Ketua Editor Mediacorp dilantik ke lembaga penasihat Anugerah TV dan Filem Festival New York.
Ketua Editor Mediacorp, Walter Fernandez dan Ketua Pegawai Eksekutif WaterBear Network, Ellen Windemuth dilantik ke lembaga penasihat Anugerah TV dan Filem Festival New York.(Gambar: New York Festivals )
SINGAPURA: Ketua Editor Mediacorp, Walter Fernandez adalah antara dua pemimpin industri yang dilantik ke lembaga penasihat Anugerah TV dan Filem Festival New York.
Beliau menyertai Ketua Pegawai Eksekutif WaterBear Network, Ellen Windemuth dalam lembaga 16 orang anggota itu, umum New York Festivals pada Rabu (19 Jan).
Anugerah TV dan Filem Festival New York itu memberi penghormatan kepada semua bentuk kandungan penerbitan di seluruh dunia meliputi kategori seperti program berita, dokumentari dan hiburan.
"16 anggota lembaga penasihat ini merupakan eksekutif dihormati di peringkat antarabangsa, terdiri daripada penulis paling inovatif, pencipta kandungan dan eksekutif industri yang pengalaman dan kepakaran mereka memberikan pandangan futuristik kepada industri televisyen dan filem yang pesat berkembang kepada Anugerah TV & Filem NYF," menurut New York Festivals dalam satu kenyataan media.
Encik Fernandez mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam bidang kewartawanan, menurut mereka.
Sebagai ketua editor, beliau menyelia semua kandungan berita dan ehwal semasa di wadah televisyen, radio dan digital dalam bahasa Inggeris seperti CNA dan TODAY, serta bahasa ibunda di BERITAmediacorp dan Seithi.
Pada 2020, CNA diiktiraf sebagai Saluran Terbaik oleh Persatuan Penyiaran Antarabangsa (AIB).
Encik Fernandez menguruskan lebih 1,000 pekerja di Singapura dan di seluruh dunia. Beliau juga menyelia strategi dan huraian kecerdasan buatan (AI) untuk bilik berita dan kejuruteraan penyiaran bagi Mediacorp.
Pada Mei 2021, beliau juga dilantik menjadi Ketua Pegawai Kemampanan untuk menggerakkan inisiatif dan pelan bertindak kemampanan Mediacorp dalam kalangan pekerja dan perniagaannya.
Encik Fernandez berkata beliau berbesar hati untuk menyertai lembaga penasihat itu dan berharap dapat bekerjasama dengan karyawan dalam industri itu dari merata dunia.
"Setiap tahun, Anugerah TV dan Filem memberi penghormatan kepada yang terbaik dalam program berita, sukan, dokumentari dan hiburan global.
"Anugerah itu adalah antara yang paling terkenal dan dihormati secara meluas di dunia dan kami sentiasa teruja apabila CNA dan Mediacorp menerima pengiktirafan ini," kata Encik Fernandez.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.