Ketua Pegawai Sahira Sha’ri satu-satunya pegawai kanan warga SG atas kapal pesiaran mewah Celebrity Beyond
Sahira Sha'ri, ketua pegawai Celebrity Beyond, sebuah kapal pesiaran mewah yang dilancarkan pada Mac 2021 menyambut tetamu pertamanya pada April 2022. Kapal itu, yang dimiliki oleh Celebrity Cruises, dilengkapi dengan 17 dek dan kapasiti untuk menampung hampir 4,000 penumpang dan 1,400 anak kapal.
Menerajui kapal pesiaran itu ialah Kapten Kate McCue, seorang pempengaruh media sosial warga Amerika dengan lebih 950,000 pengikut Instagram dan 3 juta peminat TikTok, yang berkongsi pengembaraannya dari kerusi kapten.
Sebagai salah seorang daripada dua ketua pegawai Celebrity Beyond, Sahira adalah sebahagian daripada pasukan pengemudi, yang bertanggungjawab bagi tugas navigasi, komunikasi dan keselamatan kapal dan penumpangnya.
Sahira menyelia pelbagai tugas operasi, termasuk menguruskan operasi dek harian, menjalankan pemeriksaan berjadual ke atas tangki kapal, galei dan kawasan-kawasan lain, dan menerajui pasukan kelasi, pegawai rendah, kakitangan keselamatan dan banyak lagi untuk memastikan kelancaran dan keselamatan pelayaran untuk semua orang di atas kapal.
Sahira bekerja 10 hingga 12 jam sehari, dengan setiap kontrak antara enam hingga sembilan bulan. Sepanjang tempoh itu, Sahira tinggal di atas kapal Celebrity Beyond, belayar dari pelabuhan ke pelabuhan mengikut pelbagai jadual pelayaran kapal itu, seperti di Bahamas dan Kepulauan Cayman di Caribbean.
Waktu rehatnya biasanya selama tiga bulan, yang diluangkan bersama keluarganya di Singapura.
Sebelum menyertai Celebrity Beyond pada 2021, Sahira, yang memiliki diploma dalam pengajian nautika dari Politeknik Singapura, bekerja di kapal kargo dan pedagang, biasanya satu-satunya pelaut wanita dalam kalangan berpuluh-puluh lelaki.
Sejak menamatkan pengajian pada 2017, Sahira telah menghabiskan masa berbulan-bulan di laut di atas kapal sedemikian, menjalankan kerja yang mencabar secara fizikal dan belayar ke negara yang berbeza di seluruh dunia.
"Ia bukan kehidupan untuk semua orang," kata Sahira yang berusia 28 tahun kepada CNA Women. Bagi anak sulung daripada dua beradik ini, itulah yang ingin dilakukannya selama ini.
"Sejak muda, saya tahu saya tidak sesuai untuk kehidupan konvensional.
“Saya tidak dapat bayangkan melakukan kerja di pejabat, tinggal di rumah saya di Singapura. Saya tahu saya mahu mengembara dan mempunyai minat yang berbeza.
"Saya masih ingat melihat kapal pesiaran di Marina South Pier dan memikirkan betapa mengagumkannya jika saya dapat bekerja di kapal sebegitu."
Namun, berjauhan dengan keluarga sepanjang tahun bukan sesuatu yang mudah. Sahira terlepas acara-acara penting, seperti perkahwinan adik lelakinya, kelahiran anak saudaranya, dan banyak majlis rumah terbuka sempena Hari Raya.
Sahira mengatasinya dengan menghubungi ibu bapanya, terutama sekali ibunya, setiap hari, dan memaklumkan mereka tentang pengembaraannya. Sekalipun ibu bapanya bimbang terhadap keputusan anak perempuan mereka untuk bekerja di laut, mereka tetap menyokong keputusan tersebut.
"Saya suka apa yang saya lakukan, tetapi sangat berat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada ibu bapa saya apabila saya meninggalkan rumah untuk bekerja," akui Sahira. "Saya sentiasa berterima kasih atas sokongan dan doa mereka."
BERTUGAS ATAS KAPAL CELEBRITY BEYOND
"Sukar untuk mencari pekerjaan kerana berdasarkan pengalaman saya, tidak banyak syarikat perkapalan akan mengambil wanita sebagai pegawai di atas kapal, dan pandemik menjadikan keadaan lebih rumit kerana ramai orang tidak dibenarkan melakukan perjalanan ke luar negara," katanya.
"Saya memohon banyak pekerjaan, dan walaupun saya tidak mempunyai pengalaman di kapal pesiaran, saya tetap mencubanya."
Pemberhentian kerja itu ternyata membawa rahmat kepadanya apabila, pada tahun 2021, Celebrity Cruises, anak syarikat Royal Caribbean, memulakan kempen untuk merekrut pekerja baharu secara besar-besaran sebagai persiapan untuk kapal terbaharu mereka, Celebrity Beyond.
Sahira memohon kerja dengan syarikat tersebut, begitu juga dengan syarikat-syarikat pelayaran serantau. Sahira diterima oleh mereka semua tetapi memilih untuk menyertai Celebrity Beyond sebagai pegawai kedua syarikat itu.
"Adalah lebih selamat untuk pergi ke syarikat serantau atau tempatan yang kebanyakan pekerjanya berasal dari Singapura atau bahagian-bahagian lain di Asia Tenggara," katanya. "Tetapi saya rasa saya mahukan perspektif yang lebih luas dan budaya yang berbeza - lantaran itu, Celebrity Beyond sesuai untuk saya."
Sebagai pegawai kanan, kerjanya juga melibatkan usaha kemanusiaan di laut, dan pengerahan helikopter untuk kecemasan perubatan.
"Kerja itu mungkin seolah-olah membosankan, tetapi hakikatnya sentiasa ada sesuatu yang unik setiap hari," katanya.
“Saya adalah sebahagian daripada operasi menyelamat di mana kami melihat bot terbiar dari Cuba dalam perjalanan ke Amerika Syarikat, dan saya juga terlibat dalam pemindahan pesakit melalui helikopter di tengah-tengah kecemasan.
"Menyedari bahawa saya membuat sumbangan walaupun hanya sedikit untuk menyelamatkan nyawa menjadikan pekerjaan saya lebih menarik dan bermakna."
ASPEK TERBAIK KERJAYA ADALAH BUDAYA KERJA
"Saya bekerja dalam pasukan yang sangat rencam dan begitu ramai pegawai dari seluruh dunia," katanya. "Ia menjadikan kami lebih memahami dan bersikap terbuka antara satu sama lain, dan kami tidak berasa kekok untuk bercakap tentang identiti dan budaya.
Salah satu aspek yang menarik bagi Celebrity Beyond ialah kebanyakan pasukan dek adalah wanita, tambahnya, jauh berbeza daripada ketika Sahira menjadi satu-satunya wanita di atas kapal.
"Di sini, terdapat begitu ramai pegawai wanita," katanya. "Ia memang berbeza dari segi cara sesuatu isu diselesaikan dan cara kami menangani masalah di atas kapal - terdapat lebih banyak empati, kesejahteraan dan persahabatan antara kami kukuh.
Beliau sebagai seorang pegawai Melayu/Islam dari Singapura juga telah membantu memperluaskan persepsi rakan-rakan sekerjanya tentang Singapura, yang tidak banyak diketahui oleh rakan-rakan sekerjanya.
"Kapten Kate adalah seorang pemimpin yang hebat," kata Sahira. "Beliau sentiasa ceria dengan personaliti yang menyeronokkan. Beliau mengikuti perkembangan kehidupan peribadi kami, dan beliau juga memberi kami banyak peluang untuk berkembang sebagai anggota kakitangan.”
Salah satu detik yang paling tidak dapat dilupakan ialah apabila ibu bapa Sahira menaiki Celebrity Beyond selama 18 hari ketika kapal itu belayar melalui Laut Mediterranean.
Pada hari ke-12 perjalanan mereka, Kapten McCue mempelawa Sahira untuk menunjukkan kepada ibu bapanya cara Sahira mengemudi kapal keluar dari pelabuhan. Ibu bapanya amat bangga dan kagum.
"Sukar untuk menjelaskan kepada ibu bapa saya apa yang saya lakukan sebagai seorang pegawai, jadi apabila mereka melihat saya mengemudi kapal, mereka sangat terkejut dan bangga," kata Sahira. "Mereka sangat terkejut saya boleh berbuat demikian dengan kapal yang begitu besar sedangkan saya sendiri tidak memandu kereta!"
"Ini adalah Hari Raya pertama saya dalam masa yang lama jadi saya sangat gembira dan teruja untuk bertemu keluarga saya dan berkongsi cerita tentang kehidupan di atas kapal," katanya.
"Ia mungkin bukan kehidupan konvensional tetapi saya tidak akan melepaskan pengalaman kehidupan di laut untuk perkara-perkara lain."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.