Ketua sami Kuil Sri Mariamman didakwa pecah amanah dalam kes barang kemas S$2 juta
Ketua sami kuil Hindu tertua di Singapura, Kuil Sri Mariamman, didakwa di mahkamah pada Selasa (16 Feb) atas dakwaan jenayah pecah amanah berhubung barang kemas yang digunakan untuk upacara keagamaan dengan nilai gadai lebih S$2 juta.

Kandasamy Senapathi (Gambar: Facebook/Hindu Endowments Board)
SINGAPURA: Ketua sami kuil Hindu tertua di Singapura, Kuil Sri Mariamman, didakwa di mahkamah pada Selasa (16 Feb) atas dakwaan jenayah pecah amanah berhubung barang kemas yang digunakan untuk upacara keagamaan dengan nilai gadai lebih S$2 juta.
Kandasamy Senapathi, 37, dikenakan lima tuduhan pecah amanah sebagai seorang pekerja dan lima dakwaan di bawah Akta Rasuah, Penyeludupan Dadah dan Jenayah Berat Lain (Rampasan Faedah).
Kandasamy dituduh mengambil perhiasan emas upacara dari kuil itu dan menggadaikannya ke kedai-kedai berulang kali antara tahun 2016 dengan 2020 dan meraih wang tunai dalam jumlah yang besar.
Pihak pendakwa memberitahu mahkamah, nilai gadai barang kemas itu berjumlah lebih S$2 juta.
Kandasamy, seorang warga India, didakwa memindahkan lebih daripada S$141,000 hasil perbuatan jenayah ke luar negara.
Mahkamah diberitahu, modus operandi Kandasamy adalah untuk mengambil barang kemas itu, menggadaikannya dan menebus semula apabila dia mempunyai wang untuk mengembalikan barang-barang itu ke kuil.
Namun, sewaktu pandemik COVID-19 tahun lalu, dia tidak dapat mengumpulkan wang untuk menebus barang tersebut tepat pada waktunya untuk beberapa upacara, kata peguamnya.
Sejak itu Kandasamy telah menebus barangan yang digadaikan dan mengembalikan semua barang kemas tersebut kepada kuil itu
Polis menyatakan pada Ogos tahun lalu bahawa mereka sedang menjalankan siasatan ke atas Kandasamy selepas perhiasan emas di bawah jagaannya hilang.
Kuil Sri Mariamman, yang terletak di South Bridge Road, menyatakan dalam satu kenyataan ketika itu bahawa barang perhiasan emas upacara keagamaan itu disimpan di bawah jagaan ketua sami di tempat suci bahagian dalam kuil itu.
Audit dilakukan secara tetap untuk memastikan bahawa perhiasan emas itu berada di tempatnya, kata kuil itu.
Peguam Kandasamy meminta nilai ikat jamin yang lebih rendah, dengan mengatakan bahawa anak guamnya, yang kini tinggal di sebuah bilik di kuil itu ialah seorang warga asing dan tidak dapat mengumpulkan wang jaminan yang tinggi. Beliau berkata bahawa Kandasamy telah "bercakap dengan beberapa orang" yang bersedia untuk membayar ikat jamin sebanyak S$80,000.
Pihak pendakwa membantah, dengan berkata bahawa tertuduh menimbulkan risiko melarikan diri kerana dia tidak mempunyai hubungan masyarakat atau keluarga di Singapura dan menghadapi hukuman penjara maksimum 15 tahun kerana melakukan pecah amanah.
Hakim menetapkan nilai ikat jamin pada S$100,000, dengan berkata bahawa ia adalah jumlah yang sesuai untuk "kesalahan yang sangat serius" yang dipercayai dilakukan ketika dia berada dalam kedudukan memegang amanah.
Kandasamy akan dihadapkan semula ke mahkamah bulan depan. Sekiranya disabitkan dengan kesalahan pecah amanah sebagai seorang pekerja, dia boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan didenda. Kerana mengeluarkan hasil jenayah dari bidang kuasa Singapura, dia boleh dipenjara hingga 10 tahun, didenda hingga S$500,000, atau kedua-duanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.