Ketua Pengarah MFA mengaku berbohong kepada kementerian mengenai penggunaan beg diplomatik
Gilbert Oh Hin Kwan akan kembali ke mahkamah untuk mendengar hukumannya pada 20 Mei.
SINGAPURA: Seorang ketua pengarah di Kementerian Ehwal Luar (MFA) mengaku berbohong kepada kementerian berhubung niat menggunakan beg diplomatik untuk menghantar jam tangan mewah bagi pihak seorang rakan pada Januari 2023.
Gilbert Oh Hin Kwan, 45 tahun, mengaku bersalah pada Jumaat (26 Apr) atas tuduhan memberi maklumat palsu kepada kakitangan awam. Dia akan kembali ke mahkamah untuk mendengar hukumannya pada 20 Mei.
Pihak pendakwa menuntut denda S$6,000 hingga S$9,000, manakala pihak pembelaan meminta denda kurang daripada S$5,000.
Mahkamah diberitahu bahawa Oh telah bersetuju untuk membantu rakannya, warga China Cik Jiang Si, membawa jam tangan miliknya dari China ke tempat tinggalnya di Singapura.
Pada 12 Jan 2023, Oh menghubungi rakan sekerjanya Encik Dion Loke Cheng Wang, yang berkhidmat di kedutaan Singapura di Beijing, melalui WhatsApp.
Oh berbohong kepada Encik Loke bahawa ibu bapa rakannya, yang dikatakan seorang diplomat China, mahu menghantar bungkusan kepadanya di Singapura. Dia meminta Encik Loke menghantarnya melalui perkhidmatan beg diplomatik MFA.
Beg diplomatik digunakan untuk menghantar dokumen atau barang untuk kegunaan rasmi. Di bawah Konvensyen Vienna, beg diplomatik tidak boleh dibuka atau ditahan.
Sebenarnya, Cik Jiang bukan seorang diplomat.
Oh memberikan alamat kediaman Encik Loke di Beijing kepada Cik Jiang dan mengatur agar bungkusan tertutup dihantar.
Bungkusan itu mengandungi 21 jam tangan mewah, sebentuk cincin dan kira-kira tujuh buku kanak-kanak, yang kesemuanya milik Cik Jiang dan pasangannya, Encik Liu Liang. Oh tidak tahu jumlah jam tangan atau kandungan sebenar bungkusan itu.
Disebabkan perkhidmatan beg diplomatik digantung ketika itu, Encik Loke tidak menggunakannya untuk membawa bungkusan itu. Sebaliknya, beliau membawa beg itu dalam bagasinya dari penerbangan di China ke Singapura pada 17 Jan 2023.
Selepas mendarat hampir tengah malam, bagasinya diperiksa oleh pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA). Bungkusan yang tertutup itu dibuka.
Encik Loke memberitahu pegawai ICA bahawa dia tidak tahu kandungan bungkusan itu, dan menerimanya daripada seorang diplomat China.
Tambahnya, dia membawa bungkusan itu untuk Oh.
Perkara itu dirujuk kepada polis, yang menemu bual Encik Loke di lapangan terbang sehingga awal pagi. MFA dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Pada pagi 19 Jan 2023, Timbalan Setiausaha Pengurusan MFA ketika itu, Encik Ong Eng Chuan, memberitahu Oh untuk memberikan laporan bertulis mengenai Encik Loke membawa bungkusan itu ke Singapura.
Oh bimbang tindakan disiplin akan diambil terhadapnya kerana ia boleh menjejaskan perkembangan kerjayanya, kata pihak pendakwa.
"Dia memutuskan untuk memberitahu MFA bahawa jam tangan itu adalah milik bapanya kerana dia percaya MFA akan lebih berlembut berbanding jika dia memberitahu perkara sebenar," kata Cik Tan.
Oh memberitahu bapanya tentang apa yang ingin diberitahu kepada MFA.
Kira-kira jam 6.30 petang hari tersebut, dia menghantar e-mel kepada Encik Ong dengan menyatakan jam tangan itu milik bapanya, dan bapanya telah meminta bantuannya untuk membawanya ke Singapura.
Perbuatan ini merupakan kesalahan berbohong kepada pegawai awam dan Oh mengaku bersalah.
Pada hari yang sama, Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) memulakan siasatan kes itu dan menemu bual Oh.
Oh masih diikat jamin sementara hukumannya ditentutan mahkamah.
Hukuman bagi memberi maklumat palsu kepada kakitangan awam ialah penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.