Skip to main content

Singapura

Ketua WP Pritam Singh tekankan kepentingan 'kritikal' semak dan imbang dalam mesej Tahun Baharu parti

Ketua Parti Pekerja (WP), Pritam Singh, berkata pada Rabu (31 Dis) bahawa keperluan sistem semak dan imbang yang kukuh di Singapura “tidak pernah lebih kritikal”, sambil memberi amaran berhubung tekanan yang semakin meningkat ke atas para pekerja di tengah-tengah perubahan teknologi dan ekonomi yang pesat.
Anggaran Waktu Membaca:
Ketua WP Pritam Singh tekankan kepentingan 'kritikal' semak dan imbang dalam mesej Tahun Baharu parti
Ketua Parti Pekerja (WP) dan calon Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Aljunied, Pritam Singh, berucap pada satu rapat di Maktab Rendah Anderson Serangoon pada 1 Mei 2025. (Gambar fail: CNA/Syamil Sapari)
Diterbitkan : 31 Dec 2025 05:25PM Dikemas Kini : 31 Dec 2025 09:07PM

SINGAPURA: Ketua Parti Pekerja (WP), Pritam Singh, berkata pada Rabu (31 Dis) bahawa keperluan sistem semak dan imbang yang kukuh di Singapura “tidak pernah lebih kritikal”, sambil memberi amaran berhubung tekanan yang semakin meningkat ke atas para pekerja di tengah-tengah perubahan teknologi dan ekonomi yang pesat.

“Kita hidup dalam era gangguan yang belum pernah berlaku sebelum ini,” kata Encik Pritam dalam mesej Tahun Baharu parti tersebut, sambil mengatakan bahawa kemajuan pesat kecerdasan buatan (AI) membawa kedua-dua peluang dan risiko kepada ramai pekerja di Singapura.

“Dalam keadaan sedemikian, pemerintah bukan sahaja perlu cekap tetapi juga adil,” kata beliau, sambil menambah bahawa para pekerja dan keluarga Singapura berdepan isu kos sara hidup, pekerjaan tidak terjamin serta realiti sosial yang memerlukan empati dari segi dasar.

WP akan terus mempertahankan hak para pekerja dan semua rakyat Singapura, kata Encik Pritam.

“Kami percaya bahawa keselamatan sebenar terletak pada sebuah masyarakat yang saling mempercayai, melalui maklumat serta dialog yang tulen,” tambahnya.

“Kami akan terus menuntut diwujudkan langkah-langkah perlindungan institusi, seperti jawatankuasa pilihan parlimen bagi setiap kementerian dan satu Akta Kebebasan Maklumat, bagi memastikan tadbir urus negara kita kekal telus dan bertanggungjawab dalam berkhidmat kepada rakyat.”

CABARAN POLITIK PEMBANGKANG

Menyifatkan 2025 sebagai tahun yang “penting” dalam sejarah Singapura, Encik Pritam berkata Pilihan Raya Umum (GE2025) tahun ini merupakan satu“detik penentu” bagi demokrasi negara.

Pilihan raya itu - yang menyaksikan WP mengukuhkan kedudukannya di Aljunied, Sengkang dan Hougang - turut menyaksikan parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP), meraih semula sokongan besar di kawasan-kawasan undi yang tidak ditandingi WP serta mencatatkan kelebihan undi yang kali terakhir dilihat pada GE2015, kata Encik Pritam.

PAP memenangi 87 daripada 97 kerusi dalam pilihan raya tahun ini. Secara keseluruhan, 65.57 peratus daripada 2,386,452 undi sah memilih parti pemerintah - meningkat daripada 61.24 peratus pada GE2020.

“Fakta ini sahaja menunjukkan dengan jelas betapa sukarnya politik pembangkang di Singapura dan akan terus menjadi cabaran pada masa hadapan,” kata Encik Pritam.

“Kami terharu rakyat Singapura telah memilih untuk melalui perjalanan ini bersama kami, dan akur bahawa sistem politik yang seimbang bukanlah satu kemewahan, tetapi satu keperluan bagi Singapura yang stabil dan berdaya tahan.”

REKOD PARLIMEN WP 2025

Encik Pritam turut menekankan bagaimana para Anggota Parlimen (AP) WP berusaha meneliti dasar-dasar pemerintah merangkumi pelbagai isu dalam beberapa bulan pertama parlimen ke-15 Singapura.

Antara usaha yang diketengahkan beliau termasuk AP parti yang:

  • Menggesa pemerintah untuk menimbangkan penggunaan alat ekonomi, seperti sekatan terhadap para individu, bagi mematahkan sindiket-sindiket penipuan antarabangsa.
  • Memperjuangkan pemberian baucar prasekolah yang membiayai kanak-kanak, bukannya pengendali, bagi mengekalkan kepelbagaian dan kemampuan dalam sektor pendidikan awal kanak-kanak.
  • Mencadangkan rangka kerja diskaun Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) berdasarkan keperluan bagi ibu bapa, penjaga dan golongan kurang upaya.
  • Menyeru disediakan skim insurans pemberhentian kerja yang menyeluruh bagi menyokong mereka yang sedang mencari pekerjaan serta memperjuangkan hak pekerja untuk disemak oleh manusia, khususnya pekerja platform yang diuruskan oleh algoritma.

“Sebagai Ketua Pembangkang, saya menekankan bahawa menyoal pemerintah merupakan ciri penting bagi sistem kita yang direka untuk memastikan hasil yang lebih baik untuk semua,” kata Encik Pritam.

Mesej beliau disampaikan sedang Parlimen dijadual membincangkan tindakan para pemimpin parti itu dalam menangani pembohongan bekas anggota, Raeesah Khan, dalam Dewan.

Encik Pritam disabitkan kesalahan pada Februari kerana berbohong kepada sebuah jawatankuasa parlimen berhubung sama ada beliau mengarahkan Cik Raeesah supaya berterus terang mengenai satu cerita palsu yang disampaikannya di parlimen.

Dalam parti tersebut, lebih 20 anggota kader WP menandatangani sepucuk surat yang menyeru agar satu persidangan khas diadakan pada Februari, dengan kedudukan Encik Pritam sebagai ketua parti berkemungkinan menjadi antara topik yang bakal dibincangkan.

Dalam mesejnya pada Rabu, Encik Pritam juga akur bahawa perjalanan WP pada masa hadapan dijangka mencabar.

“Namun, kami kekal bersemangat dengan kepercayaan yang telah anda berikan kepada kami,” tulis beliau.

Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita