Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ketua Pengarah MFA berdepan tuduhan guna beg diplomatik dibenarkan lawat Tokyo

Anggaran Waktu Membaca:
Ketua Pengarah MFA berdepan tuduhan guna beg diplomatik dibenarkan lawat Tokyo

Gilbert Oh Hin Kwan, seorang ketua pengarah Kementerian Ehwal Luar Singapura. (Gambar: Kementerian Luar dan Perdagangan Luar, Kerajaan Diraja Bhutan/Facebook)

SINGAPURA: Seorang ketua pengarah di Kementerian Ehwal Luar (MFA) yang didakwa atas penggunaan beg diplomatik untuk Panadol dan jam tangan mewah dibenarkan meninggalkan Singapura bagi melawat Tokyo, Jepun oleh pihak mahkamah pada Khamis (25 Jan).

Gilbert Oh Hin Kwan, 45 tahun, berdepan dengan tiga tuduhan termasuk menipu MFA, bersubahat dengan niat untuk menipu dan memberikan keterangan palsu kepada seorang pegawai awam.
Dia juga dipercayai menyembunyikan daripada MFA bahawa bungkusan berisi kotak-kotak Panadol yang dihantar ke Beijing dari Singapura pada Disember 2022 adalah untuk seorang kenalan peribadi.

Dia juga dituduh menghasut rakan sekerja MFA untuk menghantar bungkusan yang mengandungi jam tangan berjenama dari China ke Singapura melalui perkhidmatan beg diplomatik pada Januari 2023.

Pada bulan yang sama, dia dipercayai berbohong kepada seorang timbalan setiausaha di MFA, dengan menyatakan bahawa jam tangan berjenama dalam pakej tersebut adalah milik bapanya.

Oh diwakili oleh Encik Shashi Nathan dan Cik Harjeet Kaur dari Withers KhattarWong.

Cik Kaur mendapat kebenaran mahkamah untuk Oh melawat Tokyo dari 28 Jan hingga 20 Feb.

Tujuan lawatan itu adalah untuk beriadah, menurut rekod mahkamah.

Oh mahu "meneroka dan merundingkan kemungkinan penjualan dan/atau pembelian hartanah di Tokyo", untuk melawat pakar tembikar, yang "sudah tua dan masih uzur", dan melawat keluarga pasangannya.

Hakim meluluskan permintaan itu, tetapi menetapkan beberapa syarat.

Oh mesti menyediakan jaminan tambahan sebanyak S$10,000 dan penjamin mesti menyediakan jaminan kewangan. Ini selain jaminan sedia ada Oh sebanyak S$10,000.

Oh juga mesti memberikan jadual perjalanan yang lengkap kepada pegawai penyiasatnya sebelum berlepas ke luar negara.

Di samping itu, Oh mesti memberikan butiran penuh tempat dia akan menginap, serta nombor telefon sebelum dia melawat Tokyo.

Dia mesti terus dihubungi oleh pegawai penyiasat dan penjaminnya tidak boleh pergi bersamanya.

Sejurus selepas pulang ke Singapura, Oh mesti menyerahkan pasportnya kepada pegawai penyiasat dalam masa 24 jam.

Menurut Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik, beg diplomatik digunakan untuk menghantar dokumen atau barang untuk kegunaan rasmi. Di bawah konvensyen itu, beg diplomatik tidak boleh dibuka atau ditahan. Beg tersebut mesti "mempunyai tanda luaran yang boleh dilihat ciri-cirinya".

Kes Oh dijangka akan dibicarakan selanjutnya pada 22 Feb.

Jika didapati bersalah kerana menipu, Oh boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali. Dia juga boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, didenda atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan berbohong kepada seorang pegawai awam.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan