Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ketua Pegawai Maklumat IMF Shirin Abdul Hamid & tokoh batik negara Sarkasi Said penerima Anugerah Jauhari Berita Harian 2021

Anggaran Waktu Membaca:
Ketua Pegawai Maklumat IMF Shirin Abdul Hamid & tokoh batik negara Sarkasi Said penerima Anugerah Jauhari Berita Harian 2021

Allahyarham Sarkasi Said dan Cik Shirin Abdul Hamid antara penerima Anugerah Jauhari Berita Harian 2021

SINGAPURA: Bakal Ketua Pegawai Maklumat bagi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Shirin Abdul Hamid dinobatkan sebagai penerima Anugerah Jauhari Berita Harian tahun ini.

Sebagai Ketua Pengarah Jabatan Teknologi Maklumat dan Ketua Pegawai Maklumat (CIO) bagi Bank Pembangunan Asia di Filipina sejak 2016, Cik Shirin Abdul Hamid memimpin lebih 600 kakitangan dalam bidang teknologi maklumat (IT). 

Sebelum ini, ibu dua orang anak itu juga pernah menjadi Ketua Pegawai Teknologi dan pengarah bagi Program Pembangunan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) di New York selama 11 tahun, menyelia operasi IT di 170 negara dan wilayah. 

Pada Januari depan, Cik Shirin yang kini berusia 54 tahun bakal mencatat satu lagi pencapaian membanggakan dengan menggalas peranan baru sebagai Ketua Pegawai Maklumat bagi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Atas kecemerlangan luar biasanya dalam bidang IT yang kurang diceburi kaum wanita, apatah lagi wanita Melayu, serta sumbangannya kepada kerja-kerja amal, Cik Shirin terpilih menjadi penerima Anugerah Jauhari Berita Harian 2021. 

"Saya amat besar hati atas penerimaan anugerah ini tetapi secara jujurnya saya rasa bahawa terdapat banyak lagi masyarakat kita di Singapura yang lebih layak mendapat pengiktirafan ini, " kata Cik Shirin. 

"Walau bagaimanapun, sejauh mana pengalaman saya akan memberi inspirasi kepada sesiapa untuk mengambil jalan yang sama atau yang lebih mencabar dalam kerjaya mereka, sama ada di dalam mahupun di luar sempadan Singapura, saya dengan rendah hati menerima anugerah," tambahnya lagi. 

Ditanya bagaimana Cik Shirin dapat mengecap pencapaian yang cukup luar biasa dalam bidang yang jarang diceburi wanita, Cik Shirin berkongsi antara ciri terpenting untuk berjaya adalah menjadi diri sendiri dan yakin dengan kelebihan yang ada, di samping mendapat sokongan yang kukuh daripada anggota keluarga.  

"Anda perlu menentukan apa kekuatan anda. Anda perlu belajar bagaimana untuk kecapi kecemerlangan dan belajar untuk yakin dengan diri anda. Saya rasa sebahagian daripada perjalanan ini adalah tentang menjadi yakin dengan diri anda. Apabila anda berkeyakinan, saya rasa tidak ada masalah sama ada anda wanita atau lelaki dalam arena ini," jelas beliau. 

Cik Shirin menambah untuk berjaya, ciri berdaya bingkas perlu ada dalam apa jua aspek kehidupan. 

"Tidak kira apa yang ada di depan anda, sama ada tugas, keluarga, sekitaran, pastikan anda mampu menjadi fleksibel, tangkas dan sebahagian daripada proses ini adalah pembelajaran berterusan dan meningkatkan kemahiran kerana tidak ada yang statik," ujar beliau. 

SUMBANGAN BESAR ALLAHYARHAM SARKASI SAID DIIKTIRAF

Tahun ini, Anugerah Jauhari Berita Harian turut diberikan kepada tokoh yang sudah berpulang, iaitu penerima Pingat Budaya dan tokoh batik ikonik negara, Allahyarham Sarkasi Said. 

Sejak diperkenalkan pada 1998, anugerah tersebut hanya diberikan kepada seorang individu setiap tahun kecuali pada 2014 apabila ia diberikan kepada sebuah pertubuhan - Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG). 

Ini adalah kali pertama ia diberikan kepada individu yang sudah berpulang. 

Antara pencapaian Pak Sarkasi termasuk memasyhurkan seni batik sejauh Amerika Syarikat, Perancis, Jepun dan New Zealand. 

Pak Sarkasi yang meninggal dunia Oktober lalu pada usia 81 tahun turut aktif menyumbang kepada masyarakat melalui seni batiknya. 

ATLIT OLIMPIK LAWAN PEDANG, KIRIA TIKANAH ABDUL RAHMAN TERIMA ANUGERAH JAUHARI HARAPAN 

Anugerah Jauhari Harapan pula diberikan kepada atlit olimpik lawan pedang Kiria Tikanah, 21 tahun. 

Cik Kiria merupakan antara 23 atlit yang mewakili Singapura ke Sukan Olimpik Tokyo pada Julai lalu. 

Berada di tangga 207 atlit lawan pedang terbaik dunia, Cik Kiria berjaya menumpaskan atlit ke-90 dunia dari Hong Kong sebelum tewas dalam perlawanan menentang atlit nombor satu dunia dari Romania.

"Apabila saya mendapat tahu yang saya menerima anugerah ini, saya tidak sangka kerana saya tidak menyangka yang saya cukup baik untuk menerima anugerah ini. Saya ingin juga mencuba menjadi seorang juara dunia ataupun nombor satu dunia. Saya rasa ia bukan sebuah impian yang terlalu besar kerana saya telah layak ke Olimpik." kata Cik Kiria.  

Anugerah Jauhari Harapan diberikan kepada individu berusia 30 tahun atau ke bawah yang mempamerkan potensi dan pencapaian dalam bidang masing-masing. 

Antara penerimanya sebelum ini termasuk petinju profesional, Muhammad Ridhwan, pendayung negara, Saiyidah Aisyah Mohamed dan penerima biasiswa presiden, Muhammad Dhafer Muhammad Faishal.

Anugerah Jauhari Berita Harian disampaikan dalam satu majlis malam ini (22 Dis) oleh Menteri Pengangkutan S Iswaran kepada kakak Cik Shirin serta anak Allahyarham Pak Sarkasi. 

Anugerah tahunan itu meraikan sumbangan dan pencapaian cemerlang individu Melayu/Islam dalam bidang-bidang yang diceburi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan