Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ketua jurulatih sukan papan selaju S'pura korban gaji lumayan untuk pupuk bakat muda

Anggaran Waktu Membaca:
Sukan papan selaju pernah dikaitkan dengan imej remaja tidak terkawal dan suka membuat kacau.

Namun tanggapan itu kian berubah dan malah semakin popular di Singapura terutama sewaktu tempoh pandemik COVID-19.

"Ia dilihat sebagai sukan bersifat memberontak. Macam budak nakal, rosakkan harta benda, buat bising bawah blok, jadi orang tua ada tanggapan itu tentang imej pemain papan selaju," kata Encik Ali Halil, jurulatih papan selaju sepenuh masa yang juga merupakan Jurulatih Papan Selaju Singapura bagi Sukan SEA di Filipina pada 2019.

Seperti aksi-aksi ekstrim sukan papan selaju, perjalanan yang dilalui Encik Ali untuk menjadikan bidang sukan ini sebagai kerjaya sepenuh masa juga memerlukan keberanian.

Berjinak-jinak dengan sukan lasak ini pada usia 12 tahun, beliau pada awalnya tidak menyangka ia akan menjadi satu kerjaya.

Namun sukan inilah yang membantu Encik Ali bangkit daripada kesedihan apabila bapanya meninggal dunia ketika beliau masih remaja.

"Ibu saya ibu tunggal. Saya kehilangan bapa bila saya berusia 15 tahun tetapi itu juga bagaimana saya mula sukan papan selaju. Saya kehilangan bapa," kata Encik Ali.

Dengan sokongan ibunya, sukan papan selaju menjadi saluran untuk Encik Ali meneruskan kehidupan dengan melakukan sesuatu yang beliau minati.

Beliau aktif menyertai pertandingan papan selaju di peringkat serantau pada usia 20-an tahun dan menang beberapa pertandingan di Malaysia dan Indonesia.

Ketika itu beliau dan sekumpulan rakan-rakannya sudah pun mengajar sukan papan selaju namun secara kecil-kecilan.

"Semasa perkhidmatan negara (NS) saya seorang jurulatih latihan fizikal, jadi konsep mengajar orang sudah ada dalam diri saya. Jadi saya fikir mengapa tidak saya gabungkan kedua-dua minat saya, mengajar dan papan selaju tapi selepas itu saya kerja sebagai juruukur minyak luar pesisir tetapi itu pun sekejap", kata Encik Ali.

Minatnya terhadap sukan papan selaju terlalu besar sehingga beliau sanggup meninggalkan kerjaya itu meskipun ia menawarkan gaji lumayan.

Namun ia bukan satu pengorbanan yang sia-sia.

Pada 2019, beliau dilantik sebagai ketua jurulatih sukan papan selaju Singapura bagi Sukan SEA di Filipina.

Ia adalah kali pertama 'skateboarding' disertakan dalam temasya sukan tersebut.

"Kami dapat tahu tentang Sukan SEA agak lewat. Sukan SEA pada Disember, jadi pada lewat Julai baru kami tahu Singapura akan ambil bahagian. Bila Singapura ditawarkan untuk ambil bahagian kami perlu pilih sebuah pasukan. Jadi Persekutuan Sukan Papan Selaju Singapura adakan pertandingan untuk memilih atlit terbaik untuk ambil bahagian yang mewakili Singapura dan mereka tanya jika saya boleh melatih atlit-atlit ini," ujar Encik Ali.

Meskipun tidak menang sebarang pingat, pasukan wanita Singapura terutamanya menunjukkan prestasi yang boleh dibanggakan, iaitu di tempat ke-4.

Oleh kerana minatnya untuk terus mengembangkan sukan papan selaju dalam kalangan generasi muda, Encik Ali bersama rakan-rakannya mengasaskan bersama Skateboarding Academy pada 2020.

Tahun lalu mereka mengambil sekitar 250 pelajar dewasa dan kanak-kanak.

"Kadang-kadang anak-anak ni mereka boleh buat cuma mereka tidak ada keyakinan jadi itu adalah tugas kami untuk meningkatkan keyakinan mereka, memujuk mereka dan memberitahu mereka jika mereka betul boleh buat, kita akan buat. Bila anak-anak ini dapat capai sesuatu kepuasannya tak ternilai. Anda lihat ada yang sampai nangis, sebagai anak-anak mereka gembira sangat, itu sangat berharga.

Encik Ali juga membimbing sekumpulan pelajar yang kembali menyertai segmen persembahan secara besar-besaran di Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini.

Mereka akan mempersembahkan tarian menggunakan papan selaju.

"Di masa depan, seronok kalau kanak-kanak kita yang sedang berlatih sekarang untuk mewakili Singapura, mengibarkan bendera kita di luar negara, di Sukan Olimpik jika boleh atau kita bermula dengan Sukan SEA," kata Encik Ali penuh harapan.

Beliau juga melahirkan keyakinan bahawa Singapura mempunyai bakat dan melahirkan kegembiraan sukan ni semakin mendapat tempat di Singapura termasuk ditampilkan dalam acara besar seperti NDP.
Sumber : BERITA Mediacorp/EM/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa