Skip to main content

Singapura

Ketua Dewan Indranee Rajah ingatkan AP supaya bercakap benar di Parlimen

Ketua Dewan Indranee Rajah pada Selasa (18 Feb) mengingatkan para Anggota Parlimen (AP) tentang kewajipan mereka untuk bercakap benar dalam prosiding Parlimen.

Anggaran Waktu Membaca:
Ketua Dewan Indranee Rajah ingatkan AP supaya bercakap benar di Parlimen

Bangunan Parlimen di Singapura. (Gambar fail: CNA/Syamil Sapari)

Diterbitkan : 18 Feb 2025 03:12PM Dikemas Kini : 18 Feb 2025 03:14PM
SINGAPURA: Ketua Dewan Indranee Rajah pada Selasa (18 Feb) mengingatkan para Anggota Parlimen (AP) tentang kewajipan mereka untuk bercakap benar dalam prosiding Parlimen.

Ini pada sidang pertama Parlimen selepas Ketua Pembangkang Pritam Singh didapati bersalah pada hari sebelumnya (17 Feb) kerana berbohong kepada Parlimen.

Pada permulaan sidang, Speaker Parlimen Seah Kian Peng mengemas kini Dewan tentang sabitan kesalahan Encik Pritam dan denda S$7,000 bagi setiap dua tuduhan berbohong kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP) semasa siasatan dijalankan terhadap keterangan palsu oleh mantan AP Parti Pekerja (WP) Raeesah Khan di Parlimen.

Seorang lagi AP WP, Faisal Manap telah diberikan nasihat polis berhubung keengganannya untuk menjawab soalan di hadapan COP, tetapi beliau tidak didakwa.

COP yang menyarankan agar Encik Pritam dan Encik Faisal, kedua-duanya AP GRC Aljunied, dirujuk kepada pendakwa raya untuk siasatan lanjut.

Encik Seah menjelaskan bahawa Encik Pritam mengekalkan kerusinya di Parlimen kerana hukuman bagi setiap kesalahannya tidak melebihi ambang hilang kelayakannya sebagai Anggota Parlimen – hukuman penjara sekurang-kurangnya setahun, atau denda sekurang-kurangnya S$10,000.

Selepas Encik Seah memberikan kemas kini, Cik Indranee membentangkan kenyataan bertajuk "Kenyataan yang dibuat oleh para anggota Dewan kepada Parlimen dan jawatankuasanya". Salinan cetak telah diedarkan kepada para AP yang hadir di dalam dewan.

"Adalah satu perbuatan menghina Parlimen jika seorang anggota dengan sengaja membuat keterangan palsu atau mengelirukan kepada Parlimen atau jawatankuasanya," menurut kenyataan itu, yang ditandatangani oleh Cik Indranee.

Kenyataan itu mengulangi Seksyen 31(q) Akta Parlimen (Hak Istimewa, Kekebalan dan Kuasa), yang menyatakan bahawa tiada sesiapa pun boleh, "sama ada beliau telah bersumpah atau telah membuat ikrar atau tidak, dengan sengaja memberikan jawapan palsu kepada mana-mana bahan soalan kepada siasatan yang dikemukakan semasa pemeriksaan di hadapan Parlimen atau jawatankuasanya".

Ini adalah tuduhan yang Encik Pritam telah disabitkan kesalahan.

"Sengaja membuat kenyataan palsu atau memberikan bukti palsu menjejaskan kewibawaan proses Parlimen kita," menurut kenyataans itu.

"Semua AP mestilah menjunjung tinggi piawai kejujuran dan integriti dan mematuhi peraturan tingkah laku Parlimen supaya orang ramai dapat terus yakin dan percaya sepenuhnya kepada Parlimen kita dan para wakilnya."
Sumber : CNA/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita