Ketua perniagaan bertanggungjawab bentuk hasil dalam dunia semakin berpecah-belah: Chan Chun Sing
Para pemimpin perniagaan boleh menjadi 'arkitek perubahan' dan membentuk hasil global dalam dunia yang semakin berpecah belah, kata Menteri Pertahanan Chan Chun Sing pada Rabu (1 Okt).
"Pemerintah boleh menggubal dasar tetapi pasaran, industri dan perusahaan akan membentuk hasilnya," kata Encik Chan yang juga Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam.
Berucap kepada para pemimpin perusahaan dan perniagaan di Sidang Puncak Asia Institut Milken tahun ini di Singapura, Encik Chan berkata perniagaan boleh memainkan peranan lebih besar untuk memastikan globalisasi berfungsi bagi semua orang.
Beliau menggesa para pemimpin korporat supaya lebih lantang bersuara di tengah-tengah perpecahan dalam aturan dunia.
"Suara anda harus didengari di negara masing-masing di peringkat politik, anda mesti beri keyakinan kepada pemimpin anda sendiri bahawa inilah yang dikehendaki oleh masyarakat perniagaan dan pasaran," katanya.
Ini amat penting dalam dunia yang sedang berada di persimpangan dua ekstrem, katanya.
Salah satu ekstrem adalah di mana dunia akan terus berpecah-belah, dengan negara-negara menyertai blok berbeza, dan secara keseluruhan potensi ekonomi global "berkurangan kerana kita semua cuba mengoptimumkan negara masing-masing di peringkat tempatan".
Di hujung satu lagi spektrum adalah integrasi global yang lebih besar.
Encik Chan berkata perniagaan-perniagaan, oleh kerana mereka kaya dengan sumber yang boleh menandingi negara-negara kecil, mempunyai pilihan dalam hala tuju dunia.
"Kami semua di sini berkemungkinan adalah pemimpin daripada industri dan sektor yang berlainan, dan kami semua mempunyai peranan, tanggungjawab dan agensi untuk membentuk hasil ke mana ingin ditujukan dari dua sisi ekstrem yang telah saya gambarkan," katanya.
KEPENTINGAN PERIBADI
Atas tujuan itu, Encik Chan menawarkan dua cadangan mengenai apa yang boleh dilakukan oleh para pemimpin perniagaan.
Perniagaan-perniagaan harus terlebih dahulu mendorong model kerjasama baharu, integrasi yang lebih baik dan "set peraturan baharu untuk membimbing ekonomi baharu".
Namun sebaliknya, jika perniagaan-perniagaan tunduk kepada kecenderungan dasar perlindungan sendiri, kemudian isu 'dilema tahanan' (prisoner's dilemma) akan menampilkan diri di mana "setiap orang cuba mengoptimumkan hasil sendiri, tetapi akhirnya meraih keputusan kolektif yang lebih buruk", katanya, sambil merujuk kepada konsep yang merupakan sebahagian daripada teori permainan (game theory).
Kedua, perniagaan-perniagaan juga perlu melabur dalam tenaga kerjanya sendiri kerana ia dalam 'kepentingan peribadi' syarikat-syarikat untuk berbuat demikian.
Ini supaya pekerja-pekerja yang berkemungkinan akan digantikan oleh gangguan teknologi atau sistem global yang berpecah-belah mempunyai harapan bahawa mereka akan dijaga, dengan kesedaran bahawa "masih ada individu yang percaya pada mereka dan mahu melabur dan ingin membantu mereka mengikuti perkembangan semasa".
Dalam ucapannya sebelum ini, Encik Chan berkata salah satu kekuatan Singapura yang memanfaatkan perniagaan adalah kestabilan politik, dan melindungi kepentingan rakyat memastikan masyarakat kekal "kohesif dan bersatu padu, dan tidak dipecahbelahkan oleh pengagihan kurang setara daripada hasil pertumbuhan".
Bagi Encik Chan, memelihara perkara itu adalah demi kepentingan peribadi perniagaan-perniagaan itu kerana para pekerja juga adalah pengundinya.
"Apabila kakitangan, pekerja, pengundi... melihat harapan dan prospek bagi masa hadapan lebih baik dengan sistem sedia ada, dengan ahli korporat memainkan peranan masing-masing, saya fikir mereka berkemungkinan akan menyokong sistem sedia ada," katanya.
Jika perniagaan tidak melabur dalam pengurusan dan pembangunan bakat kakitangannya, ramai yang khuatir ketinggalan dan mempersoalkan mengapa mereka perlu terus menyokong sistem tersebut.
APA YANG SEDANG SG LAKUKAN
Di pihaknya, Singapura akan "menggandakan" empat "kelebihan daya saing buatan manusia" negara itu, kata Encik Chan.
Pertama adalah untuk memastikan kestabilan politik Singapura supaya ada ketekalan dan kesinambungan dasar.
"Tiada rahsia tentang kejayaan Singapura, tetapi ada sesuatu yang istimewa mengenai kejayaan Singapura, dan ia adalah keupayaan kita untuk melaksanakan sesuatu dan berfikiran jangka panjang," katanya.
"Idea biasa yang dilaksanakan dengan baik secara konsisten dari masa ke masa, lebih hebat daripada idea bernas yang diperolehi dengan pantas."
Beliau berkata di tengah-tengah dunia yang tidak menentu, perniagaan-perniagaan mencari tempat di mana ia boleh menggerakkan modal mereka, mengagregat bakat dan melindungi harta inteleknya.
"Ini adalah sesuatu yang Singapura boleh tawarkan secara unik kepada seluruh dunia - keupayaan untuk berfikir jangka panjang dan keupayaan melaksanakan dengan penuh keyakinan bagi tempoh jangka panjang, supaya kita maksudkan apa yang kita katakan dan kita katakan apa yang kita maksudkan, supaya perniagaan dapat terus menaruh kepercayaan kepada kami," katanya.
Kedua, Singapura akan terus menerapkan kedaulatan undang-undang secara konsisten dan adil, sambil membenarkan inovasi baharu berlaku.
Ketiga, Encik Chan berkata Singapura harus menjalin perkongsian baharu dengan perniagaan dan negara-negara lain, sambil memberi contoh perjanjian perdagangan bebas Singapura dengan Amerika Syarikat serta perjanjian perkongsian ekonomi digital bersama negara-negara seperti New Zealand dan Chile bagi menggalak perdagangan digital dan aliran data diyakini.
Akhir sekali, Singapura akan terus memberi penekanan terhadap pelaburan dalam pekerja, kata Encik Chan, sambil menggariskan inisiatif-inisiatif seperti SkillsFuture yang dilancarkan lebih sedekad lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.