Skip to main content

Singapura

Ketua buruh Ng Chee Meng minta PM Wong tidak berinya sebarang jawatan dalam pemerintah

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 06 May 2025 03:49PM Dikemas Kini : 06 May 2025 11:10PM
SINGAPURA: Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Anggota Parlimen Jalan Kayu Ng Chee Meng berkata pada Selasa (6 Mei) bahawa beliau telah meminta Perdana Menteri Lawrence Wong untuk tidak memberi beliau sebarang jawatan dalam pemerintah.

"Dalam tempoh lima tahun akan datang, saya akan memberi tumpuan kepada tugas saya sebagai Anggota Parlimen di Jalan Kayu dan peranan saya sebagai Setiausaha Agung NTUC.

"Keperluan penduduk saya dan semua pekerja Singapura adalah keutamaan saya," katanya dalam kenyataannya.

"Oleh itu, saya telah meminta perdana menteri untuk tidak memberi saya sebarang jawatan dalam pemerintah. PM telah bersetuju untuk mempertimbangkan perkara ini."

Dalam salah satu pertandingan paling sengit dalam Pilihan Raya Umum (GE) tahun ini, Encik Ng meraih kemenangan untuk Parti Tindakan Rakyat di Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Jalan Kayu dengan 51.47 peratus undi, mengalahkan calon Parti Pekerja Andre Low.

Semasa sidang media pada awal pagi Ahad, perdana menteri menjawab beberapa soalan daripada media, termasuk soalan mengenai barisan Kabinet.

Encik Wong berkata bahawa Encik Ng berkemungkinan mempunyai peranan dalam Kabinet beliau yang seterusnya, berdasarkan peranan ketua-ketua buruh negara dalam barisan Kabinet sebelum ini.

Encik Ng berkata dalam kenyataannya pada petang Selasa bahawa hatinya "akan sentiasa bersama Singapura dan rakyat Singapura" dan bahawa beliau akan terus berkhidmat dengan sebaik mungkin.

PERMOHONAN MAAF

Encik Ng juga menyentuh mengenai catatan online yang baru disebarkan berhubung dialog Kementerian Pendidikan (MOE) yang berlaku pada 2017, sebelum beliau menjadi ketua NTUC.

Encik Ng adalah Menteri Pendidikan antara 2016 dan 2018.

"Saya sangat menghargai kerja yang dilakukan oleh guru-guru setiap hari. Mereka membuat perbezaan yang besar dalam kehidupan pelajar kita," katanya.

"Saya tidak ingat perkataan tepat yang saya gunakan pada hari itu kerana hampir satu dekad telah berlalu sejak dialog tersebut.

"Saya menyesal jika mana-mana kenyataan saya kedengaran tidak tunjuk tanda hormat, terutamanya apabila peserta telah mengemukakan soalan dengan niat baik."

"Saya mungkin boleh menangani situasi itu dengan lebih baik. Saya memohon maaf dengan ikhlas.

"Saya telah menerima dan mengambil maklum balas tersebut, dan akan terus berusaha untuk memperbaiki diri."

Salah satu catatan tersebut menggambarkan interaksi Encik Ng dengan kakitangan awam sebagai tidak hormat dan bersikap merendahkan orang lain.

Penulis catatan tersebut, yang mengenal pasti diri mereka sebagai Guru Permulaan MOE, berkata Encik Ng kelihatan "bertindak balas dengan marah" terhadap soalan mereka.

Guru tersebut juga menceritakan bahawa mereka diberitahu untuk berdiri apabila diajak bercakap.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita