."

Beliau juga menolak bahagian usul tersebut yang menyatakan tingkah lakunya tidak terhormat dan tidak wajar sebagai seorang AP, kerana beliau tidak bersetuju dengan dapatan bersalah oleh pihak mahkamah dan COP.

Beliau menambah bahawa terdapat pihak yang percaya bahawa apa pun keputusan mahkamah, seseorang yang sabit kesalahan tidak akan dapat mengekalkan keyakinan mereka bahawa mereka tidak bersalah.

Beliau memberi contoh Presiden Tharman Shanmugaratnam, yang sabit kesalahan pada 1994 di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) atas kecuaian dalam membenarkan data sulit pemerintah disampaikan kepada media.

Encik Pritam menarik perhatian bahawa Encik Tharman sebelum ini berkata dalam temu bual pada 2023 bahawa mereka "mendakwa individu yang salah".

"Sabitan jenayah tidak menafikan hak seseorang untuk menegaskan bahawa beliau tidak bersalah. Penemuan bersalah oleh mahkamah tidak menjejas pandangan peribadi presiden mengenai sabitannya," kata ketua Parti Pekerja (WP).

Sungguhpun begitu, Encik Pritam berkata beliau "bertanggungjawab sepenuhnya kerana tidak bertindak balas secepat mungkin" untuk membetulkan pembohongan Cik Raeesah.

Beliau menambah bahawa beliau secara terbuka mengaku bertanggungjawab kerana mengambil masa terlalu lama pada kesempatan sebelumnya.

Beliau juga berkata bahawa beliau "tidak mempunyai masa hampir tiga tahun untuk menangani perkara sensitif yang melibatkan salah seorang AP saya".

"Jangka masa saya lebih singkat, dan saya cuba lakukan apa yang saya anggap adalah terbaik bagi AP tersebut dan bagi Parlimen, dengan pandangan untuk terus berusaha ke arah keputusan di mana AP mengambil tanggungjawab dan bertanggungjawab atas tindakannya," tambahnya.

"Saya tentu sekali tidak menjangkakan AP itu akan mengukuhkan pembohongannya apabila ditanya mengenainya."

PERANAN SEBAGAI KETUA PEMBANGKANG

Encik Pritam juga menolak bahagian dalam usul yang menyatakan beliau tidak wajar meneruskan peranan sebagai Ketua Pembangkang.

Beliau berkata peranan sebagai Ketua Pembangkang bukanlah satu peranan perlembagaan atau berkanun.

"Saya tidak pernah beroperasi atas anggapan bahawa pelantikan Ketua Pembangkang adalah satu kepastian, dan saya juga tidak pernah mengharapkannya," katanya.

"Saya sudah lakukan terbaik untuk bekerjasama dengan rakan-rakan saya bagi memajukan kepentingan rakyat Singapura dengan WP sebagai parti pembangkang yang bertanggungjawab."

Encik Pritam dilantik sebagai Ketua Pembangkang oleh mantan Perdana Menteri Lee Hsien Loong selepas Pilihan Raya Umum 2020.

Ketua WP itu berkata pada Rabu bahawa beliau percaya tiada tindakan seharusnya diambil terhadap pengerusi WP Sylvia Lim dan mantan ketua WP Faisal Manap, kerana beliau tidak bersetuju dengan penghakiman dan hasil dapatan COP.

Beliau menambah: "Dalam kes saya, apa sahaja yang diputuskan oleh Parlimen, dan selagi saya menjadi AP, saya akan terus menjalankan tugas saya sebagai AP di kawasan GRC Aljunied, dan saya akan terus memperjuangkan kepentingan rakyat Singapura di Parlimen dengan sebaik mungkin seperti yang saya sudah lakukan sejak 15 tahun yang lalu."

Cik Indranee memberitahu Parlimen bahawa "titik perubahan" dalam tindak balasWP terhadap pembohongan Cik Raeesah Khan adalah selepas mantan setiausaha agung parti, Low Thia Khiang, memberitahu Encik Pritam dan pengerusi WP Sylvia Lim bahawa Cik Raeesah perlu menjelaskan kenyataan tidak benar itu dan memohon maaf kepada Parlimen, tidak kira sama ada ia mungkin diketahui sendiri oleh pemerintah.

Hanya selepas pertemuan itu, barulah "aturan" dibuat untuk Cik Raeesah menjelaskan dirinya, dan beliau berbuat demikian dalam satu kenyataan di parlimen.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita