Skip to main content

Singapura

Ketua NTUC gesa pemberitahuan awal diwajibkan apabila pekerja diberhentikan

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Ng Chee Meng, akan menggesa supaya pemberitahuan awal pemberhentian kerja diwajibkan dalam perbahasan Belanjawan tahun ini, menurut gerakan buruh pada Isnin (9 Feb).
Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 09 Feb 2026 09:17PM Dikemas Kini : 25 Feb 2026 12:19PM
SINGAPURA: Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Ng Chee Meng, akan menggesa supaya pemberitahuan awal pemberhentian kerja diwajibkan dalam perbahasan Belanjawan tahun ini, menurut gerakan buruh pada Isnin (9 Feb).

Pada masa ini, syarikat yang mempunyai sekurang-kurangnya 10 pekerja perlu memaklumkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sekiranya mereka memberhentikan mana-mana pekerja dalam tempoh lima hari bekerja selepas pekerja tersebut dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

Denda pentadbiran sebanyak S$1,000 boleh dikenakan ke atas majikan sekiranya mereka gagal berbuat demikian.

Pelanggaran yang disengajakan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan yang tegas, namun Garis Panduan Perikatan Tiga Pihak mengenai Pemberitahuan Wajib Pemberhentian Kerja tidak menyatakan bentuk tindakan tersebut.

Pemberitahuan ini bertujuan untuk membolehkan rakan-rakan tiga pihak untuk membantu pekerja yang diberhentikan mencari pekerjaan alternatif serta mengenal pasti latihan yang relevan untuk meningkatkan daya saing mereka.

Menteri Tenaga Manusia, Tan See Leng, sebelum ini berkata di parlimen bahawa tindakan untuk tidak mewajibkan pemberitahuan awal dapat mengimbangi keperluan dalam memberi majikan masa yang mencukupi untuk memuktamadkan keputusan serta mengumpulkan maklumat yang diperlukan bagi penyerahan, selain tetap membolehkan bantuan diberikan dengan segera kepada pekerja yang terjejas.

Terdapat laporan berhubung majikan yang tidak memberi pemberitahuan awal pemberhentian kerja kepada pekerja atau kesatuan mereka, seperti rangkaian kedai kek Twelve Cupcakes dan syarikat e-dagang Lazada.

Selain itu, Encik Ng juga akan menggesa agar sokongan pekerjaan dipertingkatkan oleh syarikat-syarikat demi membantu para pekerja yang diberhentikan mengakses lebih banyak peluang pekerjaan.

Beliau akan turut meminta pemerintah untuk memperkukuh sokongan sedia ada, seperti Skim Sokongan Pencari Kerja bagi mereka yang menganggur secara tidak sukarela, memandangkan gangguan pekerjaan yang didorong oleh kecerdasan buatan (AI) semakin kerap berlaku, menurut NTUC.

Belanjawan Singapura 2026 akan dibentangkan pada Khamis dan seterusnya dibahaskan di parlimen.

“Satu bidang yang kami sangat memberi tumpuan ialah bagaimana kami boleh memperkasakan golongan karyawan berkolar putih,” kata Encik Ng kepada para wartawan pada Isnin.

“Kami tahu bahawa golongan PME bimbang tentang kesan AI terhadap pekerjaan mereka,” kata beliau, merujuk kepada golongan profesional, pengurus dan eksekutif. “Kami juga tahu bahawa ramai yang sangat bersedia untuk menyesuaikan diri dan meningkatkan kemahiran. Dan dalam Belanjawan ini, kami akan memperjuangkan sokongan untuk mereka meningkatkan kemahiran.”

Menurut satu tinjauan NTUC pada 2025, 56 peratus golongan PME merasakan keperluan membangunkan kemahiran untuk kekal relevan, mencerminkan kebimbangan dalam menyesuaikan diri dengan gangguan AI.

Golongan PME merangkumi 45 peratus daripada jumlah keahlian NTUC, yang melangkaui 1.4 juta orang pada 2025.

MENGUBAH PERNIAGAAN, PEKERJA

Encik Ng berkata golongan PME memerlukan “latihan yang tepat pada masanya dan sokongan yang nyata”, sama ada dalam pekerjaan atau sekiranya berlaku pemberhentian kerja, supaya mereka tidak perlu menghadapi cabaran tersebut secara bersendirian.

Beliau turut berkata bahawa NTUC sedang meningkatkan usaha untuk menilai bagaimana jawatankuasa latihan syarikatnya boleh memperkukuh perniagaan dan golongan karyawan, seperti akauntan dan doktor, yang akan terkesan oleh AI.

“Kemajuan yang baik” sudah dicapai dalam usaha NTUC untuk memperluaskan jawatankuasa latihan syarikat berkelompok melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat berskala besar untuk membolehkan perubahan di peringkat sektor, tambah beliau.

Jawatankuasa latihan syarikat menghimpunkan pemimpin kesatuan dan pihak pengurusan untuk membangunkan pelan transformasi perniagaan di peringkat syarikat untuk meningkatkan pengeluaran.

Sehingga Disember 2025, lebih 800 projek sudah diluluskan di bawah geran bernilai S$70 juta untuk menyokong jawatankuasa latihan syarikat. Geran tersebut dijangka memanfaatkan hampir 10,000 pekerja.

Hampir satu daripada enam projek di bawah geran tersebut ada kaitannya dengan peranan kewangan, perakaunan dan perolehan, dan sudah memberi manfaat kepada hampir 1,700 pekerja, menurut NTUC.

Ini mencerminkan permintaan yang kukuh bagi transformasi sektor dan memberi kesan yang ketara terhadap peranan PME dalam operasi kewangan, perakaunan, fungsi pemerolehan serta peranan sokongan dari segi kewangan dan pentadbiran, tambah NTUC.

Encik Ng berkata demikian semasa melakukan lawatan ke syarikat perakaunan awam SIN Assurance PAC, yang memanfaatkan geran jawatankuasa transformasi syarikat untuk menggunakan teknologi berkaitan AI untuk meningkatkan pengeluaran.

Syarikat tersebut berjaya mengurangkan proses audit manualnya yang memerlukan tenaga kerja yang intensif melalui penggunaan alat pengurusan mutu online dan automasi proses robotik.

Pengurus audit, Eer Jia Han, berkata para pekerjanya kini lebih berupaya untuk menggunakan pertimbangan profesional mereka bagi bidang berisiko tinggi dan lebih kompleks, sekali gus memperkukuhkan mutu audit serta kebolehpercayaan kesimpulan jaminan mereka.

“Kami tidak menganggap AI dan automasi sebagai ancaman kepada pekerjaan, sebaliknya sebagai pemangkin kepada kerja-kerja dengan nilai yang lebih tinggi,” kata rakan pengurusan SIN Assurance, Dax Teo.

“Dengan mendakapi teknologi dan memanfaatkan keupayaannya sebagai pengganda kuasa untuk kita semua, kita boleh mengubah gangguan menjadi peluang.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita