Ketua tukang jahit Mardiana Akhir diiktiraf sebagai pekerja teladan Anugerah Tanda Pengupayaan 2024

(Gambar: SG Enable)
SINGAPURA: Sebagai ketua tukang jahit di Re-store Enterprise Pte Ltd, Cik Mardiana Akhir bukan sahaja menghasilkan produk bermutu tinggi, tetapi juga menyelia sekumpulan tukang jahit.
Meskipun kurang daya pendengaran, beliau bekerjasama rapat dengan pihak pengurusan untuk menghasilkan prototaip dan sampel baharu, sambil sentiasa mencari cara-cara untuk memperbaiki proses pengeluaran bagi meningkatkan kecekapan syarikat.
Sebagai pemimpin berdedikasi, Cik Mardiana membimbing pasukannya yang turut menghadapi cabaran pendengaran, sambil memupuk kerjasama erat.
Atas sumbangannya itu, beliau diberikan Anugerah Pekerja Teladan di majlis Anugerah Tanda Pengupayaan 2024 yang diadakan di PARKROYAL on Beach Road pada 15 Oktober lalu.
Cik Mardiana bersyukur atas penghargaan tersebut dan tidak menjangkakan sebarang pengiktirafan.
"Saya berasa amat gembira menerima pengiktirafan ini dan bersyukur kerana segala kerja keras saya dihargai. Ini benar-benar satu kejutan bagi saya kerana saya tidak pernah menerima anugerah sebelum ini," luah Cik Mardiana kepada wartawan Nur Arina Ahmad Anis.
Pengiktirafan tersebut juga membakar semangatnya untuk bekerja dengan lebih cekap lagi.
"Saya berharap yang saya akan dapat mempertingkatkan kemahiran-kemahiran saya agar saya dapat melaksanakan tugas dengan lebih baik lagi. Inilah cara saya menunjukkan penghargaan saya kepada para majikan saya di Re-store atas peluang-peluang yang mereka telah berikan kepada saya," menurut Cik Mardiana.
PARA MAJIKAN HARUS LEBIH TERBUKA
Menurutnya, Re-store memberi sinar harapan kepada golongan kurang upaya sepertinya untuk membangunkan diri dan kerjaya.
Beliau juga berharap lebih banyak syarikat akan lebih terbuka untuk menerima bakat, kelebihan, serta kelemahan pekerja kurang upaya.
Katanya, cabaran mendapatkan pekerjaan masih wujud bagi individu seperti dirinya ekoran tanggapan bahawa mereka yang kurang daya pendengaran tidak mampu melaksanakan tugas dengan baik.
Oleh itu, beliau berharap majikan akan lebih inklusif terhadap pekerja kurang upaya.
Secara keseluruhannya, lebih 100 pertubuhan dan 12 individu menerima anugerah SG Enable itu pada tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.