Skip to main content

Singapura

Ketua WP Pritam Singh tidak mahu jadi Perdana Menteri SG

Ketua Parti Pekerja (WP), Pritam Singh, berkata beliau tidak bercita-cita untuk menjadi perdana menteri Singapura, dan menegaskan bahawa apa yang diinginkan para pengundi bukanlah untuk partinya membentuk pemerintah.

Anggaran Waktu Membaca:
Ketua WP Pritam Singh tidak mahu jadi Perdana Menteri SG

Ketua Parti Pekerja, Pritam Singh, bercakap semasa podcast "Keluar Sekejap". (Gambar: Petikan layar/YouTube)

SINGAPURA: Ketua Parti Pekerja (WP), Pritam Singh, berkata beliau tidak bercita-cita untuk menjadi perdana menteri Singapura, dan menegaskan bahawa apa yang diinginkan para pengundi bukanlah untuk partinya membentuk pemerintah.

Bercakap dalam program podcast politik popular Malaysia Keluar Sekejap yang dihoskan oleh mantan Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin, dan mantan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, Encik Pritam berkata peranannya adalah untuk “membiasakan kewujudan pembangkang”.

“Kita semua ada peranan dalam minda dan hati kita masing-masing. Dan saya rasa peranan saya adalah untuk membiasakan idea tentang pembangkang di Singapura,” tambah beliau selaku ketua pembangkang.

Apabila ditanya oleh Encik Khairy sama ada beliau ingin menjadi perdana menteri, Encik Pritam menjawab tidak.

Dalam temu bual yang dimuat naik ke YouTube pada Selasa (24 Jun), Encik Pritam dan dua hos podcast itu membincangkan pelbagai isu politik, termasuk strategi WP dalam Pilihan Raya Umum terbaru di Singapura.

Antara lain, Encik Khairy bertanya sama ada WP dilihat sebagai kurang bercita-cita, dan sama ada parti itu seharusnya beralih daripada memegang matlamat untuk memenangi sepertiga kerusi parlimen.

“Saya perlu memahami denyut nadi rakyat Singapura. Saya perlu tahu apa yang mereka mahu, dan bagaimana mereka bertindak balas terhadap bahasa yang mencerminkan cita-cita,” kata Encik Pritam.

“Kalau bahasa itu tidak seiring dengan kefahaman umum mereka tentang apa yang mereka harapkan daripada politik di Singapura, maka cita-cita itu boleh menjadi loceng kematian bagi mana-mana anggota politik.”

Encik Pritam pernah menyatakan pada 2019 bahawa matlamat jangka sederhana WP adalah untuk bertanding dan memenangi sepertiga daripada kerusi di parlimen.

Di Singapura, pindaan perlembagaan memerlukan sokongan dua pertiga majoriti Dewan.

Dalam forum tahunan anggota parti pada Januari lalu, Encik Pritam memberitahu anggota WP bahawa mereka perlu bekerjasama sebagai satu pasukan jika mahu mencapai matlamat di mana Anggota Parlimen (AP) pembangkang yang dipilih mengisi sepertiga daripada Dewan.

“Kalau kita terima bahawa rakyat Singapura bersikap pragmatik, dan tiada permintaan untuk mengubah pemerintah, maka tindakan untuk pergi ke gelanggang politik sambil mengibarkan panji yang mengatakan ‘Saya perdana menteri anda yang akan datang’ adalah, dengan segala hormat, satu tindakan yang kurang bijak,” kata Encik Pritam dalam temu bual itu.

Beliau menambah bahawa ramai rakyat Singapura mahukan “keseimbangan politik”.

“Dan kami sedar akan hal tersebut. Jadi kami cuba tawarkan satu platform, satu visi kepada masyarakat, bahawa kami percaya kami boleh memenuhi aspirasi itu,” katanya.

Beliau menambah: “Kami masih percaya bahawa pembangkang perlu memainkan peranan semak-dan-imbang. Itu yang kami mahukan.

“Dan kalau anda masuk dengan hujah bahawa anda sudah bersedia membentuk pemerintah, itu tidak selari dan tidak bertepatan dengan sentimen masyarakat. Saya tidak rasa itu akan menjadi resipi untuk kempen politik yang berjaya.”

PAP TIDAK “MELATAH”

Menjawab soalan Encik Khairy mengapa beliau tidak meninggalkan “kubunya” di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Aljunied, Encik Pritam berkata tiada kerusi yang benar-benar selamat.

“Hakikatnya, kami adalah pembangkang di Singapura. Tiada kerusi selamat bagi kami, tiada kubu selamat.

“Segalanya boleh berubah, dan sebelum anda sedar, anda berada di barisan hadapan dan perlu bertarung di situ,” katanya.

Dalam Pilihan Raya Umum baru-baru ini, Parti Tindakan Rakyat (PAP) memenangi 87 daripada 97 kerusi. Secara keseluruhan, PAP meraih 65.57 peratus undi - meningkat daripada 61.24 peratus pada pilihan raya 2020 - dalam ujian pertama Perdana Menteri Lawrence Wong menerajui parti.

WP pula berjaya mengekalkan 10 kerusi Parlimen di GRC Aljunied dan Sengkang, serta kubu kuat mereka di Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Hougang.

Parti itu juga ditawarkan dua kerusi NCMP (Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi), selepas kalah tipis di dua kawasan undi - meraih 48.53 peratus undi di SMC Jalan Kayu dan 47.37 peratus di GRC Tampines, yang menyaksikan pertandingan empat penjuru.

Kerusi-kerusi itu diisi oleh calon Jalan Kayu, Andre Low, dan calon Tampines, Eileen Chong.

Apabila ditanya oleh Encik Khairy mengapa beliau tidak "membangkitkan" sentimen awam dengan isu seperti kos sara hidup, Encik Pritam berkata PAP tidak “melatah”.

“Kami ada menyentuh isu kos sara hidup semasa berkempen, kami ada bercakap tentang perumahan. Tetapi PAP tidak melatah,” kata Encik Pritam.

Beliau menambah bahawa beliau turut membangkitkan isu masa bagi pelaksanaan kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di tengah-tengah tekanan inflasi, tetapi tiada anggota politik PAP yang mahu “menanganinya secara mendalam”.

“Mereka tahu… tiada kesilapan. PAP menjalankan kempen yang sangat ketat. Dan mereka sedar tentang isu-isu sensitif ini. Strategi mereka ialah: ‘Jangan sebutkan tentang hal tersebut'.”

Merujuk kepada rencana The Big Read oleh CNA TODAY mengenai strategi PAP, beliau menarik perhatian bahawa Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Josephine Teo, yang mengetuai GRC Jalan Besar, dan Menteri Ehwal Luar, Vivian Balakrishnan, yang mengetuai GRC Holland-Bukit Timah, merupakan antara yang tidak menyampaikan ucapan rapat pilihan raya.

“Menurut laporan itu, ia memang dirancang sebegitu. Jangan sebut apa-apa yang perkara yang boleh membuat rakyat marah… Jangan cakap apa-apa yang boleh mengubah suasana atau hala tuju kempen,” kata Encik Pritam.

ISU KAUM, AGAMA DAN POLITIK

Encik Pritam turut menyentuh soal kaum dan agama serta kaitannya dengan politik dalam podcast yang berlangsung selama lebih satu jam setengah itu.

“Saya tahu kaum wujud, agama wujud, dan jika saya tahu perkara ini wujud, cara terbaik untuk menghadapinya ialah dengan menghormatinya,” kata Encik Pritam, yang menggambarkan dirinya sebagai “sangat tidak berat sebelah dari segi kaum”.

Sebagai maklum balas, Encik Khairy berkata bahawa walaupun Singapura berbangga sebagai masyarakat berbilang kaum, setiap masyarakat masih melihat dunia dari perspektif yang berbeza dan mempunyai pertimbangan tersendiri.

Beliau bertanya bagaimana Encik Pritam mengimbangi hal tersebut dengan pendekatannya yang tidak berat sebelah terhadap kaum dalam politik.

“Apabila saya kata tidak bersikap berat sebelah dari segi kaum, itu adalah cara saya melihat Singapura. Itu adalah aspirasi saya untuk masyarakat Singapura. Tapi itu tidak bermakna saya mengabaikan hakikat bahawa kita berasal dari pelbagai kaum,” jawab Encik Pritam.

Dalam Pilihan Raya Umum lalu, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Jabatan Pilihan Raya (ELD) mendedahkan bahawa beberapa iklan pilihan raya online dimuat naik oleh pihak asing, termasuk dua ahli politik Malaysia dan seorang bekas warga Singapura yang kini menjadi warga Australia, bagi menyeru rakyat Singapura untuk mengundi berdasarkan garis agama.

Pihak berkuasa turut menyatakan bahawa mereka mengarahkan Meta untuk menyekat akses kepada catatan tersebut bagi para pengguna di Singapura.

Setiausaha Agung WP itu juga ditanya oleh Encik Khairy bagaimana beliau menangani persepsi masyarakat terhadap kes mahkamahnya.

Encik Pritam didapati bersalah pada Februari atas dua pertuduhan berbohong kepada parlimen mengenai keterangan palsu yang diberikannya kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen pada Disember 2021, semasa siasatan dijalankan terhadap kelakuan mantan AP WP, Raeesah Khan.

Encik Pritam menyatakan bahawa beliau akan memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman tersebut.

“Apabila hati nurani anda tenang dan anda tidak bersetuju dengan apa yang telah dilakukan terhadap anda, ia membawa kepada kejelasan fikiran, kejelasan tujuan, dan itu membuat anda terus fokus kepada apa yang anda perjuangkan,” kata Encik Pritam.

“Itulah yang menjadi panduan saya.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita