Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ketua Pembangkang Pritam Singh, AP PAP fail soalan parlimen berhubung isu menteri sewa hartanah negara di Ridout Road

Anggaran Waktu Membaca:
Ketua Pembangkang Pritam Singh, AP PAP fail soalan parlimen berhubung isu menteri sewa hartanah negara di Ridout Road

31 Ridout Road yang disewa Encik Vivian Balakrishnan. (Gambar: TODAY/Nuria Ling)

Diterbitkan : 18 May 2023 08:06PM Dikemas Kini : 18 May 2023 08:34PM
SINGAPURA: Ketua Pembangkang Pritam Singh dan tiga Anggota Parlimen dari Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah pada Khamis (18 Mei) berkata mereka sudah mengemukakan soalan parlimen berhubung hartanah negara di Ridout Road yang disewakan kepada Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam dan Menteri Luar Vivian Balakrishnan.

Penguasa Tanah Singapura (SLA) menyatakan pada Jumaat lalu bahawa Encik Shamugam dan Dr Balakrishnan mengikut pematuhan penuh prosedur dan membuat bidaan melebihi "sewa panduan" bagi banglo kolonial tersebut.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis, Parti Pekerja (WP) menyatakan: "Ramai anggota masyarakat menyuarakan keprihatinan berhubung menteri Kabinet yang menyewa hartanah banglo hitam putih milik negara yang sangat besar."

Anggota Parlimen (AP) PAP, Murali Pillai (PAP-Bukit Batok) juga menarik perhatian dalam catatannya di Facebook bahawa urusan itu telah "menimbulkan persoalan orang awam".

Beliau adalah antara tiga AP PAP yang berkata mereka sudah memfailkan soalan parlimen mengenai hal tersebut.

WP menyatakan ketuanya, Encik Singh akan, pada sesi Julai nanti, bertanya tentang sebab-sebab pemerintah tidak mengadakan sidang media bagi menangani tuduhan orang ramai berhubung rumah banglo di 26 dan 31 Ridout Road yang disewakan kepada Encik Shanmugam dan Dr Balakrishnan.

Encik Singh juga akan bertanya bagaimana perintah akan memberi jaminan kepada orang ramai bahawa dua menteri itu tidak menerima maklumat yang memberi mereka kelebihan apabila menyewa rumah itu; dan sama ada wujud sebarang peraturan atau dasar bagi memastikan menteri Kabinet tidak mengambil kesempatan daripada maklumat yang diterima semasa menjalankan tugas rasmi atau bukan rasmi berhubung sewa hartanah pemerintah.

WP pada Khamis berkata ia terus mengkaji perkara itu, dan APnya yang lain juga mungkin memfailkan soalan berkaitan apabila lebih banyak maklumat muncul.

Parti itu berkata: "Memandangkan soalan terus ditanya dalam domain awam mengenai keadaan di sebalik penyewaan kedua-dua hartanah kepada menteri Kabinet, kami menyeru Pihak Berkuasa Tanah Singapura untuk mengeluarkan semua fakta yang relevan dan penting terlebih dahulu, seperti sewa panduan untuk kedua-dua hartanah, bagi mengadakan perbahasan yang lebih lengkap dan lebih bermakna di parlimen."

SLA sebelum ini menyatakan "lebih banyak butiran mengenai hal ini" akan diberikan apabila Parlimen bersidang pada Julai.

Encik Murai dalam catatan di Facebook berkata beliau akan bertanya di sesi parlimen pada Julai tentang langkah-langkah yang diambil bagi memasarkan, menyewa dan memperbaharui tempoh sewa bagi rumah banglo di 26 dan 31 Ridout Road.

Beliau juga akan bertanya sama ada Encik Shanmugam menggunakan jawatan rasminya dalam sebarang keputusan berkaitan sewa hartanah itu.

Encik Murali juga akan bertanya tentang langkah-langkah bagi memastikan sebarang pembida yang menyertai tender itu tidak diberikan sebarang kelebihan berbanding pembida lain; dan memastikan proses bidaan itu adil, telus dan kompetitif.

Pada Khamis, AP Zhulkarnain Abdul Rahim (PAP-Chua Chu Kang) juga berkata beliau akan bertanya di Dewan tentang keadaan di mana hartanah itu disewakan kepada dua menteri berkenaan.

“Perkara berhubung tadbir urus dan undang-undang adalah sangat penting di negara kita kerana kita bukan sahaja mempunyai kedaulatan undang-undang untuk ditegakkan tetapi reputasi global untuk dikekalkan,” tulisnya di Facebook.

Turut memuat naik soalannya di media sosial ialah AP Sitoh Yih Pin (PAP-Potong Pasir), yang berkata beliau akan bertanya tentang "prosedur operasi penyewaan standard" SLA dan sama ada pihak berkuasa itu telah mengikuti SOP itu semasa menyewakan hartanah di Ridout Road kepada Encik Shanmugam dan Dr Balakrishnan.

Encik Sitoh juga akan bertanya tentang kadar sewa untuk hartanah tersebut.

SLA mengeluarkan kenyataannya sebagai respons kepada pertanyaan media berikutan catatan media sosial mengenai dua hartanah di Ridout Road itu sepanjang minggu lalu, yang diterbitkan anggota politik pembangkang, Encik Kenneth Jeyaretnam.

Menurut Encik Jeyaretnam, yang merupakan setiausaha agung Parti Pembaharuan (RP), adalah sukar untuk melihat bagaimana (Dr Balakrishnan atau Encik Shanmugam) "boleh mampu membayar sewa pasaran bagi hartanah semahal itu".

"Saya harap SLA boleh jelaskan tentang proses lelongan bagi hartanah tersebut dan apa bidaan yang diterima," tambahnya.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan