Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ketua pasukan 4G Lawrence Wong santuni lebih 7,000 jemaah Masjid An-Nur pada pagi Syawal

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Hargai detik-detik berharga sempena Syawal ini dan meraikannya bersama keluarga tercinta setelah dua tahun melaluinya dengan pelbagai sekatan COVID-19.

Ketua pasukan 4G, Lawrence Wong berkata "kelegaan" daripada pelonggaran sekatan-sekatan COVID-19 yang dikuatkuasakan dengan ketat adalah sesuatu yang sangat wajar diraikan di Singapura sebagai sebuah masyarakat.

Ini setelah segala pengorbanan dan sumbangan masyarakat terhadap usaha memerangi COVID-19 semakin membuahkan hasil.

Jika direnung kembali apa yang diharungi negara sebelum ini, semua orang, kata Encik Wong, sudah mempamerkan sikap bersatu padu dan daya bingkas, terutama sekali masyarakat Melayu/Islam yang terpaksa meraikan dua Aidilfitri yang lalu dengan mematuhi bermacam-macam sekatan untuk membendung penularannya.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua anggota masyarakat Melayu/Islam atas segala sumbangan dan pengorbanan anda dalam sama-sama melawan pandemik ini, menyokong satu sama lain dan bekerjasama dengan pemerintah sepanjang tempoh menangani pandemik ini sebagai sebuah masyarakat yang bersatu padu," kata Menteri Kewangan Lawrence Wong.

Encik Wong turut meluangkan masa pagi ini (3 Mei) untuk beramah mesra dengan para jemaah yang menunaikan solat Aidilfitri di Masjid An-Nur.

Beliau berkata ramai penduduk yang ditemuinya memberitahu beliau bahawa mereka amat berbesar hati Raya tahun ini sungguh berbeza sekali.

<p>Gambar: Izwan Othman</p>

"Ramai yang menanti-nantikan detik untuk kunjung-mengunjung sanak saudara dan mereka sudah merancang untuk berbuat demikian. Agak jelas terpancar rasa lega, bersyukur kerana Raya kali ini sangat berbeza walaupun sudah terasa perbezaannya sejak beberapa minggu lalu dengan sambutan Ramadan, perbezaan semasa mereka mendirikan solat dan dengan adanya semula bazar."

"Sekarang ini dengan Hari Raya, ia lebih istimewa, saya rasa ia akan lebih meriah. Saya gembira melihat keceriaan ini dan keterujaan para jemaah," jelas Encik Wong yang juga Pengerusi Bersama Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian bagi COVID-19 (MTF).

TERUS BERWASPADA, PANDEMIK BELUM BERAKHIR

Dalam kegirangan menyambut Lebaran, Encik Wong turut mengingatkan masyarakat supaya terus mengamalkan langkah-langkah menjaga kebersihan dan kesihatan seperti yang sudah diterapkan sepanjang dua tahun lalu bagi melindungi mereka dan juga orang-orang tersayang.

"Pandemik belum berakhir dan kita patut terus berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga yang asas. Jika ada yang tidak sihat, tolong jangan keluar rumah dan berinteraksi dengan orang lain, lebih-lebih lagi mengunjungi warga emas di rumah mereka kerana ada kemungkinan anda akan menjangkiti mereka dengan apa jua penyakit yang anda alami," tegas Encik Wong.

Menurut beliau, pemerintah juga akur dengan kemungkinan berlaku mutasi seterusnya yang mungkin tidak sekecil Omicron tetapi mungkin lebih memudaratkan.

<p>Gambar: Izwan Othman</p>

"Ini bukan hari berakhirnya pandemik namun dalam waktu ini, kita berpeluang menikmati kelegaan yang benar-benar wajar diraikan. Maka itu,marilah kita memanfaatkannya sebaik-baiknya. Hargai waktu ini untuk sejauh mungkin menyambung semula kehidupan kita seperti biasa."

"Namun kita harus mempunyai minda, kesiapsiagaan secara psikologi, jika keperluan timbul, kita mesti bersatu sekali lagi dan melakukan apa saja untuk melindungi keluarga dan mata pencarian kita," kata Encik Wong.

Encik Wong turut disertai Menteri Negara Kanan Zaqy Mohamad dan Datuk Bandar CDC Barat Laut, Alex Yam bagi menyantuni antara lebih 7,000 jemaah yang menunaikan dua sesi solat Aidilfitri di masjid yang terletak di kawasan Marsiling itu.

Mereka bertiga juga merupakan para penasihat kepada pertubuhan-pertubuhan akar umbi di kawasan undi Marsiling-Yew Tee.

<p>Gambar: Izwan Othman</p>

USAH SESIAKAN PELUANG SAMBUT AIDILFITRI YANG ISTIMEWA

Encik Zaqy berkata banyak pendekatan yang diperkenalkan sewaktu pandemik, bermanfaat dan boleh diteruskan seperti melaksanakan solat Aidilfitri dengan menawarkan beberapa sesi solat.

"Jika sebelum pandemik kita mempunyai agak-agak 5,000 jemaah yang dapat solat Hari Raya (di Masjid An-Nur) tapi hari ini kita sudah menyesuaikan diri dengan sesi-sesi yang berlainan. Maka itu, kita ada hampir 4,000 jemaah pada satu sesi, jadi secara keseluruhan hampir 8,000 di Masjid An-Nur sendiri," kata Encik Zaqy.

Selain itu, Encik Zaqy juga menarik perhatian bahawa antara hikmah pandemik yang beliau dapat melihat sendiri adalah jumlah anak Melayu/Islam yang begitu ramai keluar membantu masyarakat yang dalam kesusahan menerusi program-program M3.

Di samping itu, Encik Zaqy berharap masyarakat tidak akan mensia-siakan peluang Hari Raya istimewa ini meskipun sambutan pada awalnya dicemari dengan komen-komen negatif segelintir masyarakat tentang perbezaan tarikh menyambut 1 Syawal di sini jika dibandingkan dengan negara-negara jiran.

Beliau berkata: "Kita semua memahami setelah Mufti memberikan penjelasannya tapi bagi saya apa yang penting ia adalah satu Hari Raya yang istimewa kerana sudah dua tahun kita tidak bersama keluarga dan teman-teman kita dan saya berharap kita gunakan peluang ini untuk bersama keluarga dan mereka yang kita kasihi."

Encik Zaqy juga berharap masyarakat dapat terus cekal dan teguh bersama sebagai umat yang bersatu padu mengharungi pandemik.

<p>Gambar: Izwan Othman</p>
Sumber : BERITA Mediacorp/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan