Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ketua Pegawai Operasi Broadcast Engineering Services dipenjara; sogok penolong pengarah NLB

Anggaran Waktu Membaca:
Ketua Pegawai Operasi Broadcast Engineering Services dipenjara; sogok penolong pengarah NLB

Gambar hiasan: TiagoBaiao/iStock

SINGAPURA: Bimbang perniagaan syarikatnya mungkin terancam, seorang ketua pegawai operasi (COO) bersetuju untuk memberi rasuah kepada penolong pengarah Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).

Tan Lai Heng, yang ketika itu memegang peranan COO Broadcast Engineering Services (BES), dihukum penjara selama enam bulan dua minggu pada Jumaat (26 Jul) selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan bersekongkol dengan Francis Lim Boon Hor dan Lien Hoi Choon untuk memberi suapan kepada Adrian Chan Siew Leng.

Chan adalah seorang penolong pengarah NLB, yang telah dikerahkan ke Arkib Negara Singapura.

Dua tuduhan tersebut melibatkan suapan sebanyak S$60,000, yang diberikan dalam dua insiden berasingan. Satu lagi tuduhan serupa turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman itu.

Daripada empat tertuduh, Tan adalah orang pertama yang kesnya dibicarakan di mahkamah. Chan, 49 tahun, dan Lim, 50 tahun, dijangka akan mengaku bersalah pada 6 Ogos, manakala kes Lien, 68 tahun, belum selesai.

Tan, 64 tahun, menjadi pengarah BES pada 30 Nov 2017, apabila pengasas syarikat tersebut menyarankan agar dia serta Lien mengambil alih peranan mereka.

Tan menyandang jawatan Ketua Pegawai Operasi pada April 2018, manakala Lien merupakan Ketua Pegawai Kewangan. Kedua-duanya membincangkan dan memutuskan perkara utama bagi syarikat tersebut bersama-sama. Pada masa itu, Lim adalah pengarah penjualan, dengan Tan sebagai penyelianya. Dia memegang jawatan pengarah BES pada 16 Jan 2019.

Pada 24 Oktober 2017, NLB menawarkan tender bagi projek untuk meningkatkan infrastruktur dan sistem audio dan visual Arkib Negara Singapura. Chan merupakan pengurus projek dan ahli jawatankuasa penilaian tender.

Pada 2 Feb 2018, NLB memberikan projek tersebut kepada BES, dengan projek itu bernilai kira-kira S$8 juta sebelum Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Selepas projek tersebut diberikan kepada BES, Chan mendampingi Lim pada April 2018 dan bertanya jika BES terbuka untuk menaja atau memberinya biasiswa bagi program sarjananya.

Lim memberitahu Tan tentang permintaan itu. Tan bertanggapan bahawa Chan cukup berpengaruh dalam NLB dan tidak mahu mengambil risiko menyinggung perasaannya mahupun menjejaskan perniagaan BES, kerana projek itu merupakan salah satu projek terbesar yang diberikan kepada BES.

Dia juga mempertimbangkan bahawa BES ingin terus memperolehi projek-projek dengan NLB.

Lien juga bersetuju dengan permintaan itu. Lien mencadangkan agar Tan mengeluarkan wang daripada BES untuk mengupah Chan, menggunakan invois yang kononnya dikeluarkan kepada BES oleh vendor luar negara untuk merahsiakan transaksi itu.

Sekitar 3 Apr 2019, Chan mendekati Lim untuk mendapatkan wang lagi. Ketiga-tiga mereka bersetuju untuk membayar Chan S$30,000, yang dikeluarkan daripada akaun bank BES.

Pada pertengahan 2018, NLB memulakan persediaan bagi tender untuk membekalkan peralatan arkib, perkhidmatan dan perabot untuk makmal arkib di Arkib Negara Singapura.

Pengurus projek yang mengendalikan tender itu adalah orang bawahan Chan. Disebabkan rasuah yang diterimanya daripada Lim, Chan menasihatkan orang bawahan supaya mendapatkan petikan harga belanjawan itu daripada BES dalam persediaannya bagi tender tersebut dan dia berbuat demikian pada Jun dan September 2018.

Apabila tender akhirnya dibuka pada 10 Jan 2019, Chan adalah anggota jawatankuasa penilaian tender. Jawatankuasa itu menyarankan agar BES diberikan tender tersebut.

Tender itu diberikan kepada BES pada harga S$3,171,170 pada 17 Jun 2019.

Bagi kesalahan rasuah, Tan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, atau didenda sehingga S$100,000 atau kedua-duanya sekali.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, NLB menyatakan pihaknya sudah memecat Chan pada 12 Jun 2020, apabila dia dimaklumkan mengenai siasatan yang dijalankan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB).

"NLB tidak membenarkan sebarang perbuatan yang menyalahi undang-undang. Di mana terdapat asas dan maklumat yang mencukupi untuk mengambil tindakan, kami akan berbuat demikian," tegas NLB.

NLB menambah bahawa ia sentiasa mengingatkan semua kakitangan tentang tatalaku dan pentingnya menegakkan integriti Perkhidmatan Awam.

"Kami akan terus memastikan terdapat semak dan imbang yang kukuh dalam proses perolehan kami, dan mendidik kakitangan tentang tatalaku dan proses sedemikian," tambah NLB.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan