Skip to main content

Singapura

Ketua buruh Ng Chee Meng tidak tersenarai dalam barisan Kabinet baharu

Anggaran Waktu Membaca:
Ketua buruh Ng Chee Meng tidak tersenarai dalam barisan Kabinet baharu

Selepas keputusan pilihan raya dikeluarkan, Encik Ng Chee Meng dari Parti Tindakan Rakyat berkata ia "persaingan yang sangat mencabar" bagi SMC Jalan Kayu. (Gambar: CNA/Ili Mansor)

Diterbitkan : 21 May 2025 11:20PM Dikemas Kini : 21 May 2025 11:22PM
SINGAPURA: Ketua Buruh Ng Chee Meng tidak disertakan dalam barisan Kabinet baharu Singapura bagi “aturan sementara” ini, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Rabu (21 Mei).

Semasa mengumumkan pasukan pemimpin beliau bagi penggal pemerintahan seterusnya di satu sidang media, PM Wong berkata bahawa Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) secara tradisinya memegang jawatan dalam Kabinet.

"Saya hargai hubungan ini, dan saya tahu bahawa NTUC juga begitu," tambahnya.

Namun PM Wong berkata beliau akan menghormati permintaan Encik Ng untuk tidak ditawarkan jawatan tersebut, bagi memberi tumpuan kepada tugasnya di NTUC dan SMC Jalan Kayu, yang berjaya dimenanginya dalam pilihan raya pada 3 Mei.

"Namun untuk menjadikannya jelas, ia aturan sementara, dan saya berharap dapat menjadikan ketua buruh sebagai sebahagian daripada barisan Kabinet dalam masa terdekat," tambah Encik Wong.

Sementara itu, pemerintah akan terus bekerjasama rapat dengan gerakan buruh dan memastikan pandangan NTUC dan pemimpin kesatuan sekerja - serta kepentingan pekerja Singapura - "diambil kira sepenuhnya" dalam perbincangan dan keputusannya, kata PM Wong.

Ketika diminta untuk menghuraikan tentang kemahuannya bagi ketua buruh disertakan dalam barisan Kabinetnya "dalam masa terdekat", PM Wong berkata beliau "benar-benar tidak dapat buat jangkaan" tentang berapa lama masa yang akan diambil.

"Tapi saya berhubung rapat dengannya, dan pada satu ketika apabila beliau sudah sedia, apabila kita fikir keadaan sudah bertambah baik atau stabil, sama ada beliau atau sama ada orang lain, saya tidak boleh katakan," tambahnya.

"Namun yang pasti, hasrat saya adalah untuk ada seorang setiausaha agung NTUC dalam pasukan ini."

Dalam Pilihan Raya Umum yang sengit baru-baru ini, Encik Ng memenangi kerusi SMC Jalan Kayu untuk Parti Tindakan Rakyat (PAP) dengan 51.47 peratus undi, menewaskan calon Parti Pekerja (WP) Andre Low.

"Dalam tempoh lima tahun akan datang, saya akan memberi tumpuan kepada tugas saya sebagai Anggota Parlimen di Jalan Kayu dan tanggungjawab saya sebagai setiausaha agung NTUC. Keperluan penduduk saya dan semua pekerja Singapura adalah keutamaan saya," kata pemimpin berusia 56 tahun itu dalam satu kenyataan pada waktu itu.

Beliau turut memohon maaf atas kelakuannya semasa dialog Kementerian Pendidikan yang diadakan pada 2017, sebelum beliau menjadi ketua NTUC.

Encik Ng ialah Menteri Pendidikan (Sekolah) antara 2016 hingga 2018.

Tahun ini merupakan pilihan raya ketiga Encik Ng, tetapi kali pertama beliau bertanding dalam SMC.

Beliau sebahagian daripada pasukan PAP yang kalah di tangan WP di GRC Sengkang pada 2020; sebelum ini, beliau dipilih pada 2015 mewakili GRC Pasir Ris-Punggol yang kini sudahpun dibubarkan.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita