Ketua editor, penulis TOC dipenjara atas kesalahan fitnah jenayah
Ketua editor laman The Online Citizen (TOC), yang kini tidak lagi berfungsi, hari ini (21 Apr) dijatuhi hukuman penjara tiga minggu atas kesalahan fitnah jenayah.
Terry Xu (kiri) dan Daniel De Costa di luar Mahkamah Negara pada 13 Dis 2018 . (Gambar: Jeremy Long)
SINGAPURA: Ketua editor laman The Online Citizen (TOC), yang kini tidak lagi berfungsi, hari ini (21 Apr) dijatuhi hukuman penjara tiga minggu atas kesalahan fitnah jenayah.
Terry Xu Yuanchen, 39 tahun, didapati bersalah pada November 2021 atas tuduhan memfitnah para anggota Kabinet Singapura dengan meluluskan penerbitan surat bertarikh 4 September 2018 yang mendakwa "amalan rasuah di peringkat tertinggi".
Penulis surat itu, Daniel De Costa Augustin, 38 tahun, dikenakan hukuman penjara tiga bulan dan tiga minggu. Dia akan mula menjalani hukuman penjaranya pada 4 Mei.
De Costa disabit kesalahan serupa, iaitu melakukan fitnah jenayah, dan tuduhan kedua mendapatkan akses tidak dibenarkan kepada sebuah akaun emel bukan miliknya, yang digunakannya untuk menyerahkan rencana tersebut.
Pada 4 September 2018, De Costa mengirimkan satu emel yang bertajuk "PAP MP apologises to SDP" (AP PAP meminta maaf kepada SDP) kepada theonlinecitizen [at] gmail.com dari sebuah kafe internet di Chinatown, dengan tujuan agar kandungan tersebut diterbitkan di laman TOC.
Pada hari yang sama, Xu meluluskan penerbitkan emel, yang dihantarkan kepada TOC daripada seorang individu bernama Willy Sum. Emel itu bertajuk "The Take Away From Seah Kian Ping's Facebook Post", di mana nama Encik Seah Kian Peng disalah eja.
De Costa menggunakan sebuah akaun emel milik Encik Sim Wee Lee untuk menyerahkan rencana tersebut kepada TOC atas nama Willy Sum.
Encik Sim sebelum ini memberi keterangan bahawa beliau berjumpa dengan De Costa ketika membawa anjing-anjing peliharaannya keluar untuk bersiar-siar pada tahun 2005 atau 2006. Sedari itu, mereka berdua menjadi rakan. Encik Sim membenarkan De Costa menggunakan akaun emelnya demi membantunya menyelesaikan masalah kemuflisan serta perumahannya.
Encik Sim kemudian mendapat tahu bahawa De Costa sudahpun menghantar emel, menggunakan akaunnya tanpa kebenaran, untuk mengutuk para pegawai pemerintah.
Xu dan De Costa menjalani perbicaraan tahun lalu untuk mempertikaikan pertuduhan mereka dan kedua-dua disabit kesalahan pada November 2021.
Bagi kesalahan melakukan fitnah jenayah, Xu dan De Costa boleh dipenjara sehingga dua tahun serta didenda.
Bagi kesalahan mendapatkan akses komputer tanpa kebenaran, De Costa juga boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda tidak melebihi S$5,000 atau kedua-duanya sekali.
Laman TOC, diasaskan pada 2006, dipadamkan pada September 2021 selepas Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) menggantung lesen kelas kerana berulang kali gagal mematuhi kewajipan undang-undangnya untuk mengisytiharkan semua sumber pembiayaan.
Lesen itu kemudian dibatalkan oleh pihak berkuasa.
Pada Disember, Mahkamah Tinggi menolak permintaan TOC untuk membatalkan perintah IMDA agar menutup laman web bahasa Cina itu serta akaun-akaun media sosialnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.