Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ketua MAS Ravi Menon akan bersara pada 1 Jan 2024, selepas 36 tahun dalam perkhidmatan awam

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 04 Sep 2023 05:07PM Dikemas Kini : 04 Sep 2023 08:55PM
SINGAPURA: Pengarah Urusan Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Encik Ravi Menon akan bersara pada 1 Jan 2024, setelah berkhidmat selama 36 tahun dalam perkhidmatan awam.

Beliau yang kini berusia 59 tahun, memulakan kerjayanya di MAS pada 1987, menurut Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) pada Isnin (4 Sep).

Beliau diiktiraf dengan Pingat Pentadbiran Awam (Emas) pada 2007 dan Pingat Perkhidmatan Terpuji pada 2017 bagi sumbangan cemerlangnya kepada Perkhidmatan Awam.

MAS sebelum ini pada Mei mengumumkan pelantikan semula Encik Menon sebagai ketua MAS untuk penggal seterusnya selama dua tahun lagi.

Ia menyatakan bahawa Encik Menon akan berkhidmat sehingga Mei 2025 atau hingga persaraannya dari Perkhidmatan Awam Singapura, yang mana lebih awal.

Encik Menon akan digantikan oleh Encik Chia Der Jiun, nyata PSD.

Encik Chia akan dilantik sebagai Pengarah Urusan MAS (Dilantik) pada 1 November tahun ini dan sebagai Pengarah Pengurusan MAS berkuat kuasa dari 1 Januari.

Beliau akan melepaskan jawatannya sebagai Setiausaha Tetap (Pembangunan) Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada hari yang sama, menurut PSD.

PERSARAAN LAIN

PSD turut mengumumkan dua lagi pemimpin kanan perkhidmatan awam yang akan bersara selepas "perkhidmatan cemerlang" selama berdekad-dekad lamanya.

Cik Chan Lai Fung, Setiausaha Tetap Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Negara dan Pejabat Dasar dan Rancangan Sains dan Teknologi Sektor Awam, Pejabat Perdana Menteri dan Pengerusi Agensi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*STAR), akan bersara pada 1 Oktober tahun ini selepas 36 tahun dalam perkhidmatan awam.

Encik Loh Khum Yean, Setiausaha Tetap Divisyen Perkhidmatan Awam di bawah Pejabat Perdana Menteri juga akan bersara pada 1 Oktober tahun ini selepas 33 tahun dalam perkhidmatan awam.

Menyampaikan ucapan terima kasih kepada pemimpin-pemimpin kanan yang akan bersara, Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing, berkata: "Saya ingin menyampaikan penghargaan saya kepada Ravi, Lai Fung dan Khum Yean atas kepimpinan cemerlang serta banyak sumbangan ketara mereka kepada Perkhidmatan Awam dan kepada Singapura. Mereka telah berkhidmat dengan cemerlang dalam pelbagai sektor selama beberapa dekad perkhidmatan yang berdedikasi."
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan