Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ketua pengarah MFA didakwa kirim Panadol, jam mewah dalam beg diplomatik

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 23 Nov 2023 11:32AM Dikemas Kini : 23 Nov 2023 09:14PM

SINGAPURA: Seorang ketua pengarah di Kementerian Ehwal Luar (MFA) didakwa di mahkamah pada Khamis (23 Nov) kerana mengirimkan beberapa kotak ubat Panadol dan jam-jam mewah menggunakan beg-beg diplomatik.

Gilbert Oh Hin Kwan, 44 tahun berdepan dua tuduhan menipu dan satu tuduhan menyerahkan maklumat palsu kepada seorang penjawat awam.

Pada Disember tahun lalu, Oh mengirimkan beberapa pakej mengandungi kotak-kotak Panadol dari Singapura ke Beijing menggunakan khidmat beg diplomatik.

Dia didakwa berselindung daripada MFA bahawa pakej itu ditujukan kepada kenalan peribadi, dan bukan rakan sekerja dari Kementerian itu di Beijing.

Menurut Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB), MFA telah dimohon untuk menerima pakej penghantaran tersebut melalui perkhidmatan beg diplomatik atas dasar itu, yang tidak akan dilakukan sekiranya ia mengetahui kebenarannya.

Menurut Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik, beg-beg diplomatik digunakan bagi dokumen atau barangan yang ditujukan bagi kegunaan rasmi.

Di bawah konvensyen tersebut, beg-beg diplomatik tidak boleh dibuka atau ditahan. Beg-beg tersebut mesti "memaparkan tanda luaran yang kelihatan ciri-cirinya".

Pada Disember 2022, warga China di Singapura beratur untuk menghantar ubat demam selesema kepada saudara-mara mereka di tengah-tengah lonjakan kes COVID-19 di China dan kekurangan bekalan ubat di negara tersebut.

Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengingati orang ramai untuk membeli ubat-ubatan dalam jumlah yang mencukupi bagi keperluan peribadi. MOH menambah ia sedia maklum para peruncit menyaksikan permintaan yang meningkat bagi ubat demam, batuk dan demam selesema.

Sesetengah peruncit, termasuk FairPrice and Watsons, mengenakan had pembelian produk Panadol dan Nurofen. Nurofen mengandungi ibuprofen, iaitu ubat anti-radang bukan steroid, yang boleh digunakan untuk merawat demam.

JAM-JAM MEWAH

Oh juga dituduh menghasut rakan kerjanya untuk menghantar pakej mengandungi jam mewah dari China ke Singapura pada 12 Jan menggunakan khidmat beg diplomatik berkenaan.

Dia dipercayai tidak mendedahkan bahawa pakej itu milik dan ditujukan kepada orang lain.

Seminggu kemudian, dia dipercayai berbohong kepada Timbalan Setiausaha MFA Ong Eng Chuan mengenai pakej yang mengandungi jam-jam mewah itu, sambil mendakwa jam-jam tersebut milik bapanya.


Jika didapati bersalah menipu, Oh boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali. Dia juga boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali jika dia disabitkan bersalah berbohong kepada seorang penjawat awam.

Mediacorp sudahpun menghubungi MFA untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan