Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ketua NCID Leo Yee Sin undur diri selepas 6 tahun; digantikan Vernon Lee

Anggaran Waktu Membaca:
Ketua NCID Leo Yee Sin undur diri selepas 6 tahun; digantikan Vernon Lee

Profesor Leo Yee Sin (kiri); Profesor Vernon Lee (kanan). (Gambar: NCID; NUS)

SINGAPURA: Pengarah Eksekutif di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID),Profesor Leo Yee Sin, akan mengundurkan diri selepas enam tahun. 

Beliau akan digantikan oleh Profesor Vernon Lee, seorang pakar kesihatan awam yang kini menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Kanan Divisyen Penyakit Berjangkit di Kementerian Kesihatan (MOH). 

Profesor Lee akan mula bertugas sebagai Pengarah Eksekutif Dilantik NCID pada 1 Mei dan mengambil alih sebagai Pengarah Eksekutif pada 1 Julai, sehari selepas Profesor Leo tamat penggalnya. 

Profesor Lee akan terus berkhidmat di MOH semasa menyandang jawatan barunya, menurut Kumpulan Jagaan Kesihatan Nasional (NHG) pada Isnin (24 Apr). 

"Mulai 1 Julai 2023, Profesor Leo akan dilantik sebagai konsultan kanan di MOH dan penasihat kanan di NHG di mana beliau akan mengongsi kepakaran dan pengalaman beliau dalam bidang pengurusan penularan dan penyakit berjangkit," menurut NHG dalam satu kenyataan media. 

Profesor Leo membantu menubuhkan NCID dan memainkan peranan penting sejak Julai 2017 dalam membangunkan kemudahan itu sebagai "institusi pertama seumpamanya, menyepadukan penjagaan klinikal, kesihatan awam dan pembangunan profesional dalam bidang-bidang seperti kajian, latihan dan pendidikan, serta mendampingi masyarakat", menurut NHG. 

"Di bawah kepimpinan beliau, NCID berjaya mengendalikan kes import pertama cacar monyet (mpox) di Singapura pada Mei 2019, mengambil tindakan pantas terhadap pandemik COVID-19 yang berubah-ubah empat bulan setelah NCID dibuka secara rasmi pada September 2019 dan mengatasi penularan mpox pada Jun 2022," tambah NHG. 

"Profesor Leo turut mewujudkan Kumpulan Kerja Kajian COVID-19 untuk menjalankan kajian bermakna berhubung penularan COVID-19 di Singapura.

"Hasil dapatan kumpulan kerja berkenaan sejak itu membantu melakarkan kaedah kawalan penyakit dengan lebih baik, dasar-dasar kesihatan awam yang relevan, serta kaedah rawatan dan pengesanan yang memanfaatkan pesakit di Singapura dan juga di seluruh dunia." 

Profesor Lee berpengalaman dalam kesiapsiagaan dan respons pandemik, epidemiologi penyakit berjangkit serta dasar dan pengurusan kesihatan, menurut NHG. 

"Profesor Lee sebelum ini merupakan Penolong Ketua Pengarah bagi kesihatan, keselamatan dan sekitaran di ibu pejabat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO); seorang pakar epidemiologi perubatan di pejabat WHO di Indonesia dan ketua Pusat Pertahanan Biologi di Angkatan Bersenjata Singapura (SAF). 

"Beliau turut terbabit dalam kerjasama keselamatan kesihatan dunia dan membangunkan pelan kesiapsiagaan pandemik, program penilaian risiko dan pengurusan penyakit di peringkat nasional dan global," menurut NHG lagi. 

"Beliau akan terus memainkan peranan dalam jawatankuasa pakar di peringkat antarabangsa." 

Profesor Lee turut terlibat dalam tindak balas Singapura terhadap COVID-19 serta respons kepada penularan penyakit berjangkit sebelum itu. 

"Sejak beberapa tahun lalu, beliau terlibat dalam tindak balas Singapura terhadap pandemik demam selesema 2009, Zika, batuk kering (TB) dan penularan lain.

"Beliau turut menjalankan siasatan epidemiologi bagi SARS di Singapura dan penularan selesema burung di Indonesia apabila  dipinjamkan kepada WHO oleh MOH." 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan