Ketua Eksekutif MUIS santuni keluarga Almarhum Syed Isa Semait, tokoh penyatu umat Islam SG
Pemergian mantan Mufti Negara Almarhum Syed Isa Semait diratapi oleh segenap masyarakat Melayu/Islam.
Ketua Eksekutif MUIS Kadir Maideen dan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Faishal Ibrahim menyantuni keluarga Almarhum Syed Isa Semait. (Gambar: Facebook/MUIS)
Menerusi catatan Facebook Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada Selasa (8 Jul), Ketua Eksekutif MUIS Kadir Maideen berkata beliau dan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim menziarahi keluarga Almarhum untuk menyampaikan surat-surat ucapan takziah.
Encik Maideen berkata ramai pegawai MUIS berkongsi kenangan manis bersama Almarhum - iaitu bukan sahaja sebagai seorang ulama tetapi seorang individu yang mudah didekati, mesra dan ikhlas.
"Beliau selalu mempunyai kata-kata yang baik untuk semua orang, sama ada seseorang itu sudah lama bekerja atau baru sahaja mula bekerja, dan beliau sentiasa memastikan orang-orang di sekelilingnya berasa dihormati dan dihargai.
"Beliau selalu akan mengingatkan pegawai MUIS supaya menjalankan amanah dengan baik dan menganggap tugas mereka kepada masyarakat sebagai satu bentuk ibadah - amanah dan tanggungjawab yang kita akan dipertanggungjawab," katanya.
Encik Maideen menambah, warisan Almarhum terkandung dalam nilai yang beliau amalkan iaitu kerendahan hati, kebijaksanaan dan rasa belas kasihan mendalam bagi semua, tidak kira latar belakang atau kedudukan mereka.
"Beliau benar-benar tokoh yang menyatukan dalam masyarakat kita.
"Kami mendoakan semoga Allah s.w.t memaafkan segala kekurangannya, mengurniakannya kedudukan tertinggi di Jannah dan memberikan kekuatan dan ketenangan kepada keluarganya. Al-Fatihah," kata Encik Maideen mengakhiri catatan itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.