Skip to main content

Singapura

Ketua editor TOC Terry Xu diarah bayar S$420,000 kerana fitnah K Shanmugam, Tan See Leng

Sebuah mahkamah pada Selasa (31 Mac) mengarahkan Terry Xu, iaitu ketua editor laman sosio-politik, The Online Citizen (TOC) untuk membayar S$420,000 kepada Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam dan Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng kerana memfitnah mereka dalam sebuah artikel mengenai urus niaga yang dibuat mereka, melibatkan banglo mewah 'Good Class Bungalow' (GCB).

Anggaran Waktu Membaca:
Ketua editor TOC Terry Xu diarah bayar S$420,000 kerana fitnah K Shanmugam, Tan See Leng

Dari kiri: Ketua Editor The Online Citizen Terry Xu, Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam dan Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng. (Gambar fail: CNA)

Diterbitkan : 31 Mar 2026 10:39PM Dikemas Kini : 31 Mar 2026 10:58PM
SINGAPURA: Sebuah mahkamah pada Selasa (31 Mac) mengarahkan Terry Xu, iaitu ketua editor laman sosio-politik, The Online Citizen (TOC) untuk membayar S$420,000 kepada Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam dan Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng kerana memfitnah mereka dalam sebuah artikel mengenai urus niaga yang dibuat mereka, melibatkan banglo mewah 'Good Class Bungalow' (GCB).

TOC menerbitkan sebuah artikel pada Disember 2024 bertajuk "Bloomberg: Nearly half of 2024 GCB transactions lack public record, raising transparency concerns" (Bloomberg: Hampir separuh urus niaga GCB pada 2024 tidak mempunyai rekod awam, menimbulkan keprihatinan mengenai ketelusan).

Ia berdasarkan artikel Bloomberg bertajuk "Singapore Mansion Deals Are Increasingly Shrouded in Secrecy" (Urus niaga hartanah Singapura semakin diselubungi kerahsiaan), yang diterbitkan pada 12 Disember 2024.

Encik Xu kemudian didapati bersalah memfitnah kedua-dua menteri itu dalam penghakiman pada Ogos 2025.

Dalam penghakiman bertulis pada Selasa (31 Mac), Hakim Audrey Lim mendapati Encik Xu menerbitkan
bahan fitnah "secara melulu, tanpa mengambil kira atau mengambil peduli sama ada ia benar".

Encik Xu enggan memohon maaf atau menurunkan artikel tersebut walaupun diberi peluang untuk berbuat demikian apabila surat daripada peguam Encik Shanmugam dan Dr Tan dihantar kepadanya.

Dalam surat itu, para peguam berkata kedua-dua menteri akan menganggap perkara itu selesai jika Encik Xu memenuhi tuntutan mereka.

"Dia tetap enggan menurunkan artikel itu dari laman TOC dan platform media sosial TOC. Kelakuan Encik Xu jelas menunjukkan terdapat niat jahat," kata hakim itu.

Hakim Lim juga menyifatkan dakwaan fitnah Encik Xu sebagai "sangat serius".

“Sebagai menteri Kabinet, dakwaan ini memcemarkan bukan sahaja reputasi peribadi pihak yang menuntut tetapi juga reputasi profesional.”
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita